Penggubalan apa-apa juga dasar sama ada di peringkat persekutuan, negeri, daerah, kampung, atau kejiranan harus melalui proses tertentu. Paling utama ialah hujah dialektik (sokong - bantah) kemudian ditadbirkan dalam bentuk tinjauan awam (referendum) bagi memastikan bahawa orang ramai 'merestui' projek yang dicadangkan. Kajian kemungkinan (feasible study) merangkumi kesan politik, ekonomi, sosial dan teknologi dibuat secara profesional dan telus oleh pakar.
Sunday, October 4, 2009
MALANG TIDAK BERBAU: SUATU PANDANGAN DASAR (COINCIDENCE AND PUBLIC SAFETY: A POLICY REVIEW)
Warga Ipoh masih memperkatakan peristiwa runtuhan sederetan tujuh pintu rumah kedai yang telah dikosongkan sehingga meragut dua nyawa dua hari lepas. Pastinya insiden berkenaan akan menjadi duluan (precedent) terhadap kes-kes kecuaian kerja awam di negara kita pada masa hadapan. Walau apapun analisis dan ulasan, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kepada keluarga dan sahabat kedua-dua korban diucapkan takziah dan moga tabah menghadapi kehilangan yang tidak diduga ini.
Nasib yang menimpa orang awam seperti yang berlaku itu buat kesekian kalinya membuka mata banyak pihak terhadap beberapa isu dan dasar awam yang perlukan ketegasan dan penambahbaikan. Kita tidak boleh terus bersikap sudah terantuk baru terngadah! Dalam kata lain, suatu kaedah perancangan dasar tentang segala kerja awam mematuhi segala piawaian ketat alam sekitar (EIA, environmental impact assessment) dan keselamatan manusia wajib diperincikan sebelum kelulusan sesuatu projek diberikan.
Sebagai sebuah negara yang masih muda (52 tahun merdeka), Malaysia boleh mempelajari pengalaman negara-negara yang lebih maju dalam perancangan dasar awam, terutama dalam aspek keselamatan manusia. Misalnya, sebelum sesuatu kerja membaiki atau menaik taraf jalan raya atau lebuh raya, hebahan tentangnya dibuat tiga bulan lebih awal menerusi segala media yang boleh diakses oleh rakyat. Untuk memudahkan pengguna jalan raya lebih bersedia dan berhati-hati, satu notis besar diletakkan dari jarak 10 kilometer daripada lokasi kerja (juga tiga bulan lebih awal).
Peranan rakyat sebagai pengguna yang bijak perlu diambil kira. Falsafah tukang kayu menyebutkan: ukur dua kali, potong sekali sahaja (measure twice, cut once). Maknanya, sesuatu projek yang membabitkan keselamatan manusia hendaklah mendapatkan maklum balas yang secukupnya supaya segala kerja yang berkemungkinan membabitkan elemen bahaya dan risiko dilakukan secara munasabah dan teratur.
Penggubalan apa-apa juga dasar sama ada di peringkat persekutuan, negeri, daerah, kampung, atau kejiranan harus melalui proses tertentu. Paling utama ialah hujah dialektik (sokong - bantah) kemudian ditadbirkan dalam bentuk tinjauan awam (referendum) bagi memastikan bahawa orang ramai 'merestui' projek yang dicadangkan. Kajian kemungkinan (feasible study) merangkumi kesan politik, ekonomi, sosial dan teknologi dibuat secara profesional dan telus oleh pakar.
Penggubalan apa-apa juga dasar sama ada di peringkat persekutuan, negeri, daerah, kampung, atau kejiranan harus melalui proses tertentu. Paling utama ialah hujah dialektik (sokong - bantah) kemudian ditadbirkan dalam bentuk tinjauan awam (referendum) bagi memastikan bahawa orang ramai 'merestui' projek yang dicadangkan. Kajian kemungkinan (feasible study) merangkumi kesan politik, ekonomi, sosial dan teknologi dibuat secara profesional dan telus oleh pakar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment