SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, July 11, 2012

TABIAT MEMBUANG SAMPAH MERATA-RATA (LOW CLASS MENTALITY)

Pagi tadi, seorang pemandu kereta mewah BMW 3 siri bernombor pendaftaran *GT 979 dengan selamba mencampak cebisan plastik ketika sedang memandu di Taman Cempaka, Ipoh. Barangkali orang itu berfikir bahawa akan ada pekerja majlis bandar raya yang akan membersihkan jalan raya kelak. Alasan mereka ialah kewujudan sampah membuka peluang pekerjaan kepada orang lain, sama macam kegiatan jenayah yang bererti pekerjaan polis juga diperlukan oleh masyarakat.

Pemikiran simplistik seperti itulah yang mengakibatkan negara masih ketinggalan dalam indeks kebersihan fizikal jika dibandingkan dengan negara-negara yang lebih maju. Di kawasan taman rekreasi, bekas makanan dan minuman dibuang sesuka hati, manakala tandas awam sangat hancing dan segala macam tisu dan lampin bertaburan di sana sini. Sebaik sahaja selesai sesuatu majlis keramaian, maka timbunan sampah terpaksa diuruskan oleh petugas pihak berkuasa tempatan, rentetan tahap kepekaan orang ramai yang begitu daif terhadap konsep kerjasama dan sumbangan bagi menjaga kebersihan.

Lorong belakang rumah kedai macam sarang tikus dengan tumpahan minyak dan sisa sampah sarap yang dibiarkan dihurung lalat dan langau. Dapur restoran juga sangat menjijikkan dan boleh menghilangkan selera pengunjung yang pada mulanya berasa sangat teruja untuk makan-makan bersama keluarga dan rakan. Jika masih tidak percaya, silakan sesekali menjenguk bahagian belakang restoran dengan "berpura-pura" hendak ke bilik air.

Tapak pasar malam dan pasar tani lagi jangan cakap. Begitu ringan tangan sang peniaga dan pembeli mencampak segala macam sampah tanpa rasa bersalah sekelumit pun. Keesokan harinya akan terdapat plastik sampah yang terburai kerana diselongkar oleh anjing dan kucing jalanan.

Keadaan parit dan sungai juga sangat menyedihkan. Kalau pada zaman dahulu, penduduk berhampiran sungai membuang 'hajat' mereka di sana, kini bakat membaling gumpalan sampah pula menjadi-jadi. Kegiatan zalim itu bukan hanya dilakukan oleh orang yang berpendidikan rendah, bahkan oleh orang-orang elit kawasan perumahan mewah dan pemilik kilang yang tidak bertanggungjawab.

Singapura dikatakan paling tegas dari segi kuat kuasa hukuman buang sampah. Namun, penulis blog (PB) pernah melihat kawasan longkang di estet perumahan (maksudnya rumah pangsa puluhan tingkat macam sarang burung merpati) juga dipenuhi kotak minuman. Apabila warga Singapura berkunjung ke Malaysia, segelintir mereka bukan sahaja melampias dendam memandu melebihi had laju, bahkan turut melontar sampah daripada kenderaan yang sedang bergerak.

Hakikat yang serupa dapat dilihat di negara-negara yang masih memiliki pemikiran aneh tentang pengurusan sampah sarap. Sebagai contoh, Arab Saudi dan Pakistan juga masih jauh daripada piawaian kebersihan walaupun sebagai masyarakat Islam, merekalah yang pantas muncul sebagai contoh pembersih, bukan sebaliknya sebagai pengotor. Sebab itulah ada ungkapan bahawa di Jepun dan Jerman kelihatan Islam walaupun majoriti penduduk di sana bukan Islam, justeru kebersihan ialah sebahagian iman.

Mentaliti pengotor sebenarnya berpunca daripada sikap malas dan tidak kisah yang bermula di rumah dan di sekolah. Giliran bertugas membersihkan bilik darjah lebih bersifat pengecualian daripada amalan suka rela menjaga kebersihan persekitaran. Semangat berlumba-lumba untuk berkhidmat semakin pudar, tetapi sebaliknya sikap keakuan dan mementingkan diri sendiri semata-mata dibiarkan berkembang...

No comments: