SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, July 25, 2012

BONUS SETENGAH BULAN GAJI UNTUK SAMBUT RAYA (FESTIVE SEASON AND EXTRA SPENDING)

Kerajaan telah bersetuju dengan cadangan gabungan kesatuan sekerja dalam perkhidmatan awam (Ceupacs) untuk pemberian bonus setengah bulan gaji, atau minimum RM500 yang bakal dikreditkan ke dalam akaun gaji pada 5 Ogos ini. Nampak gayanya, penganjuran konsep rumah terbuka sempena hari raya Aidil Fitri mungkin lebih meriah kerana masing-masing sudah ada peruntukan tambahan. Pengusaha perkhidmatan sajian makanan dan peniaga turut tersenyum lebar justeru sebahagian besar wang bonus berkenaan akan terperangkap dalam kantung mereka juga sudahnya!

Anak-anak kecil yang sudah terbiasa dengan pemberian duit raya juga sudah memasang angan-angan untuk 'mengutip' sejumlah wang besar daripada tuan rumah yang dikunjungi. Alasan untuk tidak balik kampung juga susah hendak diterima walaupun segala rangkaian jalan raya dan lebuh raya bakal mengalami kesesakan yang luar biasa. Pakaian serba baharu, hiasan rumah serba baharu dan barangkali kenderaan baharu juga masuk dalam permainan minda seisi keluarga, walaupun hakikatnya tidak semua keinginan itu boleh tertunai dalam tempoh sesingkat sekarang.

Dari segi ekonomi, pemberian bonus pada akhirnya akan mengembangkan dan merancakkan kegiatan ekonomi, serta mewujudkan kesan pengganda yang boleh memacu pertumbuhan secara mapan. Namun, jika perbelanjaan dilakukan secara tidak berhemat, tekanan perbelanjaan agregat boleh mencetuskan inflasi. Maka, kakitangan awam mesti bersikap bijaksana supaya kesan akhir pemberian bonus akan sentiasa bermanfaat kepada seisi keluarga, jalinan kejiranan dan persahabatan, serta untuk ekonomi negara secara keseluruhannya. 

Kakitangan awam negeri di Selangor pula menerima tambahan RM200 seorang selain bonus setengah bulan sepertimana kakitangan awam persekutuan. Dari segi implikasi kewangan, bonus untuk 1.27 juta orang kakitangan awam persekutuan serta 500,000 orang pesara membabitkan perbelanjaan RM2.2 bilion, manakala di Selangor membabitkan RM20 juta. Jika tidak berlaku paradoks penjimatan, sebahagian besar bonus kakitangan awam akan mengalir ke dalam pasaran dan boleh dianggarkan sebanyak 80 peratus jika kecenderungan mengguna sut (MPC) ialah 0.8.

Permintaan untuk keluaran sektor pembuatan, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga dijangka mengalami pertambahan sempena musim perayaan. Sebenarnya, sektor swasta beroleh pendapatan tambahan secara tidak langsung apabila saiz  perbelanjaan agregat meningkat. Usahawan PKS boleh membuat promosi keluaran mereka secara lebih agresif kepada kakitangan awam yang menerima bonus atas dasar menang-menang.

Punca kewangan bagi membayar bonus kakitangan awam ialah tanggungjawab perbendaharaan. Hasil negara dipungut menerusi cukai langsung dan cukai tidak langsung serta hasil-hasil lain seperti pelaburan awam dan pelbagai bentuk caj dan penalti. Dasar belanjawan kurangan (perbelanjaan melebihi hasil), kecuali antara tahun 1992 - 97, dibiayai menerusi pelbagai instrumen hutang dalam negara dan luar negara, serta dikawal supaya tidak mencecah 55 peratus daripada keluaran dalam negara kasar.

Secara prinsipnya, sebahagian besar punca pembiayaan awam sama ada untuk tujuan pengurusan atau pembangunan, datang daripada sumber pembayar cukai, termasuk isi rumah dan firma swasta. Dalam sebuah sistem ekonomi campuran seperti di Malaysia, pusingan aliran pendapatan membabitkan interaksi antara semua pelaku ekonomi. Dalam kata lain, sektor awam dan sektor swasta saling bergantung antara satu dengan lain, sambil dilicinkan oleh peranan institusi kewangan yang dikawal menerusi akta bank dan institusi kewangan (Bafia).

Kecekapan dalam sistem penyampaian sektor awam akan memberi sinergi kepada kegiatan ekonomi, terutama sektor swasta yang menyumbang terhadap penyerapan guna tenaga dan pendapatan negara. Bonus setengah bulan gaji tidak menjadikan kakitangan awam sebagai orang kaya, tetapi apabila digabungkan semua sekali, impak yang dijanakan dalam kegiatan ekonomi sangat besar. Demikian juga dengan pemberian one off sebagai bayaran pindahan (tanpa sumbangan produktif) seperti zakat fitrah dan sedekah yang akhirnya akan merancakkan kegiatan ekonomi menerusi kuasa beli masyarakat yang lebih tinggi... 

No comments: