SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, July 8, 2012

KOLEJ PRAUNIVERSITI ATAU INSTITUT TINGKATAN ENAM? (REBRANDING POST-SECONDARY ACADEMIC STUDY)

Proses penjenamaan dan penstrukturan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam menerusi sistem modular telah membuka lembaran baharu dalam sejarah laluan utama kemasukan ke universiti sejak sekian lama. Memandangkan lepasan menengah atas (SPM) kini mempunyai sangat banyak pilihan untuk menyambung pengajian sama ada matrikulasi, politeknik, UiTM, kolej komuniti dan institut pengajian tinggi swasta, maka sesuatu perlu dilakukan supaya pengajian prauniversiti tingkatan enam tidak hilang daya tarikan sama sekali. Maka, menerusi pasukan pemikir perancangan senario, langkah memperkasa tingkatan enam dengan memansuhkan sistem terminal, iaitu pengajian selama setahun setengah dengan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekali gus pada penghujung pengajian, diharapkan bakal melonjakkan semula imej kelas tingkatan 6 yang sudah begitu berjasa kepada negara.

Jika murid lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau lepasan tingkatan tiga menerusi sistem pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) berpeluang menggenggam segulung diploma kemahiran di kolej-kolej vokasional yang berasingan daripada sekolah, tidak wajarlah pelajar tingkatan enam yang bertaraf prauniversiti masih menghadiri kuliah dan tutorial di sekolah. Jika pengarah kolej vokasional menikmati gred perjawatan DG 54, pengarah kolej atau institut tingkatan enam patut berada pada gred yang setara, bahkan lebih tinggi daripada itu. Kelayakan guru akademik tingkatan enam juga harus dinaik taraf sekurang-kurangnya ijazah sarjana supaya sejajar dengan aras pembelajaran prauniversiti.

Pelajar prauniversiti yang berkelayakan juga patut diberi pertimbangan untuk anugerah biasiswa sebanyak RM1,000 - RM2,000 sepanjang pengajian bagi tujuan membeli buku teks dan keperluan pembelajaran yang lain. Kemudahan kolej kediaman yang selesa juga boleh difikirkan untuk golongan pelajar yang menghadapi masalah pengangkutan dan jarak rumah ke kolej yang membabitkan perbelanjaan besar. Saranan seumpama itu buka bermaksud untuk memanjakan pelajar tingkatan enam secara berlebihan, tetapi tentu dikenakan syarat-syarat yang dapat memastikan bahawa pelajar menghargai segala kemudahan yang dinikmati.

Sebagai langkah sementara, kolej atau institut pengajian tingkatan enam boleh beroperasi di deretan rumah kedai di bandar sebelum kampus tetap disiapkan. Bahkan, jika berdasarkan konsep universiti di  Amerika Syarikat dan Britain, kampus universiti memang sengaja diletakkan bertaburan di sesebuah bandar. Contohnya, tiada sebuah kampus berpusat bagi Oxford, Cambridge, Harvard dan Yale, sebaliknya setiap sekolah, kolej dan fakulti berada di lokasi berasingan dan di tengah-tengah sebuah bandar biasa.

Reka bentuk kegiatan kokurikulum prauniversiti tingkatan enam juga mesti sejajar dengan persediaan pengajian tinggi, sama ada dari segi keupayaan intelektual, kepimpinan dan kerja sosial yang lain. Segala aspek penglibatan dan pencapaian kokurikulum bukan sekadar satu formaliti atau mencukupkan jam kredit, tetapi menjurus kepada persediaan berkenaan. Kemahiran insaniah bukan hanya diperoleh secara spontan, bahkan menerusi input ilmu pengetahuan pakar.

Selain pengarah kolej atau institut tingkatan enam, kedudukan lain dalam organisasi boleh dibuat secara giliran sepertimana amalan pelantikan dekan dan ketua jabatan di universiti. Sekalian guru akademik tingkatan enam (pensyarah prauniversiti) memiliki peluang yang sama untuk dilantik sebagai timbalan pengarah, ketua unit pengajian dan sebagainya. Tiada syarat yang ketat dari segi kekananan perlu dikenakan untuk kedudukan dalam pentadbiran, asalkan mereka yang diberi tanggungjawab itu memiliki keperibadian dan keutuhan yang dikehendaki.

Hasrat untuk melihat kolej atau institut tingkatan enam mungkin mengambil masa, tetapi diharapkan pihak berkuasa pendidikan akan memberi keutamaan segera. Pengajian tingkatan enam telah terbukti menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara menerusi tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang yang pernah bergelar pelajar tingkatan enam. Jika pusat matrikulasi dan kolej vokasional dengan cepat boleh dibina, mengapa tidak untuk kolej atau institut prauniversiti tingkatan enam?

2 comments:

Anonymous said...

Cikgu, bila akan kolej tingkatan 6 dijalankan ?

cikgu azhar said...

khabarnya, projek rintis bakal dimulakan pada awal tahun 2013. buat permulaan, lokasi kampus mungkin di sekolah kurang murid (SKM) di bandar. pengambilan tingkatan 1 di sekolah berkenaan dihentikan hingga akhirnya hanya tinggal tingkatan 6.

namun, khabar berkenaan masih bersifat spekulasi, justeru tiada sebarang pengesahan atau pengumuman rasmi. sama-sama kita tunggu...