SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, July 24, 2012

PENGALAMAN MENGANJURKAN SEMINAR (ORGANIZING MAIN EVENT)

Sebagai Timbalan Presiden, Persatuan Mahasiswa Darul Ridzuan (Permadari), UKM, penulis blog (PB) diamanahkan dua projek besar, iaitu Seminar Pembangunan Negeri Perak (SPNP) dan Muzakarah Sekolah Agama negeri Perak. Tugas paling awal ialah menyediakan kertas kerja projek untuk dimajukan kepada Unit Hal Ehwal Pelajar, UKM (HEP) dan seterusnya kepada kerajaan negeri Perak. Sementara menunggu kelulusan projek, mesyuarat jawatankuasa kali pertama diadakan khusus bagi memperinci strategi penganjuran seminar dan pelan B sebagai pilihan luar jangka.

SPNP belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana persatuan mahasiswa sama ada di UKM, UM, USM, UPM dan UTM sebelum itu. Maka, pelaksanaan projek besar julung-julung kalinya itu perlu dirancang secara paling cekap dan cermat. Segala objektif, tema, bidang pengisian acara, pembentang kertas kerja, peserta, perbelanjaan dan pendapatan, serta aspek lojistik diberikan perhatian utama.

Pengarah seminar telah bersiap sedia dengan carta Gantt, iaitu jadual kerja yang lengkap dengan tindakan dan tarikh akhir yang perlu dipatuhi oleh jawatankuasa berkaitan, tanpa gagal. Sebuah bilik urus setia seminar yang lengkap dengan peralatan komunikasi dan mesin taip (komputer belum digunakan secara meluas lagi ketika itu) dipohon daripada HEP. Bagi memastikan segala arahan dapat disampaikan, sistem papan putih dan memo disusun sedemikian rupa dan sentiasa dikemas kini dengan catatan makluman dan tindakan, serta masalah yang belum dapat diselesaikan.

Setiausaha diarahkan supaya menyediakan minit mesyuarat serta-merta dan terus diedarkan kepada semua jawatankuasa dalam tempoh dua hari untuk memastikan tindakan segera. Seminar cuma mengambil masa dua hari, tetapi proses perancangan dan persediaan memakan masa lebih daripada tiga bulan. Sumber kewangan yang mencukupi perlu dicari dengan segera bagi membiayai seminar bertaraf kebangsaan itu.

Pengarah dan jawatankuasa kanan kemudia bergegas ke pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mendapatkan 'restu' dan sokongan padu. Kemudahan kenderaan memang disediakan oleh HEP dengan syarat membuat tempatan awal. Memang banyak kisah lucu dan sukar dilupakan.

Perjumpaan dengan Menteri Besar, ketika itu Tan Sri Ramli Ngah Talib, turut dihadiri penasihat Permadari, Profesor Datuk Dr. Wan Hashim bin Wan Teh berlangsung kira-kira setengah jam dengan hasil yang positif. Perjumpaan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wahi (Allahyarham) yang diperuntukkan hanya sepuluh minit akhirnya berlarutan hampir satu jam. Beliau seronok untuk berkongsi pengalaman dan sudi menyampaikan nasihat, termasuk kata beliau "menolong orang membawa bahagia, mengharap orang membawa derita".

Bab mencari duit juga tidak kurang dengan pelbagai peristiwa yang memerlukan jawatankuasa tahan telinga dan tebal muka. Pejabat Menteri Besar hanya memberikan sokongan penganjuran seminar, tetapi tidak mempunyai peruntukan kewangan. Akhirnya, jawatankuasa seminar memajukan permohonan kepada pejabat Sultan Perak, dengan keseluruhan isi surat disediakan oleh pejabat perhubungan awam UKM.

Alhamdulillah, dalam tempoh yang singkat, pejabat Sultan Perak mengirim khabar gembira, iaitu persetujuan menyalurkan RM3,000 menerusi Pejabat Kemajuan Negeri. Pihak urus setia turut menerima sumbangan individu (seperti Tan Sri Azizul Abdul Rahman) dan syarikat yang berpangkalan di Perak yang membawa jumlah mendekati RM10,000. Selain itu, tajaan jamuan makan tengah hari dan malam juga berjaya diperoleh daripada menteri dan timbalan menteri yang berasal dari Perak sebanyak RM700 setiap orang, walaupun HEP menasihatkan urus setia memohon hanya RM500.

Hebahan publisiti menerusi media massa pada ketika itu agak sukar, tetapi urus setia telah menyediakan transkrip kenyataan media yang dihantar kepada semua akhbar arus perdana, serta stesen televisyen RTM dan TV3 yang ada. Tidak diketahui dengan tepat sama ada maklumat yang disampaikan itu tersiar di mana-mana, tetapi maklum balas yang diterima daipada orang awam boleh tahan juga. PB selaku pengarah seminar turut ditemu bual oleh sebuah stesen radio, tetapi yang lucunya untuk siaran Suara Malaysia yang hanya dapat diikuti di luar negara dengan bilangan pendengar yang tidak diketahui jumlahnya.

Menteri Besar Perak telah mewakilkan Tuan Haji Mior Aris (Allahyarham), exco kanan kerajaan negari dalam segala urusan seminar hingga ke majlis perasmian dan post-mortem. Memang banyak pengalaman yang berguna untuk mahasiswa apabila berurusan dengan orang politik. Antara peristiwa lucu yang berlaku ialah apabila beberapa orang jawatankuasa seminar berebut kamar kecil dengan sabihus-samahah mufti setelah tiga jam menerima taklimat menteri besar dalam bilik berhawa dingin yang sangat sejuk.

Seminar yang dirancang berbulan-bulan lamanya itu akhirnya menjadi kenyataan. Antara pembentang kertas kerja ialah Ahmad Husni bin Mohd Hanadzlah, pengurus besar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Negeri Perak. Tidak sangka pula beliau kini bergelar Dato' Seri dan menyandang kedudukan sebagai Menteri Kewangan Kedua Malaysia, serta akan berkunjung ke SMK St. Michael, Ipoh (SMI) pada pagi 5 Ogos ini selaku bekas pelajar selama 11 tahun...

No comments: