SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, February 11, 2012

PENGALAMAN BELAJAR BAHASA ARAB (SHORT CUT TO UNDERSTAND AL-QUR'AN)

Sebaik sahaja tamat minggu suai kenal, semua pelajar fakulti ekonomi UKM wajib menduduki ujian bahasa Inggeris bagi menentukan tahap penguasaan masing-masing. Alhamdulillah, pasa masa itu penulis blog (PB) sangat yakin dapat menjawab semua soalan yang boleh dianggap sangat "kacang". Begitu juga dengan rakan yang lain, terutama pelajar lepasan matrikulasi.

Dengan harapan akan dikecualikan daripada kelas bahasa Inggeris, PB sudah mula memasang impian untuk masuk kelas bahasa Arab dan bahasa Mandarin. Namun, akhirnya semua sekali terkejut kerana pihak universiti mewajibkan semua pelajar mengikuti dua kelas MF (Bahasa Inggeris) selama tiga semester berturut-turut. Maka, hasrat untuk belajar bahasa Arab tertangguh buat sementara.

PB tiada masalah dengan kelas MF, kecuali provokasi seorang guru lelaki lanjut usia yang sangat melampau kononnya supaya pelajar mahu bertutur dalam bahasa Inggeris. Nasib baik pelajar-pelajar Islam dapat bersabar dan mengutamakan hikmah dalam dakwah. Guru berkenaan akhirnya terperangkap kerana soalan balas pelajar tidak terjawab, sebaliknya dia hanya mampu terkulat-kulat!

Masuk semester 4, PB terus berdaftar untuk kursus bahasa Arab yang membawa nilai 2 jam kredit. Kelas diadakan di bilik tutorial Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan aras bumi setiap petang. Guru bahasa Arab PB ialah Ustaz Hanafiah yang pekat dengan loghat Kedah.

Ayat pertama yang masih kekal dalam ingatan PB ialah al-lughatul 'arabiah thalathu anwa', al-ismun, wal-fi'lun, wal-harfun maksudnya bahasa Arab terdiri daripada tiga komponen, kata nama, kata kerja dan kata sifat. Dengan cepat, pelajar dapat menguasai kaedah wazan tasrif bagi sesuatu kata dasar. Setelah itu, pelajar didedahkan dengan tatabahasa fi'il madi dan fi'il mudari'.

Keseronokan belajar bahasa Arab ialah kebolehan membaca teks tanpa baris. Pelajar sudah boleh tahu bahawa selepas sebutan huruf jar seperi bi, fi, li, min, baris akhir perkataan berikutnya dibaca secara baris bawah. Contohnya, fi'l-jihadi, bukan fi'l-jihada atau fi'l-jihadu!

Maka, pengetahuan asas bahasa Arab sahaja sudah boleh membantu pelajar untuk lebih berhati-hati dalam bacaan al-Qur'an, al-Hadith atau sebarang teks bahasa Arab yang mudah. PB kemudian membuat keputusan untuk mengambil dua kerats bahasa Arab lanjutan walaupun tidak dikira dalam jam kredit kerana had maksimum untuk kursus elektif sudah dipenuhi.

Ustaz Hanafiah juga sangat emosi apabila bercakap tentang nasib tulisan Jawi. Beliau sangat kesal dengan langkah menghapuskan tulisan Jawi suatu ketika dahulu. Tulisan Jawi sangat sinonim dengan al-Qur'an dan wajib dipelajari dengan bersungguh-sungguh.

Budak-budak usrah, tabligh dan kaki surau yang lain memang agak obses dengan kosa kata bahasa Arab walaupun perkataan itu sudah ada dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu. Ganti nama ana, anta, akhi dan ukhti begitu meluas digunakan sebagai ganti kepada saya, awak, saudara dan saudari. Barangkali cara berkenaan lebih baik daripada penggunaan I, you, dan my dear yang lebih dekat dengan acuan Barat...

bersambung...

5 comments:

Al-Manar said...

Saya seratus peratus bersetuju dengan Ustaz Hanafiah. Satu dosa besar iala mereka yang telah mengenepikan jawi. Disinilah seperti saya pernah kata dalam belok ini kehampaan saya terhadap DBP yang saya kadangkala katakan dalam blog saya sebagai satu badan yang telah 'bastardised' bahasa Melayu. Saya berasas sekolah Arab. Dalam blog saya tak ada baris!

cikgu azhar said...

salam

pak hasan boleh buat saranan terus dalam blog ketua pengarah dbp yang baharu (prof. dr. awang sariyan): kembara bahasa.blogspot.com

sebelum dbp diterajui oleh bukan sarjana bahasa. kita berdoa ada perubahan dalam hal yang pak hasan katakn selama ini, insya-Allah...

Anonymous said...

Assalamualaikum Cikgu..
Mungkin soalan saya ni tak berkaitan sangat dengan tajuk entri tapi ada kaitan dengan Bahasa Arab. Saya pelajar tingkatan aliran KAA dan mengambil subjek tambahan B.Mandarin di sekolah. Baru-baru ini cikgu kelas beritahu saya yg saya tidak dibenarkan mengambil Mandarin bagi PMR sebab saya dah ada B.Arab. Tetapi sewaktu mula-mula masuk Ting 1 dulu saya tidak diberitahu tentang perkara ini malahan guru-guru di sekolah yg saya jumpa menggalakkan saya mengambil 2 subjek bahasa asing. Saya rasa terkilan sebab dah belajar Mandarin dengan bersungguh-sungguh selama 2 tahun tapi akhirnya tidak dibenarkan menduduki subjek tersebut. Bagaimana saya nak mengatasi masalah ini? Saya berharap sangat dapat mengambil B.Mandarin sebab saya sayang dan minat kedua-dua bahasa ini iaitu B.Arab dan Mandarin. Harap cikgu boleh beri pandangan dan usul dalam perkara ini. Terima kasih Cikgu.

cikgu azhar said...

Salam

Peraturan peperiksaan menetapkan demikian. Pertama, mungkin jadual peperiksaan untuk semua bahasa asing dibuat serentak. Kedua, dasar hanay membenarkan calon menduduki hanya satu kertas bahasa asing selain bahasa Inggeris.

Di sekolah berasrama penuh, pelajar hanya dibenarkan memilih satu bahasa asing. Adik dikira bertuah kerana pihak sekolah memberi keizinan mengikuti 2 kelas bahasa asing. Tidak mengapalah tidak boleh menduduki peperiksaan, justeru yang lebih penting ialah belajar sebanyak mungkin bahasa asing. "Multilingual device" dalam otak seseorang ialah satu keajaiban.

Kesimpulannya, adik tidak perlu berasa terkilan, sebaliknya teruslah belajar bahasa Mandarin untuk manfaat jangka panjang, insya-Allah...

Adi Channel said...

Pengalaman yang menarik