SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, January 31, 2010

SUNGAI BESAR TUMPUAN PEMINAT TEKSTIL (TEXTILE "HEAVEN" AT SUNGAI BESAR TOWN)

Sungai Besar, Selangor: Ahad, 31 Januari 2010 / 15 Safar 1431

Jarak perjalanan dari Ipoh ke Sungai Besar, Selangor ialah kira-kira 120 kilometer menerusi Teluk Intan. Di bandar Teluk Intan, salah satu pilihan mengarah ke sana ialah simpang empat sebelah kiri wisma Tenaga Nasional. Disebabkan profil tanah gambut, permukaan jalan agak beralun-alun sedikit.
Apabila tiba di Simpang Ampat, pilih laluan yang betul. Jika silap laluan, pemandu mungkin akan terlajak ke Sungai Sumun, Bagan Datoh atau Hutan Melintang. Kedua-dua bandar Sabak Bernam dan Sungai Besar terletak di bahagian kanan jalan utama. Sungai Besar terletak 14 kilometer di hadapan Sabak Bernam.
Kiri kanan jalan dipenuhi ladang kelapa sawit. Terdapat juga ladang pisang di bahagian hadapan, mungkin sementara menunggu sawit mengeluarkan hasil. Selain itu jagung juga ditanam secara berselang-seli. Samalah dengan maksud peribahasa "berjagung-jagung dahulu sementara menunggu padi masak".

Sebelum membelok ke kanan, pemandu akan ternambah papan iklan "Sabak Bernam bandar beriman dan budiman" terlebih dahulu. Susun atur bandar Sungai Besar memudahkan pergerakan pemandu. Risiko untuk tersesat jalan amat minimum.
Masuk sahaja ke pusat bandar, kita dengan serta-merta boleh memberi imej Sungai Besar sebagai bandar tekstil. Di sana sini terpampang label dan kain rentang tentang promosi tekstil yang mengujakan. Tidak hairanlah banyak rombongan bas berkunjung ke Sungai Besar, persis Nilai 3 dan Tangkak.
Kedudukan geografi Sungai Besar yang berhampiran dengan pelabuhan mungkin sekali merendahkan kos pengangkutan. Sebagai contoh, seunit kain tudung terkini yang sama dijual pada harga RM15 sahaja, berbanding dengan RM22 di pasar tani Ipoh. Variasi pilihan juga lebih banyak.

Selain tekstil, peralatan sukan dan alat mainan kanak-kanak juga ditawarkan pada harga yang lebih murah, jika dibandingkan dengan harga jualan di gedung terkemuka bandar-bandar besar. Walaupun penggunaan kad kredit masih belum menyeluruh, pembeli yang menghadapi masalah wang tunai tidak harus bimbang. Kebanyakan cawangan bank (Maybank, CIMB, Bank Islam, BSN dan RHB) berada pada jarak penglihatan dalam kawasan bandar.

Penulis blog (PB) berpendapat Sungai Besar masih tergolong sebagai bandar sepi, walaupun pada hari Ahad. Mungkin penduduk sekitar mengambil peluang berehat sebelum kembali bekerja pada keesokan harinya. Pergerakan kenderaan di kawasan bandar begitu lancar. Tempat letak kereta juga mencukupi.
Stesen bas juga kelihatan lengang. Hanya terdapat sebuah bas dan beberapa kerat penumpang yang menunggu. Hanya kebisingan muzik daripada kedai makan di sebelah yang memecah kesepian Sungai Besar.
Iklan RM3 di atas merujuk kepada harga makanan panas seperti mi goreng, mi rebus, nasi goreng, laksana dan aneka hidangan yang lain. Bagi menunjukkan bahawa restoran berkenaan  pernah dikunjungi selebriti, tandatangan mereka dikekalkan pada cermin di bahagian tepi dinding restoran.

Saturday, January 30, 2010

RANCANGAN PELAJARAN SAJAK "HARGA REMAJA" (A LESSON PLAN FOR LITERATURE COMPONENT)

Kelas: 4 Sains 5                                                                                  Tarikh:  4 Februari 2010 (Khamis)
Jumlah murid: 37 orang                                                                       Masa:   8.45 - 9.25 pagi

Mata Pelajaran:  Bahasa Melayu
Bidang Pembelajaran:  Pemahaman Komsas
Tajuk:  Sajak "Harga Remaja"

Kemahiran (Huraian Sukatan):

Objektif Am:  Murid menghargai keindahan karya sastera yang puitis

Objektif Khusus:

1)  Memprosakan sajak rangkap demi rangkap

2)  Membina item soalan petikan dan soalan KBKK 

Pengetahuan sedia ada:  Murid terlebih dahulu telah membaca sajak  di rumah.

Set Induksi

Guru bertanya soalan-soalan ringkas berikut:

1)  Mengapa agaknya sajak berjudul "Harga Remaja"?

2)  Sekarang kita buat undian belah bahagi tentang mudahnya memahami sajak "Harga Remaja".
     Berapa orang mahu memberi penarafan A, B dan C?

3)  Siapa boleh beritahu kelas, berapakah harga remaja yang ditemui dalam sajak?

Aktiviti:

1)  Sekumpulan murid mendeklamasi sajak secara lantang

2)  Murid mencadangkan maksud sajak rangkap demi rangkap

3)  Murid melengkapkan modul soalan petikan dan soalan KBKK yang diedarkan.

Penilaian:

Guru menanyakan soalan:

1)  Secara keseluruhan, apakah mesej yang hendak disampaikan oleh penyajak?

2)  Nyatakan jenis-jenis item soalan yang boleh dibina berdasarkan petikan sajak?

3)  Apakah yang membezakan soalan petikan dengan soalan KBKK?

Alat / Bahan Bantu Mengajar:

1)  Antologi "Harga Remaja"

2)  Modul soalan

Tugasan lanjutan:

Membuat cadangan jawapan berdasarkan tiga item soalan yang dipilih daripada cadangan murid.


Lampiran:

Modul soalan

Friday, January 29, 2010

PEMAHAMAN KOMSAS: SAJAK "HARGA REMAJA" (EXPLORING HIDDEN THOUGHT)

Dua orang murid 4S5 sedang berbual-bual tentang sajak "Harga Remaja" karya pemuisi tersohor negara, Rahman Shaari, profesor pengajian media Universiti Malaya. Sajak itu diterbitkan dalam antologi Langit di Tangan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, 15 tahun yang lalu. Sajak ini diberi penghormatan menjadi judul antologi komponen sastera (komsas) tingkatan 4 mulai tahun ini.

Daniel:  Zarul dah bacakah sajak "Harga Remaja"?

Zarul   :  Sudah. Rasanya tidaklah susah sangat macam sajak-sajak kabur.

Daniel:  Saya pun sudah. Apa kata kita bincang-bincang sikit perkara yang boleh dipelajari?

Zarul   :  Boleh juga. Nanti mudah apabila perbincangan di bilik darjah dibuat.

Daniel:  Baiklah. Setelah membaca sajak "Harga Remaja" buat kali pertama, apa perasaan 
              Zarul?

Zarul   :  Biar saya berterus terang sahaja. Bacaan kali pertama rasanya tiada apa-apa kesan. 
              Umpama  orang  awam  melihat  sampah.    Mereka  nampak  sisi  busuk  dan  hodoh 
              semata-mata.  Berlainan dengan orang berniaga.  Mereka nampak sampah itu wang, 
              wang, wang! Sebab itu saya baca beberapa kali supaya berfikiran seperti usahawan, 
              bukan orang awam.

Daniel:  Begitu? Jadi, bagaimana perasaan Zarul setelah selesai beberapa kali bacaan?

Zarul   :  Sebelum memberi jawapan, saya ingin bertanya dahulu. Mengapa Daniel berminat
               sangat tentang hal-hal perasaan? Sudah berputik perasaan kepada seseorangkah?

Daniel:  Tidaklah sampai ke tahap itu. Bukankah guru bahasa kita mengatakan bahawa 
               pembelajaran komsas dapat membimbing murid menzahirkan perluahan perasaan 
               secara beradab dan teratur?

Zarul  :   Ewah, ewah. Skema juga engkau, ya?

Daniel:  Apa ni? Engkau belum menjawab soalan saya tadi. Bukankah sembang santai
              macam ni pun boleh diselitkan unsur pembelajaran?        

Zarul  :  Baiklah tuan pendeta. Sebenarnya perasaan saya becampur-campur antara gembira
              dan tercabar. Gembira kerana sajak "Harga Remaja" membawa saya berfikir tentang 
              kehebatan zaman remaja yang sedang kita kecapi. Zaman remaja yang hanya sekali
              dan hanya sebentar. Jika kita mensia-siakan zaman remaja, kita tidak mungkin dapat
              kembali. Kita bakal meniti usia seterusnya dengan penuh sesalan.

Daniel:  Dengar saya deklemasikan rangkap pertama.

               Berapakah sebenarnya harga remaja
               yang bersih
               dari gelodak kecewa 
               bagai kehijauan daun
               di pinggir perjalanan in?


               Mengapa Rahman Shaari perlu bertanya?


Zarul   :   Sajak tergolong dalam genre karya sastera yang lebih longgar sifatnya. Tiada
                keterikatan rima akhir a-a seperti syair, atau rima akhir ab-ab seperti pantun.
                Dalam pertanyaan sudah ada bibit-bibit jawapannya. Soalan dan jawapan dirangkum
                bersekali menerusi bait-bait indah dan puitis.

Daniel:    Tidak begitu fahamlah, tuan profesor.

Zarul:       Rahman Shaari perlu bertanya untuk mengajak kita membuka jendela minda. Macam
                persediaan uji kaji makmal. Kita mesti membina hipotesis terlebih dahulu.  Hipotesis
                yang bertaraf kebenaran sementara perlulah diuji. Pertanyaan Rahman Shaari lebih
                kurang satu hipotesis.

Daniel:   Sekarang saya deklemasikan rangkap kedua.

                Dengan apakah akan kaupenuhi
                 piala remajamu
                 adakah cuka kesangsian
                 dari cinta murah
                 atau madu ajaran
                 dari ilmu susah?

                 Tesis lagi...

Zarul   :     Sabar encik abang. Rangkap kedua mencabar keikhlasan kita. Beranikah dan
                  sudikah remaja mengaku bahawa pilihan, cita rasa dan wira sanjungan mereka
                  sering menjebak mereka ke dalam kancah kesangsian dan syak wasangka?

Daniel:     "Cinta murah" itu sama dengan cinta monyetkah? Apa masalahnya, bukankah 
                 angau sikit-sikit tu fasa normal setiap remaja?

Zarul   :    Saya agak penyajak ingin menyampaikan mesej bahawa cinta murah itu ialah
                 pergaulan bebas tanpa batasan mahram antara remaja lelaki dan remaja perempuan.
                 Pengaruh hedonisme hanya berkembang dalam masyarakat yang bertuankan
                 hawa nafsu. Cinta murah dipalit dosa dan noda, hilang maruah diri, dan hilang harga
                 remaja. Macam judul sajak.

Daniel:    "Madu ajaran dari ilmu susah" tuh apa? Setahu saya madu ialah sejenis hidangan
                 berkhasiat zaman berzaman. Madu juga ertinya dua hingga empat orang isteri
                 berkongsi seorang suami.

Zarul  :      Kelakarlah konon. Proses belajar menimba ilmu bukankah susah? Kalau tidak,
                 semua orang boleh jadi profesor macam Rahman Shaari. Namun, ilmu ialah pelita
                 atau suluh kehidupan. Dengan ilmu, kehidupan remaja lebih berharga. Remaja tidak
                 mudah diperdaya, dipikat dan ditipu dengan mulut manis nan berbisa.

Daniel:    Barulah jelas. Tapi bahasa Zarul tinggi sangat. Berat rasanya beban minda ini.
                 Baik kita minum dahulu.

Zarul  :     Kita sama sahaja. Kita menjunjung harga remaja. Marilah minum...

PROGRAM TRANSFORMASI KERAJAAN: SATU PERSPEKTIF EKONOMI (GOVERNMENT’S TRANSFORMATION PLAN AND THE PUBLIC SERVICE ROLE)


Sesebuah kerajaan dibentuk melalui proses politik. Tugas tunggal kerajaan ialah memaksimumkan kebajikan rakyat menerusi pelaksanaan segala dasar yang diputuskan di peringkat kepimpinan tertinggi. Kebajikan rakyat tercapai dengan tahap pertumbuhan yang tinggi tanpa inflasi dan pengangguran. Kerajaan juga menggunakan semua instrumen agihan supaya kek kemakmuran negara dapat dikongsi oleh segenap lapisan rakyat. Pencapaian kebajikan rakyat menjadi insurans perkembangan aktiviti ekonomi yang dijana oleh pusingan perbelanjaan agregat, serta persekitaran pelaburan yang positif.

Perkhidmatan kerajaan menerusi kakitangan awam pada hakikatnya ialah satu bentuk pengagihan semula kekayaan negara dalam bentuk barang awam. Kerajaan mengutip hasil daripada pelbagai sumber, terutamanya cukai untuk membiayai penyediaan barang awam, termasuk bayaran emolumen penjawat awam. Tidak ramai yang ambil pusing hak mereka sebagai pembayar cukai tidak langsung apabila mereka berbelanja saban waktu.


Walaupun pada zahirnya sesebuah kerajaan merupakan majikan terbesar negara, sumber pembiayaan datangnya daripada rakyat jelata yang berperanan sebagai faktor pengeluaran dalam ekonomi. Rakyat yang disebut dengan istilah isi rumah (household) membekalkan input buruh, tanah, modal dan usahawan. Mereka berinteraksi dalam sistem ekonomi raksasa sebagai pelaku ekonomi di pasaran barangan dan di pasaran faktor.


Kerajaan mengutip hasil daripada aktiviti pengeluaran, penggunaan dan pertukaran. Dari segi makroekonomi, campur tangan kerajaan secara tidak langsung dalam mempengaruhi aktiviti ekonomi menerusi cukai dan perbelanjaan awam dipanggil sebagai dasar belanjawan (fiscal policy). Matlamat akhir dasar belanjawan ialah pencapaian matlamat kebajikan rakyat yang disebutkan di atas.


Di Malaysia, kerajaan menjadi majikan kepada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam, atau 4 peratus daripada jumlah penduduk yang menghampiri angka 30 juta orang semuanya. Walaupun teknologi komputer dan automasi mampu mengurangkan penggunaan tenaga fizikal manusia, perkhidmatan awam kritikal dan strategik seperti keselamatan, kesihatan, pendidikan dan pentadbiran tidak boleh digantikan oleh apa-apa bentuk teknologi kepintaran buatan.


Setelah merdeka lebih setengah abad lamanya, akses rakyat Malaysia kepada pendidikan tinggi telah mencatat peningkatan drastik. Kini, generasi baharu ini lebih peka dan lebih vokal terhadap hak mereka sebagai pembayar cukai. Mereka menuntut mutu perkhidmatan awam yang terbaik supaya setimpal dengan bayaran emolumen (gaji, elaun dan kemudahan) yang datangnya daripada kantung pembayar cukai, iaitu rakyat jelata keseluruhannya.


Gelombang kesedaran baru ini menandakan bermulanya era pembayar cukai sebagai "majikan sebenar" kakitangan awam. Zaman pegawai tinggi dan petugas kaunter berlagak sombong telah berlalu. Mereka terikat kepada piagam untuk memenuhi kehendak pelanggan yang sebenarnya ialah "majikan" mereka.


Keadaan yang serupa berlaku kepada institusi kewangan. Pemilik atau tuan sebenar bank dan syarikat kewangan ialah pemegang saham dan pendeposit kecil-kecilan. Maka, pihak bank dan syarikat kewangan mesti memberi perkhidmatan kewangan yang terbaik.


Disebabkan jumlah "majikan" kakitangan awam begitu ramai, bagi melicinkan kerja, interaksi dan hubungan perlu berlandaskan kepada etika, peraturan dan undang-undang. Kedua-dua pihak terikat kepada hak dan tanggungjawab yang tertentu. Pendek kata, tidak boleh semberono.


Langkah melancarkan Program Transformasi Kerajaan merupakan komitmen untuk menyediakan perkhidmatan awam yang terbaik, selaras dengan tugas tunggal kerajaan, iaitu memaksimumkan kebajikan rakyat. Dalam konteks sekolah, semua warga sekolah mesti menyedari bahawa mereka dibiayai oleh pembayar cukai, termasuk diri sendiri. Hutang yang perlu dilunaskan tidak lain tidak bukan ialah kecemerlangan.

Thursday, January 28, 2010

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI: DI MANA ST MICHAEL? (HIGH PERFORMANCE SCHOOL: THE LONG WAY FOR MICHAELIANS)

Akhirnya 20 buah sekolah diumumkan sebagai kumpulan pertama sekolah berprestasi tinggi (SBT). Pada tahun 2011, sejumlah 30 buah sekolah lagi akan dipilih, manakala pada tahun 2012 ialah 50 buah. Semua 10,000 buah sekolah  (SK, SMK) bantuan penuh, atau sekolah bantuan modal tanpa mengira status: rendah, menengah, harian atau asrama penuh bersaing 'di atas padang yang sama rata'.

Kriteria pemilihan SBT ditetapkan berdasarkan sub-Bidang Keberhasilan Utama (NKRA), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Perinciannya terdapat dalam instrumen Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai. Antara kriteria yang disenaraikan termasuk:

a]   pencapaian akademik yang cemerlang;
b]   melahirkan personaliti unggul;
c]   merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa;
d]   mewujudkan jalinan dengan IPT;
e]   mempunyai permuafakatan dengan masyarakat, serta jalinan kukuh dengan sekolah
       tempatan dan antarabangsa;
f]   menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.

Separuh daripada SBT yang terpilih ialah sekolah berasrama penuh yang hebat-hebat belaka: Tun Fatimah, SDAR, MCKK, Seri Puteri (asalnya di Jalan Kolam Ayer, KL), Sultan Abdul Halim, Tunku Kurshiah, KISAS, SMS Tuanku Syed Putera, Alam Shah, Muzaffar Shah. SMK harian: Sri Aman, PJ; Aminuddin Baki, KL; Sultanah Asma, Alor Setar; St George (P), Pulau Pinang. Sekolah rendah: Seri Bintang Utara, KL; TTDI 1, KL; Bukit Damansara, KL; Zainab 2, KB; Convent Kota, Taiping; Bandar Baru Uda 2, JB.

Dari segi lokasi, 40 peratus SBT kumpulan pertama ini terletak di Lembah Kelang. Ironinya, tiga buah negeri terbesar dari segi saiz, iaitu Sarawak, Sabah dan Pahang tidak mempunyai wakil. Sebuah lagi negeri yang tercicir ialah Terengganu walaupun mencatat perncapaian terbaik untuk UPSR dan PMR.

Seperti biasa, mustahil untuk memuaskan hati semua pihak. Namun, perlu dingat bahawa pada tahun hadapan akan ada lagi sekolah yang terpilih. Selain  itu, pelbagai bentuk pengiktirafan KPM masih ada. Misalnya, sekolah harapan negara, sekolah kluster, anugerah kualiti, sekolah lima bintang dan banyak lagi.

Barangkali sudah tiba masanya KPM membuat penarafan kepada semua 10,000 buah sekolah dalam senarai mengikut kedudukan 1,000 buah sekolah terbaik. Sekolah yang tersenarai akan berusaha supaya tidak terkeluar pada tahun berikutnya, manakala sekolah di luar senarai akan berusaha memasukinya. Instrumen penarafan mestilah bersifat telus dan dikawal selia oleh sebuah jawatankuasa yang memiliki integriti.

Kriteria keberkesanan sekolah yang selalu terlepas pandang, iaitu persekitaran pembelajaran yang kondusif dan persekitaran kerja yang bertekanan sederhana perlu diberi pemberatan atau wajaran yang sesuai. Jangan kerana hendak mengejar sesuatu pengiktirafan, tekanan yang keterlaluan terpaksa dipikul oleh warga sekolah. Fenomena tekanan melampau yang dialami oleh generasi muda Jepun dan Korea Selatan dengan status negara maju seharusnya diambil iktibar.

Walaupun pelbagai bentuk autonomi kurikulum, kewangan dan pengambilan kakitangan diberikan kepada pengetua dan guru besar SBT, sudah pasti terdapat asas garis panduannya.  Kepimpinan sekolah yang berkesan berupaya menggembleng segala sumber di sekolah secara optimum dan suci hati. Maksudnya, warga sekolah sentiasa menyokong kepimpinan pengetua secara sukarela dalam konteks pencapaian kecemerlangan.

Bagaimanakah kedudukan SMK St. Michael, Ipoh (SMI)? Bilakah agaknya SMI dapat merasa status SBT? Meneliti senarai kriteria SBT, justifikasi untuk SMI memang lengkap.

Sebagai sebuah sekolah bantuan modal yang turut menampung keperluan murid tercicir, kurang beruntung, dan berkeperluan (the last, the least, the lost), pencapaian sehebat SBP atau sekolah kluster mungkin tidak terjangkau. Namun, SMI memiliki nama baik di dalam dan di luar negara. Sesenarai panjang Michaelians yang berbakti kepada negara dan dunia di bidang kecendekiawanan, kepimpinan politik, perniagaan, perubatan, media, sukan dan pertubuhan sukarela boleh ditonjolkan.

Hakikatnya, SBT kumpulan pertama yang terpilih memiliki x-factor yang tersendiri. Kepimpinan sekolah, tradisi, legenda dan permuafakatan stake-holders diadun dalam satu pakej yang saling melengkapi. Semuanya dipacu dalam kenderaan dan pada landasan yang sama...


Wednesday, January 27, 2010

PENDIDIKAN DEMOKRASI DI ST MICHAEL (OPEN VOTING FOR MICHAELIAN'S SPORT HOUSE LEADERS)

Isnin, 25 Januari 2010 / 9 Safar 1431

Pemilihan pemimpin murid dan pelajar sekolah dibuat menerusi pelbagai cara. Ada yang perlu mendapat pencalonan, melepasi tapisan pencapaian, dan sahsiah. Ada juga yang dipilih secara terus oleh pelajar dengan kaedah klasik - undian angkat tangan.


Kaedah angkat tangan digunakan semasa memilih pemimpin rumah sukan. Ketua guru rumah sukan akan mengendalikan proses pemilihan dan bertindak seumpama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Calon hanya memerlukan seorang pencadang dan seorang penyokong untuk layak masuk bertanding. Tiada sebarang borang perlu diisi dan tiada sesen wang pun perlu dikeluarkan.


Walaupun undian spontan tanpa kesempatan meneliti manifesto calon, asas utama undian ialah kepercayaan. Murid mengundi pemimpin yang dilihat berpotensi, sekurang-kurangnya dari segi penampilan lahiriah. Faktor populariti tidak boleh diketepikan.


Terdapat 4 buah rumah sukan, iaitu Augustus, La Salle, Patrick dan U Paul. Tiap-tiap rumah sukan dianggotai secara puratanya 500 orang murid. Sesi petang akan mempunyai wakil dalam saf kepimpinan yang dinamai ahli jawatankuasa rumah.


Tugas utama kapten rumah sukan ialah menggembleng kehadiran seberapa ramai anggota rumah untuk merebut mata dalam acara larian Michaelian, pesta permainan dan sukan tara. Rumah sukan boleh meraih jumlah mata teringgi jika banyak anggota rumah melepasi masa, jarak atau ketinggian yang ditetapkan bagi sesuatu acara. Acara prasukan akhir ini tidak mensyaratkan peserta mesti memperoleh tempat pertama hingga ketiga untuk mengumpul mata.

Kapten rumah akan mencadangkan peserta untuk bertanding di peringkat akhir setiap acara. Pada peringkat ini, baharulah mata hanya dipungut jika mengungguli tiga tempat teratas. Jika berjaya memecahkan rekod kejohanan, mata bonus akan diberi.

Selain acara balapan dan permainan, kedudukan rumah turut ditentukan oleh faktor kreativiti. Misalnya, hiasan rumah sukan, formasi perbarisan lintas hormat dan disiplin. Acara tarik tali biasanya akan menjadi kemuncak saingan andainya pungutan mata tidak jauh berbeza.

Seseorang kapten yang bijak dan cekap pasti memiliki kualiti interpersonal seperti komunikasi, membuat keputusan dan pengurusan sumber. Walaupun tidak pernah mendapat pendedahan formal dalam domain yang disebutkan, pada asasnya seseorang pemimpin termasuk kapten rumah sukan dan ahli jawatankuasanya yang dipilih melalui undian popular menandakan mereka mempunyai pengaruh. Keupayaan mempengaruhi orang lain ialah kriteria utama untuk muncul sebagai pemimpin yang berwibawa...

Monday, January 25, 2010

"ASKAR JEPUN TAWAN SEMULA" ST MICHAEL (THE "JAPANESE TROOPS RAID SMI" AGAIN)

Ipoh: Selasa, 26 Januari 2010 / 10 Safar 1431

SMK St Michael, Ipoh (SMI) tiba-tiba digemparkan dengan kemunculan segerombolan askar Jepun. Selain itu terdapat rakyat tempatan yang sanggup menjadi tali barut negara Nippon hait itu. Mereka sanggup mendera seorang jururawat yang dikenali sebagai Syabil Kartigesu.

Namun, "askar upahan" Jepun berkenaan tidak keberatan untuk bergambar. Tidak pula dia mengacukan senapang patahnya kepada sesiapa. Pendek kata, mesra lensa!

Berlainan pula dengan pemerintah askar Jepun, Jeneral Yushimura. Raut wajahnya serius dan kelihatan garang. Cara sang jeneral mengatur langkah juga tampak berbeza.

Namun jeneral juga manusia biasa yang perlukan istirahat. "Topeng" ketegasan diganti dengan seraut wajah lesu. Sang jeneral hanya mampu duduk di sebuah kerusi plastik murah.

Kelibat Syabil yang didera akhirnya muncul juga. Namun, dia memohon agar tidak dipotret dalam keadaan wajah yang lebam-lebam akibat penyeksaan konco Jepun. Sekumpulan jurugambar lain bagaimanapun tetap berdegil untuk menangkap gambar jururawat berkenaan.

Mereka berani berdegil kerana arahan Bernard Chauly, sutradara filem "Syabil Kartigesu" tidak boleh dibantah. Bernard, bekas Michaelian, pengarah muda prolifik pernah mengarah naskhah "Gol dan Gincu", "Goodye Boy", dan "Pisau Cukur". Kebanyakan filem Bernard sebelum ini berkisar tentang golongan remaja dan belia.

Imej sutradara dahulu ialah bertopi, duduk di atas sebuah kerusi khas, dan akan memberi arahan dengan nyaring kepada pelakon dan kru. Namun, teknologi telah mengubah keadaan. Bab-bab arahan diturunkan kepada penolong sutradara, dengan sokongan teknikal belakang tabir yang lain.

Lalu, ke mana pula sang sutradara? Teraju filem itu sebenarnya masuk satu ruangan khas yang bertutup kanvas gelap sepenuhnya. Dengan teknologi komputer khas, sutradara dapat membuat kawalan dan arahan serta-merta. Kekerapan sutradara keluar masuk ruang berkenaan menunjukkan tiap-tiap babak tidak dapat memuaskan hatinya dengan sekali lakonan sahaja.

Kaedah rakam terus digunakan justeru proses "dubbing" memanjangkan proses pascaproduksi. Kelemahan rakam terus ialah gangguan persekitaran set penggambaran. Misalnya, tiba-tiba loceng rehat berbunyi nyaring, dan siren ambulans kedengaran.

Tiga orang personaliti di atas bukanlah pelakon tambahan "Syabil Kartigesu". Mereka sekadar bergaya di hadapan kereta antik yang digunakan di set. Pemilik sebenar kereta berkata bahawa cukai jalan yang dikenakan ialah untuk untuk kadar pemanduan hujung minggu sahaja.

Jurukamera utama filem memberitahu bahawa 65% babak telah disiapkan. Penggambaran dijangka selesai 10 Februari nanti. Pelakon dan kru berkampung di SMI selama 4 hari.

PEJABAT PENGURUSAN TINGKATAN 6 SMI MULA BEROPERASI (PREUNIVERSITY MANAGEMENT OFFICE AT ST MICHAEL)

Dalam usaha menjamin sistem pengurusan yang cekap dan teratur, SMK St Michael, Ipoh (SMI) telah memperuntukkan sebuah pejabat pengurusan khusus untuk tingkatan 6. Bilik yang terletak di aras empat itu dilengkapi dengan kemudahan yang dapat memenuhi keperluan pensyarah prauniversiti (gelaran untuk guru akademik tingkatan 6) dan pelajar. PIBG telah bermurah hati menyumbang sebahagian kos pembiayaan ubah suai pejabat dan peralatan.

Pejabat Prauniversiti SMI ini menempatkan pengurusan kanan tingkatan enam. Penolong Kanan Tingkatan Enam yang pertama ialah Puan Tan Cheng Choo. Beliau dibantu oleh empat orang guru kokurikulum yang diketuai oleh Puan Fairoz.

Selain itu, 4 orang guru DG 52 dan moderator (penyelia) tingkatan 6 rendah dan 6 atas juga ditempatkan di pejabat ini. Dengan itu, segala data dapat dikumpul dan diselaraskan dengan cepat. Kedudukan bilik kelas 6 Atas yang bersebelahan juga memudahkan urusan hal-ehwal pelajar seperti pencapaian, kebajikan dan perundingan.

Sepertimana bilik guru di aras bumi, pejabat prauniversiti SMI turut memiliki 'kafe siber'nya sendiri. Sebanyak lima buah unit komputer yang dirangkaikan dengan sistem jaringan dalam sekolah (LAN) dan akses internet memudahkan kerja memasukkan data dalam talian. Guru juga boleh membawa komputer riba atau netbook masing-masing, justeru capaian jalur lebar tidak menjadi masalah.

Memandangkan pejabat prauniversiti sayup di atas, untuk selalu ke kantin tentu memakan masa. Maka, satu sudut kopi disediakan. Bagi menjaga kesihatan, minum banyak air masak akan membantu mengekalkan awet muda.

Sekiranya minda menunjukkan tanda-tanda akan tepu, pandang sahaja ke luar jendela, atau ambil angin di balkoni pejabat. Kehijauan landskap aras bumi dan reka bentuk kompleks SMI boleh menjadi terapi yang mujarab. Bangunan Perpustakaan Tun Abdul Razak di seberang sana menjadi rakan hab ilmu bagi SMI. 

Pejabat yang mula diduduki sejak awal 2010 ini masih dalam proses naik taraf dan belum dirasmikan pembukaannya. Seribu langkah bermula dengan satu langkah. Semoga pengurusan tingkatan 6 SMI dapat membantu ke arah kecemerlangan pembelajaran dan pengajian prauniversiti yang dijenamakan semula sejak kohort 6 Rendah tahun 2009 lalu...

Sunday, January 24, 2010

MAKMAL TINGKATAN 6 DINAIK TARAF (THE UPGRADING OF THE SIXTH FORM'S SCIENCE LAB)

Selaras dengan keperluan sistem pembelajaran modular dan sistem pentaksiran semester berasaskan sekolah, kemudahan makmal prauniversiti tingkatan 6 perlu dinaik taraf. SMK St Michael, Ipoh (SMI) mengambil langkah proaktif mendahului masa (significance target) melaksanakan proses berkenaan sebelum tiba 2011. Sebagai salah sebuah sekolah tingkatan 6 terbaik negara (berdasarkan pencapaian STPM), memang wajar SMI beberapa langkah di hadapan sebagai pemimpin untuk dicontohi.

bersambung...

Saturday, January 23, 2010

SATU HARI DI JOHOR BAHRU (ONE DAY IN JOHOR BAHRU)

Aku masih tidak menentu apabila memikirkan detik untuk membuat persembahan pentas semakin hampir, sedangkan persediaanku masih sifar. Sesungguhnya aku masih buntu. Lagi pun seumur hidup, tidak pernah aku membuat persembahan solo. Pengalaman berlakon drama pentas semasa darjah tiga sekadar watak tambahan. Itu pun selalu tersasul. Lupa skrip.

Semua guru pelatih baru yang digelar "si mentah" (freshie) Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim diwajibkan membuat persembahan solo pada hari terakhir minggu suai kenal. Aku, calon guru Bahasa Inggeris - Matematik (pendidikan awal menengah). Jumlah pelatih opsyen ini 20 orang semuanya. Kalau berbaris perlu menjerit, "kami mat salleh". Glamor konon.

Kerana dipaksa, aku pun memilih untuk mendaftar persembahan nasyid. Masa tu irama nasyid didominasi oleh kumpulan El-Suraya dari seberang dan al-Mizan dari Singapura. Semua penyanyi nasyid pula majoritinya kaum Hawa. Aku bertambah buntu.

Sehari sebelum malam persembahan, aku masih tidak menemui jawapan. Aku hanya mengharapkan keajaiban. Kadang-kadang terlintas untuk mencari helah supaya terlepas daripada membuat persembahan.

Bagaikan satu keajaiban, tiba-tiba pihak jawatankuasa mengumumkan bahawa persembahan dibatalkan.  Sebaliknya semua guru pelatih - si mentah dan si senior - diwajibkan memakaikan songkok hitam berlilit kain putih sebagai tanda berkabung. Hari tu Khamis.

Esoknya, hari Jumaat buat pertama kalinya aku berpeluang solat Jumaat di Masjid Abu Bakar, sebuah masjid klasik yang sangat bersejarah. Justeru terletak berdekatan dengan zoo, sekali-sekala kedengaran bunyi haiwan yang terkurung di sana. Disebabkan masih awal, guru pelatih  meninjau persekitaran masjid. Tambak Johor dan negara bandar raya Singapura (nama asalnya Temasik, jajahan kerajaan Johor Riau) cukup jelas dengan pandangan mata kasar.

Pantai Lido yang masyhur juga hanya dalam jarak berjalan kaki. Cuma aku kepingin sekali menyusur Tanjung Katong. Bait-bait lirik, "Tanjung Katong airnya biru, tempat m**** puteri jelita, sedang sekampung lagi dirindu, inikan pula hai jauh di mata" dendangan Tan Sri P.Ramlee singgah di telinga. Astaga... solat Jumaat. Buang segala lintasan...

Tiba-tiba kumpulan polis trafik silih berganti mengiringi kereta diraja. Aku tidak menyangka dapat bersua dengan sebegitu ramai raja Melayu dan ketua-ketua kerajaan negeri secara serentak.

Kemudian, aku menuruni tangga masjid dengan hati-hati menuju ke dewan solat. Selang beberapa minit kelihatan Tun Hussien Onn (Allahyarham), perdana menteri ketika itu. Beliau mengambil tempat di saf paling hadapan. Persamaan semua jemaah, tidak kira kedudukan - songkok hitam berlilit putih.

Setelah menunaikan solat sunat tahyatul masjid, aku berniat iktikaf. Sementara menunggu azan dikumandangkan, fikiran sempat juga melayang. Aku teringat bahawa di Johor, solat Jumaat ada bacaan qunut. Aku mesti berhati-hati supaya tidak terus turun sujud selepas i'tidal dalam rakaat kedua.

Keadaan dalam masjid begitu nyaman. Mungkin pengaruh udara bersih naungan landskap hijau di sekeliling masjid menyerap partikel habuk dan sisa karbon monoksida yang terampai di udara. Keadaan yang lapang beransur-ansur dipenuhi dengan jemaah pada setiap ruang saf.

Usai azan pertama, aku terdengar suara garau melafazkan "assalamualaikum" lambat-lambat. Aku cuba memastikan susuk tubuh khatib itu, namun aku tidak cam. Jubah yang disarung sama sahaja dengan khatib di mana-mana mimbar Jumaat.

Bacaan khutbah juga dilafazkan lambat-lambat. Satu per satu. Kali ini amat berbeza. Dalam hati terus meneka-neka. Siapakah gerangan sang khatib?

Antara lafaz khutbah berbunyi, "saya bukanlah orang yang terbaik dalam kalangan kalian, namun saya terima amanah ini dengan penuh tanggungjawab..." Lebih kurang macam pidato khalifah Abu Bakr.

Aku mengagak dalam hati bahawa khatib itulah sultan Johor yang baharu ditabalkan menggantikan ayahandanya yang telah mangkat. Ternyata agakan aku tidak meleset. Itulah kenangan yang akan kekal dalam ingatanku. Hari ini khatib bernama DYMM Sultan Iskandar telah disemadikan buat selama-lamanya...

Catatan: "Aku" ialah penulis blog (PB) sendiri. Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim terletak bersebelahan dengan Sekolah Tun Fatimah, serta tidak jauh daripada Stadium Larkin dan Tasik Utara. PB hanya sempat berada di sana selama sebulan setelah diterima masuk ke Fakulti Ekonomi, UKM.

Friday, January 22, 2010

BAHASA MELAYU DI PAPAN TANDA (SPELLING ERRORS ON THE SIGN BOARD)

Jika sudi, anda boleh memberi pendapat tentang isu penggunaan bahasa kebangsaan kita yang tertera pada papan tanda arah dan iklan di bawah.

Yang mana betul? Ejaan pada label atau ejaan pada bidai (blind)?

Maka, apa pendapat anda tentang papan tanda berikut?

Mungkin ada yang berpendapat ejaan berkenaan dibuat pada awal dekad 1980-an, iaitu ketika penyeragaman ejaan bahasa Melayu Malaysia-Brunei-Indonesia (Mabbim) belum dimuktamadkan. Waktu itu, cawan dieja sebagai chawan, bilik dieja sebagai bilek, dan syak dieja sebagai shak. Namun, bagaimana dengan papan tanda seterusnya...

Bila "bandaraya" jadi betul dan bila "bandar raya" pula perlu digunakan?

Sekarang, rujuk foto berikut:

Murtabak ke martabak? Ejaan pasar malam atau ejaan kamus?

Mee atau mi? Koay teow, kuihtiau, kotiau? Pening?

Mengapa eja "zone"? Apa pendapat anda?

Terdapat dua kesalahan ejaan pada sepanduk di atas. Jika anda perasan, silalah beritahu...

Papan tanda di atas ada kesalahan tanda baca dan tatabahasa. Silalah teliti wahai tuan puan pendeta bahasa yang arif lagi bijaksana...

Sebagai penutup bicara, bilakah agaknya tulisan jawi dapat dimartabatkan semula?

Soalan dah berjela-jela. Ayuhlah jawab...

Wednesday, January 20, 2010

ZIARAH KELAB STAF SMI KE RUMAH USTAZ SYAKIR (USTAZ SYAKIR MISSED THE SCHOOL, BADMINTON COURT)

Ipoh, Khamis: 21 Januari 2010 / 5 Safar 1431

Minggu ketiga persekolahan 2010 sudah di penghujung, namun warga SMK St Michael, Ipoh  (SMI) terasa kehilangan seseorang. Kelibat Ustaz Syakir, guru Pendidikan Islam, merangkap pengurus pasukan bola sepak sekolah dan jagoan badminton Kelab Kilas Tangkis belum juga kelihatan. Kunjungan empat orang wakil Kelab Staf dan Kelab Kilas Tangkis ke rumah beliau di Bandar Baru Klebang, kira-kira 20 minit perjananan berkereta dari SMI telah menjawab teka-teki 'kehilangan' Ustaz Syakir.

Dari segi luaran, Ustaz kelihatan sudah sihat. Walaupun demikian, atas nasihat doktor, Ustaz masih perlu beristirahat sambil menjalani beberapa prosedur prognosis (pemeriksaan dan rawatan susulan). Buat seketika Ustaz dikecualikan daripada hadir bertugas di sekolah.

Berikutan itu, pasukan Kilas Tangkis tidak dapat menggunakan tenaga Ustaz dalam perlawanan badminton persahabatan menentang SMI Old Boys yang dijadualkan pada 31 Januari ini. Ustaz merupakan "ayam tambatan" buat Kilas Tangkis. Dalam pertemuan singkat itu, Ustaz sempat juga memberi beberapa nasihat taktikal dan kata-kata semangat agar Kilas Tangkis mampu mempersembahkan permainan yang sehabis baik.

Ziarah diketuai oleh Tuan Haji Sidik, Guru Kanan Bahasa, merangkap Penasihat Kelab Kilas Tangkis. Tiga orang lagi ialah Cikgu Ibrahim (mantan Presiden Kelab Staf SMI, kini Bendahari Kilas Tangkis), Ustaz Marhalim (Ketua Panitia Pendidikan Islam) dan penulis blog (PB) sendiri selaku Naib Presiden Kelab Staf 2009/10. Kami berempat menaiki Toyota Unser milik Ustaz Marhalim.


Ustaz Syakir yang kelihatan gembira menerima kunjungan sahabat turut mempelawa kami melihat-lihat landskap di sekeliling rumah banglo beliau. Antara yang menarik perhatian ialah pohon kedondong yang lebat berbuah. Kehijauan laman mendamaikan perasaan.

Kebetulan dalam perjalanan pulang dari SMI, PB berkesempatan mendengar ceramah Ustaz Kadzim Alias yang bersiaran di Perak.fm bercakap tentang ziarah orang sakit. Menurut beliau, amalan ziarah berkenaan sangat digalakkan. Sejumlah 70 ribu malaikat akan memohon keampunan Ilahi untuk si penziarah, asalkan niat mereka tulus ikhlas, selain menjaga segala adab ziarah.

Antara adab ziarah orang sakit ialah tidak berlama-lama di situ, tidak mengharapkan jamuan, tidak cuba mengintip-ngintip keadaan rumah, melafazkan kata-kata semangat dan harapan sahaja (bukan sebaliknya) dan adab-adab umum yang lain. Maka, alangkah beruntungnya petugas hospital yang saban waktu berdamping dengan pesakit. Mereka senantiasa didoakan oleh para malaikat andainya pekerjaan yang dilakukan menepati kriteria ibadah...

Kepada Ustaz Syakir, warga SMI mendoakan Ustaz segera pulih sepenuhnya. SMI menunggu detik Ustaz menjejakkan kaki semula di kampus SMI. Kelab Kilas Tangkis juga memanjatkan doa kesejahteraan buat Ustaz sekeluarga. Amin...

KELAB PENULISAN DAN PENERBITAN ST MICHAEL DITUBUHKAN (THE NEW EDITORIAL TEAM AT ST MICHAEL'S INSTITUTION)

Ipoh, Rabu: 20 Januari 2010 / 4 Safar 1431

Bidang penulisan dan penerbitan memerlukan komitmen dan ketepatan masa. Begitulah permintaan Joanna Ooi, Presiden Kelab Penulisan dan Penerbitan yang baharu ditubuhkan. Keanggotaan kelab hanya dibuka kepada jawatankuasa sidang redaksi majalah The Michaelian 2009.  Hanya 19 orang pelajar terpilih setelah diperakui menerusi proses saringan yang ketat.

Perjumpaan pertama diadakan hari ini mulai pukul 3.45 petang hingga 5.00 petang. Turut hadir ialah penulis blog (PB) selaku penasihat kelab. Aktiviti bertumpu terhadap pemilihan aktiviti kelab yang dicadangkan secara spontan.

Projek utama kelab ialah menerbitkan buletin dalam tempoh tiga bulan sekali. Terbitan sulung buletin dijangka menemui khalayak pembaca warga SMI pada awal bulan Mac kelak. Pengalaman semasa menganggotai sidang redaksi The Michaelian akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Format dan kandungan buletin direka bentuk berdasarkan cita rasa warga SMI. Satu tinjauan ringkas bakal dijalankan untuk tujuan berkenaan. Biarlah buletin sulung nanti mendapat sambutan dan maklum balas yang baik.


Anggota kelab juga mencadangkan aktiviti lawatan ke Pulau Pinang. Memandangkan isu keselamatan murid dan pelajar sekolah semakin hangat, rombongan sedemikian tentunya bakal melalui tapisan yang sukar. Perancangan awal dan pelan kecemasan (pilihan destinasi lain) mesti diberi keutamaan.

Bagi memantapkan kebolehan mengarang dan seni fotografi, beberapa kursus ringkas sedang dirancangkan. PB selaku penasihat sedia berkongsi pengalaman sebagai penulis buku dan rencana akhbar perdana. Selain itu, seorang guru SMI yang menjadi wartawan sambilan The Sun, Cikgu Peter Khiew telah memberi persetujuan lisan untuk membentangkan tajuk etika dan perundangan dalam penulisan berita.

Cadangan asal penubuhan kelab dilontarkan oleh Tuan Haji Mohamad Sidik bin Haji Zakaria, Guru Kanan Bahasa SMI. Beliau akan membantu pengetua memantau dan memberi bantuan kepada kelab apabila perlu. Penubuhan kelab ini membolehkan anggota sidang redaksi majalah The Michaelian mendapat pengiktirafan sebagai pelajar aktif kokurikulum.

Majoriti anggota kelab ialah pelajar perempuan. Sentuhan penulisan dominasi feminin itu bagaimanapun diharap tidak menenggelamkan terus citra maskulin. Keseimbangan dalam pemberitaan dan liputan merupakan prinsip ekuiti yang perlu dijunjung sampai bila-bila.

Tuesday, January 19, 2010

PENJAGAAN KESIHATAN MURID SEKOLAH (HEALTHY MICHAELIANS)

Ipoh, Rabu: 20 Januari 2010 / 4 Safar 1431

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Menutup pintu kerosakan. Kesihatan ialah mahkota yang hanya dapat dilihat oleh si sakit. Demikian antara kaedah, falsafah dan ingatan tentang pentingnya manusia menjaga kesihatan diri dan persekitaran.

Murid sekolah di Malaysia amat bertuah justeru pihak berkuasa kesihatan sentiasa membuat pemantauan terhadap kesihatan mereka dan memastikan bahawa persekitaran sekolah bebas daripada ancaman penyakit bahaya. Dari sekolah rendah hingga menengah, murid memiliki jadual pemeriksaan, rawatan dan suntikan tertentu supaya masalah seperti batuk kering, polio, untut, rubella, kancing gigi dan demam kuning hanya menjadi catatan sejarah kesihatan rakyat kita. Namun, kemasukan tenaga kerja asing dan pelancong memungkinkan penularan wabak penyakit bawaan manusia dan unggas hingga memerlukan tatacara pencegahan yang baharu.

Murid SMK St Michael, Ipoh (SMI) juga tiada pengecualian. Selain rutin pemeriksaan gigi, murid SMI menjalani ujian penglihatan dan menerima suntikan pencegahan kancing gigi. Tugas pemeriksaan dan suntikan dilaksanakan oleh Poliklinik Kesihatan Greentown.

Macam-macam gelagat ditunjukkan oleh murid 3A8. Yang belum menerima suntikan kelihatan sedikit gusar. Yang sudah disuntik menyatakan semuanya beres, malah mampu tersenyum.

Mengikut teori optometri, individu berusia 35 tahun ke atas akan mula menghadapi masalah penglihatan. Skala bacaan 6/6 sukar dikekalkan. Namun, kanak-kanak mungkin didapati rabun lebih awal akibat faktor genetik, persekitaran dan gaya hidup.

Gangguan kesihatan fizikal dan mental boleh menjejaskan proses pembelajaran. Murid yang bermasalah kesihatan sukar memberi tumpuan terhadap aktiviti bilik darjah. Keadaan fizikal mereka yang kurang bermaya juga boleh mempengaruhi mood keseluruhan kelas.

Gejala atau simptom sesuatu penyakit boleh dikesan menerusi prosedur diagnosis awalan. Petugas kesihatan yang berpengalaman mungkin boleh membuat cadangan pemeriksaan lanjut terhadap murid yang didapati menunjukkan tanda-tanda berisiko kesihatan. Murid mesti diyakinkan bahawa rawatan seawal yang boleh memberikan harapan supaya mereka pulih dengan segera.

Monday, January 18, 2010

GURU PELATIH LAPOR DIRI DI SMI (PRACTICUM TEACHERS SIGN IN)

Ipoh, Isnin: 18 Januari 2010 / 2 Safar 1431

Serentak dengan majlis pelantikan pemimpin pelajar, lapan orang guru pelatih dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tiba untuk memulakan latihan mengajar selama lapan minggu. Taklimat disampaikan oleh Tuan Haji Tauhid Ahmad bin Haji Shamsuddin, Penolong Kanan Pentadbiran. Empat orang (semuanya guru pelatih wanita) ditempatkan untuk sesi pagi. Empat orang lagi (dua daripadanya guru pelatih lelaki) ditempatkan untuk sesi petang.

Isu hangat yang membabitkan "pertikaman lidah" antara Naib Canselor UPSI dengan seorang timbalan menteri ialah tentang pengambilan calon guru sekolah menengah dan keakuran terhadap unjuran permintaan guru. Dikhabarkan ribuan siswazah pendidikan tidak diberikan petempatan sebagai guru sandaran terlatih. Dalam kata lain, wujud pengangguran yang besar dalam bidang pengajian yang dahulunya tidak pernah berlaku..

berita selanjutnya kemudian...

Sunday, January 17, 2010

MAJLIS PELANTIKAN PEMIMPIN PELAJAR 2010 (THE INSTALLATION OF MICHAELIAN LEADERS 2010)

Ipoh, Isnin: 18 Januari 2010 / 2 Safar 1431

Pengisytiharan atau pemasyhuran seseorang atau sekumpulan pemimpin perlu dibuat dalam suatu majlis rasmi yang gilang-gemilang. Pemimpin dapat diperkenalkan kepada khalayak untuk dihebahkan kepada seluruh "rakyat jelata". Dalam konteks sekolah, majlis rasmi sedemikian meninggalkan kesan yang signifikan dari segi pengiktirafan kepimpinan murid dan pelajar, serta asas penerimaan warga sekolah keseluruhannya.

Majlis pelantikan pemimpin murid dan pelajar SMK St Michael, Ipoh (SMI) disempurnakan oleh tetamu kehormat, Encik Joseph Michael Lee, Pengerusi PIBG sekolah. Beliau juga ialah bekas pelajar SMI dari tahun satu hingga 6 Atas. Walaupun baru tiba dari urusan kerja di luar negara, kerana SMI, beliau sanggup bergegas memenuhi undangan majlis yang begitu bermakna kepada warga SMI.

Penyerahan surat pelantikan disampaikan kepada pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan majlis ketua kelas. Encik Joseph dalam ucapan perasmian sebelumnya mengingatkan murid dan pelajar yang dilantik bahawa amanah yang diberikan bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya satu tanggungjawab. Komitmen terhadap amanah dan tanggungjawab yang diberi akan menjadikan mereka pemimpin yang dihormati.

Lafaz ikrar jawatan diketuai oleh Khor Er Vin selaku ketua pengawas, sambil diapit oleh Sujitra a/p Kunasakaran (ketua pengawas perempuan), Lai Zheng Yip (ketua pengawas pusat sumber), dan Hansraj a/l Selvaraj Loganathan (pengerusi majlis ketua kelas). Inti pati ikrar ialah kesediaan membantu pihak sekolah menegakkan kuat kuasa segala peraturan sekolah. Selain itu, mereka bertekad mempamerkan ciri-ciri kecemerlangan sebagai kelompok rujukan (reference group) yang disanjung tinggi.

Kecekapan dalam merancang majlis rasmi dapat memastikan bahawa banyak perkara boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Kumpulan pemimpin murid dan pelajar yang berdiri, serta hadirin yang duduk tidak berasa resah gelisah menantikan berakhirnya majlis. Majlis di SMI yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu hanya mengambil masa setengah jam.

Dalam konteks sekolah, bantuan pemimpin murid dan pelajar bakal menyumbang terhadap persekitaran pembelajaran yang baik dan kondusif. Pemimpin yang hebat ialah pemimpin yang disegani, bukan pemimpin yang "ditakuti". Kini, tugas pemimpin murid dan pelajar bukanlah semata-mata sebagai "mata dan telinga" sekolah, tetapi sebagai teladan kecemerlangan kepada warga sekolah yang lain.