SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

PENDIDIKAN KHAS KANAK-KANAK PINTAR (THE NEED OF THE GIFTED GROUP)

Tanggapan tentang pendidikan khas lazimnya terarah kepada kanak-kanak istimewa, kelainan upaya, keperluan khas dan kekurangan diri yang lain. Namun, pendidikan khas sebenarnya turut meliputi program pembelajaran bagi kanak-kanak pintar dan luar biasa dari segi kognitif. Di Malaysia, guru-guru pendidikan khas juga lebih banyak dilatih untuk memenuhi tujuan yang pertama itu.

Pendidikan khas untuk kanak-kanak pintar dan aras kognitif tinggi lebih banyak diusahakan oleh pihak swasta dan kumpulan berpengaruh. Misalnya, terdapat sekolah rendah pintar, maahad tahfiz pintar dan sekolah berasrama penuh swasta. Di samping itu, pihak Universiti Kabangsaan Malaysia (UKM) dengan dukungan kuat isteri Perdana Menteri juga menonjol dengan projek Permata Pintar.

Kanak-kanak pintar dalam pembelajaran memiliki aras kognitif yang sangat berbeza dengan kanak-kanak biasa, bahkan dalam sebahagian kes mengatasi kebolehan pelajar universiti dan orang dewasa. Contohnya, bakat luar biasa dalam bidang matematik dan reka cipta. Teknologi komputer, serta internet telah menjadi pemangkin kebolehan kanak-kanak pintar.

Pendidikan khas tergolong dalam kategori eksklusif, berbanding dengan sistem pendidikan kebanyakan negara yang bersifat inklusif. Alasan utama untuk mengumpul murid pelbagai aras pencapaian dalam satu bilik darjah ialah prinsip pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid. Selain itu, pengalaman pembelajaran secara inklusif didakwa lebih tepat sebelum kanak-kanak menamatkan alam persekolahan, lalu masuk dalam masyarakat sebenar yang berbilang-bilang pencapaian.

Pendidikan khas untuk golongan istimewa, kelainan upaya, keperluan khas, dan kategori kekurangan yang lain memang sudah lama dilaksanakan di hampir semua negara. Murid terbabit mungkin belajar dalam kawasan sekolah yang sama, tetapi diasingkan berdasarkan kelas dan guru. Malah, sekolah kebangsaan yang mempunyai sejumlah murid pendidikan khas layak menerima penolong kanan (pendidikan khas), di samping elaun guru pendidikan khas.

Kini, pendidikan khas untuk murid pintar mulai mendapat perhatian. Buat sementara waktu, sementara tanggapan masyarakat tentang pendidikan khas masih terhad, penonjolan jenama pendidikan khas untuk murid pintar belum dibuat. Guru terlatih untuk pendidikan khas murid pintar juga masih belum diwujudkan dalam norma perjawatan di sekolah.
kompleks Permata Pintar di kampus UKM, Bangi

Daya usaha Fakulti Pendidikan UKM menggunakan segala sumber kesarjanaan pendidikan khas untuk menjayakan projek Permata Negara boleh dianggap sebagai tepat pada masanya. Kesudian isteri Perdana Menteri untuk memperoleh peruntuk belanjawan RM111 juta pada tahun lalu sangat bererti. Tanpa prejudis politik, Permata Pintar itu boleh dianggap sebagai projek rintis memperkasa modal insan aras kognitif tinggi yang penting kepada negara.

Sepertimana iklan, pulangan kepada sesuatu pembiayaan pendidikan sukar diukur dengan wang ringgit. Bakat terbaik kanak-kanak aras kognitif tinggi perlu digilap supaya tidak terbiar begitu sahaja. Mereka juga perlu dibekalkan dengan kekuatan rohani supaya kebolehan luar biasa yang dimiliki hanya menjurus ke arah kebaikan, kebaktian dan amal soleh...

No comments: