SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, February 26, 2012

MEMPELBAGAIKAN STRATEGI PROGRAM NILAM DI SEKOLAH (TO NURTURE READING HABIT AMONG CHILDREN)

Jika merujuk kamus, nilam membawa maksud permata biru yang amat bernilai dan tersangat tinggi mutunya. Dalam hikayat lama, sering terungkap hiasan bertatah nilam dan zamrud. Kehebatan nilam menjadi sebutan sejak zaman-berzaman.

Dalam kalangan murid dan guru pula, nilam juga membawa satu lagi maksud, iaitu nilai ilmu amalan membaca. Nilam dijadikan akronim atau singkatan ejaan untuk gabungan beberapa perkataan terhadap satu projek mega di sekolah yang bertujuan memupuk tabiat membaca. Pelaksanaan Nilam perlu dilaporkan kepada Pusat Kegiatan Guru (PKG) zon atau daerah masing-masing untuk tujuan pemantauan dan penarafan.

PKG ialah sekretariat atau urus setia program Nilam. PKG dikelolakan oleh sekumpulan pegawai dan kakitangan teknologi pendidikan berdasarkan norma perjawatan Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia (BTP). Di samping melaksanakan dasar dan pelan tindakan BTP peringkat kebangsaan dan negeri, PKG juga perlu mematuhi program tempatan masing-masing berdasarkan keputusan mesyuarat pengetua dan guru besar yang secara automatik ialah jawatankuasa tertinggi sesebuah PKG.  

Mesyuarat jawatankuasa PKG biasanya dipengerusikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) dan wajib dihadiri oleh semua pengetua dan guru besar dalam gugusan PKG berkenaan. Maka, antara agenda penting mesyuarat jawatankuasa PKG ialah laporan tentang kemajuan dan pelaksanaan projek Nilam di sekolah masing-masing. Pegawai teknologi pendidikan yang mengelolakan PKG juga biasanya akan menyediakan data dan carta tentang pelaksanaan Nilam untuk perbincangan mesyuarat dan perakuan tindakan selanjutnya.

Sekolah-sekolah yang didapati tidak begitu mengambil berat tentang pelaksanaan Nilam akan diberikan teguran oleh pihak PPD. Sebaliknya, pengetua atau guru besar yang berjaya mempamerkan kepimpinan yang berkesan dalam pelaksanaan projek Nilam akan disebut-sebut sebagai contoh perkongsian pintar. Nama baik sesebuah PKG di mata BTP sedikit sebanyak akan dipengaruhi oleh pencapaian projek Nilam dalam gugusan PKG masing-masing.

Kunci kejayaan projek Nilam ialah tahap pelaksanaannya di peringkat sekolah. Pengetua dan guru besar akan menubuhkan jawatankuasa khas Nilam yang dianggotai sama oleh penolong kanan (kurikulum dan pentadbiran), guru kanan bahasa, ketua-ketua panitia bahasa, dan guru media (pusat sumber) selaku setiausaha. Guru-guru kelas juga kadangkala dilibatkan sama untuk tujuan penyampaian maklumat dan rekod markah bonus kokurikulum, sijil berhenti sekolah dan surat akuan. Murid dibimbing supaya menulis catatan yang diperlukan dalam buku rekod Nilam yang wajib dimiliki.
kempen 10 minit Nilam semasa perhimpunan mingguan di SMK St. Michael, Ipoh

Sekali imbas, Nilam mungkin satu beban tambahan kepada murid-murid yang sudah sedia sibuk dengan jadual aktiviti pembelajaran yang padat. Terdapat juga kes terpencil apabila murid hanya menyalin catatan rekod kawan sekadar memenuhi syarat dan supaya tidak banyak soal jawab dengan cikgu. Namun, perbuatan sedemikian hanya selamat di peringkat bawahan sahaja, justeru jika seseorang murid berhasrat diiktiraf sebagai penerima sijil tahap gangsa, perak, emas atau nilam, dia mesti berupaya membuktikan ketulenan pembacaan menerusi temu bual atau ujian tertentu.

Hakikatnya, pelaksanaan Nilam bertepatan dengan ikhtiar menjana modal insan minda kelas pertama ke arah pencapaian negara maju acuan sendiri berpendapatan tinggi. Tabiat membaca ialah asas kepada pembentukan masyarakat berilmu pengetahuan yang bukan sekadar bertujuan daya saing era ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy). Nilam ialah proses pemupukan masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan sebagai landasan menemukan kebenaran dan sentiasa mendambakan keadilan dalam setiap keputusan dan juga tindakan...

No comments: