Thursday, October 8, 2009
UNIVERSITI MALAYA KEMBALI KE MERCU (UNIVERSITY OF MALAYA REGAIN WORLD CLASS RANKING POSITION)
Selaku universiti tertua dan terulung di negara kita, Universiti Malaya (UM) berjaya kembali dalam kelompok 200 buah universiti terbaik dunia, iaitu di tangga ke-180. Walaupun kriteria yang mengukur kedudukan berkenaan terdedah kepada perdebatan, setidak-tidaknya penarafan yang diterbitkan oleh Times Higher Educational Supplement (THES) itu mendapat perhatian institut pengajian tinggi dan kerajaan seluruh dunia. Sebagai alumni UM, penulis blog tumpang berbangga walaupun ketika menuntut di sana, UM pernah mencatat kedudukan nombor 89!
Keluasan kampus UM mungkin lebih kecil berbanding dengan universiti lain di Malaysia, namun kedudukannya di kawasan segi tiga emas ibu negara memberikannya kelebihan yang tersendiri. Tambahan pula, siswazah UM telah memberi sumbangan besar di serata dunia dengan menyandang pelbagai peranan penting, termasuk sebagai Presiden UNGA, United Nations General Assembly (Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu - menerusi Tan Sri Razali Ismail, siswazah Pengajian Bahasa Inggeris UM). Kebanyakan cendekiawan tersohor negara, pemimpin politik, tokoh korporat dan pegawai tinggi awam juga pernah menjalani pengajian di UM.
Sebagai sebuah universiti senior, walaupun tidak berjaya meraih status universiti Apex (yang berjaya dibida oleh USM), UM masih menjadi penanda aras pencapaian IPT tempatan. Universiti terkemuka lain termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada pada kedudukan 291, boleh dianggap pencapaian yang hebat memandangkan usia penubuhannya tidak sampai 40 tahun (diasaskan pada tahun 1970, berbanding dengan UM yang mula bertapak di Singapura pada penghujung 1950-an). Penulis blog turut berbangga dengan UKM justeru pernah menuntut di sana untuk ijazah sarjana muda di Fakulti Ekonomi.
UM dan UKM berpotensi besar untuk menempatkan diri dalam kelompok 50 universiti terbaik dunia jika beberapa bidang keutamaan (niche area) diberi penekanan. Misalnya, memperbanyak penerbitan jurnal penyelidikan bertaraf antarabangsa, menawarkan lebih banyak tempat untuk ijazah tinggi (Sarjana dan Ph.D) kepada pelajar asing dan mengadakan hubungan kecendekiawanan lebih kukuh dengan universiti terhebat dunia seperti Harvard, MIT, Yale dan Princeton (USA), serta Cambridge dan Oxford (UK). UKM pernah berada di tangga 50 universiti terbaik dunia dalam disiplin sains dan teknologi. UM pula boleh menambah nilai aktiviti R & D dan menjemput lebih banyak profesor tamu di Institut Asia-Eropahnya untuk menyelia disertasi calon doktor falsafah.
Memandangkan UM dan UKM berupaya bolos ke puncak tertinggi menara gading sedunia, pihak kerajaan dan swasta boleh menyalurkan lebih banyak dana untuk kegiatan penyelidikan dan pembangunan, selain peruntukan IRPA sedia ada. UM dan UKM mesti berbeza dengan institusi penyelidikan lain yang bertaraf agensi kerajaan seperti FRIM, MARDI dan Puspati. Universiti sebagai gedung ilmu tidak betah berimej vokasional atau terlalu bersifat hands-on (kononnya) demi mengambil hati pihak industri.
Universiti harus tegak sebagai pemimpin ilmu yang membimbing manusia ke arah kebenaran dan keadilan. Ketika pihak lain rebah direntap oleh keserakahan industri yang hanya tamakkan laba, biarlah universiti terus berdiri sebagai benteng terakhir peradaban dan tamadun dengan selama-lamanya berpaksikan kebijaksanaan dan nilai. Universiti menerajui, bukan diterajui!
Tahniah UM dan UKM!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment