SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, July 10, 2012

KONSEP PELAKSANAAN AUTONOMI SEKOLAH (THE IMPLIMENTATION OF SCHOOL-BASED MANAGEMENT)

Model sistem disentralisasi pendidikan ialah Amerika Syarikat yang memberi kuasa kepada setiap satu 50 negeri dalam negara kuasa besar tersebut. Sekolah-sekolah pula diberi autonomi dari segala segi, termasuk pentadbiran, kurikulum, kewangan, pengambilan murid dan guru, pentaksiran dan perhubungan awam. Demikian juga dengan kebanyakan institut pengajian tinggi seperti Harvard, Yale, Massachusset Institute of Technology, Princeton, John Hopkins dan Berkeley yang memiliki portfolio kekayaan masing-masing tanpa mengharapkan suntikan dana awam.

Negara kita juga beransur-ansur menerapkan elemen disentralisasi terpilih menerusi konsep sekolah sebagai pusat tanggungjawab (PTJ), khususnya dari segi pengurusan kewangan, pentadbiran cuti kakitangan dan pengisytiharan harta yang dilakukan secara dalaman. Mekanisme kawalan sekolah masih berkuat kuasa menerusi peruntukan Akta Pendidikan 1996 (dengan pindaan), keputusan jawatankuasa kabinet, kuasa menteri pelajaran, pekeliling dan pelbagai bentuk penyampaian arahan menerusi jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah. Selain itu, segala punca kuasa kewangan dan perbelanjaan akan menjalani proses audit dalaman dan awam secara berkala.

Transformasi pendidikan ke arah pembelajaran akses kendiri, penerokaan dan pentaksiran berterusan sebagai ganti orientasi peperiksaan juga akan dilaksanakan oleh pihak sekolah di bawah konsep pentaksiran berasaskan sekolah (PBS). Murid memiliki kesempatan yang sangat luas untuk memegang peranan sebagai pemilik atau tuan punya proses pembelajaran. Guru benar-benar akan berfungsi sebagai penolong dan pembimbing kejayaan murid bagi menjana potensi modal insan minda kelas pertama acuan Malaysia.

Penyediaan pelbagai aplikasi pangkalan data atas talian telah membuka ruang untuk meruntuhkan tembok birokrasi dan kemungkinan salah guna kuasa berasaskan hubungan peribadi pihak-pihak yang berkepentingan. Sebagai contoh, menerusi aplikasi Emis dan e-pangkat yang boleh diakses oleh guru (secara terhad) ialah jalan untuk proses naik pangkat secara automatik apabila fail mereka timbul berdasarkan tarikh yang ditetapkan. Walaupun seseorang guru mungkin masih kekal dengan status guru penolong atau guru akademik biasa, tetapi pemindahan gred gaji mereka tidak lagi tersekat.

Aplikasi sistem analisis peperiksaan sekolah (SAPS) turut membolehkan ibu bapa mengakses laporan kemajuan anak masing-masing walaupun mereka berada di hujung dunia. Tindakan susulan yang cepat boleh diusahakan oleh ibu bapa andainya mereka berasa bahawa pencapaian akademik anak mereka belum sampai kepada potensi sebenar. Tanggungjawab pembelajaran murid di sekolah dengan mudah boleh dipanjangkan di rumah menerusi pemantauan ibu bapa yang prihatin.

Setiap perubahan akan mengakibatkan banyak kehilangan seperti kehilangan kedudukan, kehilangan zon selesa dan kehilangan rakan. Golongan status quo yang tegar akan mendapati mereka bakal terpinggir jika berkeras untuk enggan menyertai arus perubahan persekitaran pendidikan yang begitu laju dan perkasa. Maka, penurunan autonomi yang lebih banyak kepada pihak sekolah harus diterima dengan suci hati kerana demikian peranan asasi sekolah pada masa hadapan...

No comments: