Antara acara yang menarik perhatian ialah keputusan pemenang guru paling popular 2009. Undian dibuat oleh murid dan pelajar SMI seratus peratus. Keputusan penuh ialah:
Sidang Pagi:
Guru lelaki paling popular: Encik Maulid bin Ismail
Guru wanita paling popular: Puan Usha Rani
Sidang Petang:
Guru lelaki paling popular: Encik Peter Khiew
Guru wanita paling popular: Puan Jamaliah.
Undian keseluruhan meletakkan Encik Maulid dan Puan Jamaliah sebagai guru SMI paling popular bagi setiap sidang.
Secara kebetulan kedua-dua guru paling popular datang dari Jabatan Vokasional dan Teknik (VT). Tentu mereka berdua ada aura dan magnet yang tersendiri... Malah guru wanita sesi pagi paling popular, Puan Usha Rani juga VT.
Hal ini bererti bahawa VT mendominasi undian guru popular SMI! Penulis blog berkongsi rasa gembira kerana telah berpeluang menjalankan tugas guru kanan VT sejak Januari 2009.
Cabutan bertuah kali ini menampilkan sedikit kelainan. Pemenang diminta membuat cabutan nombor hadiah yang bakal diterima. Maka, banyak aksi lucu berlaku. Ada yang mengharapkan toto, dapat teddy bear. Penulis blog membawa pulang kipas meja jenama Panasonic.
Ahli Kelab Staf yang terdiri daripada guru dan kakitangan turut memeriahkan majlis dengan acara permainan seperti mengenal personaliti (PK Koku) dan gerai medan selera sekolah. Persaingan antara meja sepertimana permainan lain penuh dengan "kelicikan dan muslihat" yang bijaksana. Apabila diisytiharkan menang, ahli kumpulan sama-sama meraikannya...
Pemilihan "King and Queen" dibuat secara undian semua ahli Kelab Staf yang hadir. Panduan pemilihan ialah warna tema SMI, iaitu hijau dan putih. Kategori "king" jatuh kepada Encik Phoon Chong Chee, pengetua manakala "queen" dimenangi oleh Puan Wan Norliza.
Menu jamuan ala Padang (wilayah yang ditimpa bencana gempa bumi baru-baru ini) nampaknya boleh diterima. Tetamu dan hadirin yang ditemui rata-ratanya berpuas hati. Cuma kekurangan pengalaman petugas restoran untuk majlis skala besar membabitkan 150 orang itu perlu diberi perhatian oleh Kelab Staf sesi 2010 kelak. Namun, secara keseluruhannya, majlis jamuan tahunan 2009 berkenaan boleh dianggap berjaya mencapai matlamatnya untuk menghimpunkan ahli dalam suasana santai...
Dalam pada itu, sejumlah 50 orang guru menerima sijil kehadiran cemerlang. Encik Joseph Michael Lee dan Dato' Mohamad Niza (Naib Yang Dipertua PIBG) telah sudi menyampaikan sijil. Sijil kepujian itu barangkali boleh dicatatkan dalam senarai surat kepujian yang diterima pada borang prestasi SSM tahun 2009...
Sebarang saranan penambahbaikan aktiviti dan pentadbiran Kelab Staf bolehlah disuarakan terus kepada AJK atau diusulkan dalam mesyuarat agung tahunan awal tahun 2010. Kelab Staf turut disenaraikan sebagai elemen penting yang dapat mengukuhkan permuafakatan guru dan kakitangan sekolah dalam Pelan Induk Pembangunan pendidikan (PIPP) 2006 - 2010. Iklim dan persekitaran sekolah yang kondusif memudahkan proses pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid.
2 comments:
ayah angkat saya sure tidak di senaraikan dlm kehadiran cemerlang...
hanya 50 daripada 140...
setiap guru ada kekuatan tersendiri, misalnya opsyen dan kepakaran...
Post a Comment