SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, February 8, 2012

TAHNIAH PROFESOR AWANG SARIYAN (LANGUAGE MAESTRO ON THE RIGHT POSITION)

Pelantikan Profesor Dr. Awang Sariyan sebagai Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) umpama sirih pulang ke gagang. Sebelum kembali ke dunia akademik sebagai mahaguru bahasa, beliau pernah menyandang kedudukan sebagai Pengarah Jabatan Bahasa, DBP yang bertaraf Jusa C. Jawatan ketua pengarah barangkali pada gred Jusa A, atau setaraf dengan kedudukan profesor kanan yang sedia disandang oleh Prof. Awang Sariyan.
gambar ambilan daripada blog Kembara Bahasa milik Prof. Dr. Awang Sariyan

Bab gred jawatan dan gaji bukanlah perhatian utama pejuang bahasa. Sebaliknya, sebagai pejuang bahasa yang gigih dan tegar, harapan yang menggunung diletakkan kepada Prof. Awang agar kedudukan bahasa Melayu sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan dan kontrak sosial kemerdekaan akan menjadi landasan dasar berkenaan bahasa di negara kita. Walaupun tertakluk kepada terma perkhidmatan dan pentadbiran tertentu, sebagai ahli bahasa yang ulung, sudah tentu Profesor Dr. Awang Sariyan memiliki pengaruh dan upaya yang sangat diperlukan bagi menjayakan cita-cita generasi merdeka kita.

Anak kelahiran Muar,  Johor ini telah menyerlahkan kecemerlangan kebahasaan sejak pengajian ijazah asas dengan memperoleh sarjana muda persuratan kelas pertama dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), serta Diploma Pendidikan dari universiti yang sama. Beliau sempat bertugas sebagai guru sekolah dan pegawai penyelidik bahasa di DBP. Sambil berperanan sebagai tutor di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), beliau langsung berguru dengan Profesor Emeritus Dr. Nik Safiah Karim untuk ijazah sarjana dan doktor falsafah.

Prof. Awang pernah bertugas di Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan UM. Penulis blog (PB) pernah berguru dengan Prof. Awang untuk kuliah kaedah bahasa Melayu semasa kursus diploma pendidikan di UIAM. Prof. Awang juga pernah mengajar di Universiti Brunei Darus-Salam, Frankfurt dan Beijing.

Prof. Awang juga sering diundang membentangkan kertas kerja dalam persidangan bertaraf antarabangsa di serata dunia. Kertas kerja dan laporan penyelidikan beliau dalam jurnal terkemuka dianggap sebagai rujukan yang sangat tinggi nilainya. Ketokohan beliau sebagai cendekiawan bahasa Melayu akan terus menjadi rujukan zaman-berzaman, insya-Allah.

Beliau juga sangat lantang bersuara dalam memartabatkan bahasa Melayu dan berani menegur pemimpin negara yang tersasar daripada etika dan citra bahasa Melayu. Sebagai contoh, Prof. Awang pernah menegur penggunaan kata "kecapaian' yang dijadikan tema hari kemerdekaan negara. Walaupun terdapat juga tukang kipas dalam kalangan sarjana sosiolinguistik, perkataan kecapaian yang membawa maksud "lesu" itu akhirnya dilupakan begitu sahaja.

Profesor Dr. Awang Sariyan boleh dianggap sebagai penyokong kuat tatabahasa Za'aba dan transformasi generatif Chomsky. Beliau juga berlapang dada dengan mazhab bahasa yang berbeza seperti yang diperjuangkan oleh Profesor Asmah Haji Omar dan sebahagian ahli linguistik terapan. Sebagai ahli akademik, perbezaan aliran pemikiran bukanlah suatu perkara yang sangat pelik!

Sesungguhnya pelantikan Profesor Dr. Awang Sariyan sebagai teraju kepimpinan organisasi bahasa tertinggi negara ialah pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan kesarjanaan beliau yang luar biasa. Semoga beliau akan menjadi permulaan kepada tradisi meletakkan DBP sebagai sebuah entiti bahasa yang sangat dihormati dan dipercayakan. Bahasa bukan ditadbir, tetapi bahasa mentadbir...

No comments: