Ipoh, Rabu: 13 Januari 2010 / 27 Muharam 1431
Dalam kesibukan mesyuarat demi mesyuarat pada awal sesi persekolahan 2010, sejumlah 38 orang guru akademik tingkatan 6 SMK St Michael, Ipoh (SMI) sempat juga meluangkan masa menghadiri bengkel penyelidikan. Bengkel dilangsungkan di Dewan Kuliah Utama SMI. Pemudah cara bengkel ialah penulis blog (PB) sendiri.
Sebahagian peserta bengkel memiliki pengalaman melaksanakan penyelidikan, manakala sebahagian lagi memulakan penyelidikan buat kali pertama. Dalam tempoh sejam, pemudah cara berkongsi input dengan para peserta yang rata-ratanya guru senior. Kesabaran peserta memberi petanda bahawa tugas penyelidikan akan dapat disempurnakan dengan baik.
Hakikatnya, konsep "guru sebagai penyelidik" telah menambah senarai tugas guru yang sedia berjela-jela itu. Bukan sahaja guru berkejar ke sana dan ke mari, bahkan minda juga dikerah bagaikan seorang pelari maraton amatur. Keluar pagar sekolah, bertarung dalam arus kesesakan jalan raya. Setiba di rumah, peluang melelapkan mata barang sebentar mungkin ada harapan.
Kalau demikian, penyelidikan sukar dilakukan dalam peruntukan masa yang khusus. Sebagai kompromi, guru penyelidik tadi perlu "mencuri" sedikit-sedikit masa daripada aktiviti rutin. Misalnya, semasa menunggu-nunggu pesanan minuman, guru penyelidik boleh mencoret sesuatu untuk dimasukkan dalam lembaran penyelidikan. Sebarang kesempatan yang tiba digunakan secara optimum.
Pengorbanan tidak dapat dielakkan.
Sine qua non. Guru penyelidik harus bijak menggembleng segala sumber supaya pelbagai tugas dapat dijalankan serentak. Macam ibu mithali, sambil masak sempat berbual di talian sambil menjeling ke skrin televisyen. Dalam hati pula berzikir.
aksi sebelum bengkel bermula
Ikon, personaliti dan selebriti yang hebat dapat melakukan pelbagai perkara dalam masa yang singkat. Bilangan individu sedemikian mungkin tidak banyak, namun boleh dicontohi. Guru yang hebat umpama tokoh-tokoh tersohor yang muncul sekali-sekala dalam sejarah.
Kesimpulannya, dalam menjayakan sesuatu penyelidikan, faktor kegigihan dan motivasi yang kuat menjadi azimat yang berharga. Masalah yang dikaji mungkin kecil, berdasarkan kaedah konvensional eksperimental dan hanya ada kumpulan rawatan (tiada kumpulan kawalan). Kekurangan itu boleh dibaiki. Marilah kita bermula dahulu...
No comments:
Post a Comment