SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, July 14, 2012

RAYUAN IPTA BERAKHIR 22 JULAI (PREMIER UNIVERSITY REDUCING UNDERGRADUATE ENROLMENT)

Kementerian pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) mengumumkan bahawa lima buah universiti perdana negara, iaitu UM, UKM, USM, UPM dan UTM kini memberi tumpuan kepada kegiatan penyelidikan dengan dasar pengambilan pelajar pascasiswazah, iaitu program ijazah tinggi sarjana dan doktor falsafah. Maka, sebilangan besar pemohon IPTA ke universiti perdana yang berkenaan dialihkan kepada empat buah universiti awam kategori komprehensif, iaitu UiTM, UIAM, UMS dan Unimas. Baki sebelas universiti awam lain disenaraikan sebagai universiti berfokus, iaitu UUM,  UMT, UMK, UniSZA, UPNM, Unimap, UMP, UPSI, UTeM, USIM dan UTHM juga sedang menuju ke arah status universiti penyelidikan.

Daripada sejumlah 38,549 tempat yang ditawarkan untuk calon ijazah pertama, 5,154 calon atau 13.37 peratus pemohon yang berjaya termasuk dalam kumpulan pengajian kritikal. Saringan untuk kursus kritikal sangat ketat dengan penilaian terhadap pencapaian PNGK tertinggi, serta kelayakan fizikal dan keperibadian yang tertentu. Pecahan terperinci ialah seperti berikut:

        1   perubatan:  875 orang (2.27 peratus)

        2   pergigian:    170   (0.44)

        3   farmasi:       295   (0.76)

        4   undang-undang:  354   (0.92)

        5   perakaunan:   804   (2.09)

        6   kejuruteraan kimia:   666   (1.73)

        7   kejuruteraan mekanikal:   1,071   (2.78)

        8   kejuruteraan elektrik dan elektronik:   919   (2.38)

Universiti komprehensif bererti nisbah pengambilan calon ijazah pertama kepada ijazah tinggi ialah 70:30, manakala universiti penyelidikan dan universiti berfokus ialah 50:50. Tiga buah politeknik premier, iaitu Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Politeknik Shah Alam dan Politeknik Johor Bahru juga dijangka memulakan kursus diploma lanjutan yang setaraf dengan kelayakan ijazah pertama dalam tempoh terdekat. Langkah berkenaan sejajar dengan sasaran 40 peratus penduduk memiliki akses pengajian tinggi ke arah taraf negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri menjelang tahun 2020.

Penawaran tempat untuk kursus ikhtisas bidang pendidikan juga turun sebanyak 50 peratus memandangkan unjuran keperluan guru pelatih untuk sekolah bantuan penuh kerajaan dan sekolah bantuan modal sudah sampai ke tahap yang agak tepu. Belakangan ini, bilangan siswazah pendidikan UPSI yang tidak dapat dilantik sebaik sahaja tamat pengajian didapati meningkat secara mendadak. Siswazah pengajian pendidikan tidak lagi menikmati jaminan automatik dari segi pekerjaan sepertimana sepuluh tahun dahulu.

Walaupun fenomena pengangguran siswazah di seluruh dunia masih berleluasa, persaingan untuk merebut tempat di universiti tidak pernah berkurangan, malah semakin sengit. Perancangan buruh yang cekap dijangka mampu mengatasi masalah pengangguran siswazah dalam jangka panjang. China dan India sebagai contoh telah muncul sebagai kuasa ekonomi baharu dalam kuartet BRIC (Brazil, Russia, India, China) apabila modal insan berkualiti tinggi dalam kalangan siswazah akhirnya melonjakkan negara berkenaan menjayakan konsep ekonomi berasaskan pengetahuan (k-economy) sebagai anjakan ekonomi berasaskan pengeluaran (p-economy) yang bergantung kepada kudrat fizikal semata-mata.

Fakta lain yang menarik dalam pengambilan calon prasiswazah kali ini ialah:

1   calon bumiputera yang berjaya:  27,455 orang   (71.22 peratus)

2   calon keturunan Cina:   8,986  (23.31)

3   calon keturunan India:   1,384  (3.59)

4   calon keturunan kaum lain:  724   (1.88)

5   Nisbah calon sains dengan sastera ialah 57:43  (21,959 orang calon sains; 16,590 calon sastera)

6   Nisbah calon perempuan kepada lelaki ialah 66:34  (25,372 orang lawan 13,177 orang)

Nisbah pengambilan calon prasiswazah berasaskan sistem meritokrasi juga dilihat sebagai setara dengan profil demografi kira-kira 30 juta orang penduduk Malaysia. Kategori bumiputera merangkumi orang Melayu, suku kaum pribumi di Sabah dan Sarawak, serta etnik Cina Sabah dan Sarawak. Namun, nisbah pelajar perempuan yang jauh lebih tinggi memerlukan penyelidikan menyeluruh bagi mengetahui punca sebenar dan natijah arah aliran berkenaan kepada negara dalam jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.

Tempoh rayuan bagi pemohon yang gagal ialah 10 hari dan berakhir pada 22 Julai (Ahad) secara atas talian menerusi e-rayuan di alamat laman sesawang http://upu.mohe.gov.my. Keputusan rayuan dijangka diketahui sebelum tarikh pendaftaran IPTA pada 1 dan 2 September ini bermula. Pemohon lulusan STPM yang masih gagal dalam rayuan mungkin berpeluang menyambung pengajian di peringkat diploma menerusi pemindahan jam kredit tertentu jika dasar berkenaan diterima pada tahun ini juga di bawah sistem terminal yang lama...

1 comment:

Anonymous said...

penuh dengan maklumat..thnkz cikgu azhar... teruskan blog ini..