SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, June 13, 2010

KOTA KENANGAN ("NEWCASTLE" NOSTALGIC)

Tempat jatuh lagi dikenang, ini pula tempat bermain. Ujaran klasik berkenaan berkait rapat dengan kecenderungan setiap insan menelusuri akar umbi dan susur galur perjalanan sejarah peribadi hidup masing-masing. Maka, tempat kelahiran dianggap sebagai sangat penting justeru di situ detik pertama seseorang membuka kelopak mata memandang dunia penuh pancaroba yang bakal ditempuhi.

Selalunya anak murid kelihatan kaget dan memaparkan wajah tidak percaya apabila penulis blog (PB) memberitahu bahawa Newcastle ialah tempat lahir PB. Wah, cikgu lahir di United Kingdom? Ada yang sampai berkerut dahi menampakkan garis curiga tanda tidak setuju.

Biasanya PB membiarkan murid berteka-teki sebentar sebelum menggamatkan kelas dengan kata-kata bahawa Newcastle sebenarnya ialah versi Inggeris bagi Kota Bharu. Oh, cikgu oghe Kelate! Namun, pelik juga kerana percakapan cikgu langsung tidak ada lenggok negeri Cik Siti Wan Kembang.

Kemudian, PB menjelaskan Newcastle memang di England, tetapi nama bandar yang sama terdapat di Amerika Syarikat dan Australia. Peneroka benua Amerika Utara dan Oceania membuka petempatan baru dengan menggunakan nama tempat asal mereka di England. Maka, Kota Bharu tidak semestinya milik mutlak Kelantan, bahkan mungkin terdapat di Indonesia!
Kota Bharu terletak lebih kurang 35 kilometer daripada bandar raya Ipoh menghala arah selatan. Jika bergerak dari Ipoh akan melewati pekan Gopeng terlebih dahulu, melepasi balai polis dan balai bomba di sebelah kanan, bersedia mengambil laluan paling kanan sebelum menemui lampu isyarat kedua. Setelah membelok ke kanan, perjalanan akan menempuhi kawasan petempatan Kopisan dan Lawan Kuda, sebelum bertemu Kolej Matrikulasi, serta sekolah berasrama penuh integrasi.
Kemudian, di kiri dan di kanan jalan akan dipenuhi baris pokok kelapa sawit milik Gopeng Berhad, sebuah syarikat senaraian awam, bagaikan calitan kanvas hijau yang begitu mempersonakan kalbu. Sebelum tiba di Kota Bharu, terdapat dua simpang: sebelah kanan ke Changkat Tualang; sebelah kiri ke Changkat Legong. Jalan yang sudah dinaik taraf ini dibina hingga ke pekan Malim Nawar.
Kota Bharu turut menjadi stesen transit sistem kereta api laju dan mel KTMB menghubungkan rangkaian sebelah pantai barat semenanjung. Stesen lama yang telah usang berubah wajah dengan penampilan tercanggih. Jejambat (fly over) juga dibina supaya gangguan terhadap kelancaran lalu lintas tidak berlaku.
Makam Di-Raja Perak yang dipanggil sebagai mohom oleh penduduk tempatan terletak kira-kira 3 kilometer daripada pekan Kota Bharu. Suatu masa dahulu, makam ini akan diziarahi oleh sultan dalam upacara pertabalan. Kini, makam berkenaan dijaga oleh oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti sebagai warisan sejarah yang amat berharga.
Antara tokoh terkenal yang berasal dari Kota Bharu ialah Datuk Mohd Khalid, atau lebih dikenali sebagai Lat. Rumah asal keluarga beliau di Kampung Lalang yang sering dijadikan latar lukisan dan animasi "Kampung Boy" masih boleh dilihat daripada tepi jalan menghala Malim Nawar. Selain itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Azraei, dan arwah Din Beramboi juga ialah anak jati Kota Bharu.
Walaupun PB tidak sempat bersekolah di Kota Bharu kerana berpindah ke Sungai Tukang Sidin, Teluk Intan, Kota Bharu tetap istimewa. Lebih khusus lagi ialah Kampung Changkat Tualang yang berjarak 5 kilometer daripada pekan Kota Bharu. Di situlah PB menikmati zaman awal kanak-kanak: mengutip bunga tanjung, berkejar-kejaran di kawasan yang sangat lapang dan mengikuti aktiviti kampung yang lain.
Kini, Changkat Tualang dihiasi panorama bekas lombong bijih timah yang begitu aktif suatu ketika dahulu. Ada yang dijadikan tapak ternak air akuatik, atau terbiar begitu sahaja. Walaupun cantik dipandang mata, kawasan lombong sebenarnya sangat bahaya, terutama kepada kanak-kanak, justeru dasarnya yang berbentuk tirus menyebabkan sedutan kuat di bahagian tengah lombong.
Setelah menapak kira-kira 100 meter dari padang sekolah kebangsaan, PB berasa sedikit sayu melihat puing-puing tinggalan sebuah binaan yang telah dimamah usia. Rangka asas yang masih jelas telah ditawan oleh tumbuh-tumbuhan renik yang meliar. Di tapak itulah PB mula-mula menjengah dunia...

1 comment:

Unknown said...

Salam. Cikgu ni anak cucu cicit sape di kg Changkat Tualang