SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, July 23, 2012

CAKAP-CAKAP NEGATIF JEJAS KECEMERLANGAN (THE OLD SCHOOL AND STATUS QUO TRAP)

Seseorang yang memiliki pendirian yang teguh atau sentiasa berpegang kepada prinsip sering dikaitkan dengan konsep jati diri. Sebaliknya, seseorang yang mudah goyah dan tidak tetap pendirian pula sering diumpamakan sebagai lalang yang melintuk-liuk ke kanan dan ke kiri mengikut puputan bayu atau rempuhan angin kencang. Perspektif psikologi membahagikan pembentukan tingkah laku kepada pengaruh baka (genetik) dan juga pengaruh persekitaran.

Proses pendidikan memberi kesempatan kepada kanak-kanak untuk mengembangkan potensi dan fakulti dalam diri masing-masing ke tahap optimum. Pelbagai bentuk campur tangan (intervensi) dilakukan dalam aktiviti bilik darjah dan luar bilik darjah bagi memastikan bahawa akses semua murid ke arah pendidikan yang bermutu akan tercapai sepenuhnya. Reka bentuk pembelajaran yang terbaik sentiasa diambil kira dalam penyampaian guru supaya murid dapat menikmati hanya sejumlah pengalaman yang baik, benar dan berguna.

Sekuat manapun usaha yang dibuat, jurang pencapaian tetap muncul juga. Bahkan, komponen pentaksiran, sama ada orientasi peperiksaan, mahupun berasaskan sekolah, proses pemisahan pencapaian murid masih tetap berlaku. Pencapaian yang diukur bagi setiap satu domain kognitif, afektif dan psikomotor pada asasnya bukanlah bertujuan untuk meminggirkan murid kurang beruntung atau bermasalah pembelajaran, tetapi untuk menyalurkan bakat tersembunyi yang mungkin boleh digilap menerusi proses tapisan yang autentik. 

Guru-guru perlu sentiasa peka akan kekuatan status quo dan momentum perubahan, justeru pembelajaran ialah aktiviti perubahan yang akan berhadapan dengan daya pacu dan daya rintang. Kumpulan yang memihak kepada perubahan cenderung terhadap pencapaian kecemerlangan, manakala kumpulan status quo lebih mementingkan tema emosi dan sentimental. Malangnya, kumpulan status quo lazimnya meraih sokongan besar hingga menenggelamkan kumpulan properubahan yang sepatutnya dijulang sebagai kelompok rujukan normatif.

Hujah status quo bagi menentang perubahan ialah contoh kegagalan secara terpencil, tetapi sengaja dibesar-besarkan. Sesuatu pengalaman buruk dijadikan alasan untuk kekal dalam keadaan yang sedia ada dan tidak bergerak ke mana-mana. Punca pengalaman buruk itu ditutup rapat-rapat supaya rahsia kegagalan yang diputar belit itu tidak terbongkar.

Kata-kata negatif tidak ubah macam hasutan syaitan yang sentiasa menghembuskan keraguan, syak wasangka dan ketakutan untuk berjuang ke arah kebaikan dan kebaktian. Syaitan tidak suka manusia menderma misalnya, lalu membisikkan ancaman kemiskinan, kelaparan dan kesempitan hidup. Ringkasnya, kata-kata negatif menjerumuskan seseorang ke kancah kegagalan yang parah.


Hendak masuk universiti dikatakan akan menganggur berhujahkan data negara China dan India tanpa melihat kumpulan lebih besar yang berjaya. Kata-kata negatif umpama melihat gelas separuh kosong, bukan separuh penuh. Orang yang dipengaruhi kata-kata negatif akan berkongsi ciri yang serupa, iaitu berburuk sangka (pesimistik), malas berusaha dan suka menghalang orang lain daripada berubah atau lebih maju.

Kata-kata negatif bagaikan racun yang membunuh sebarang peluang seseorang untuk mengecapi kejayaan berdasarkan kebolehan kendiri kerana momok jahat yang diulang-ulang oleh golongan status quo. Penghalang perubahan akan muncul silih berganti daripada persekitaran status quo. Maka, seseorang yang ingin berjaya wajib menjauhkan diri daripada kejahatan kata-kata negatif golongan status quo.

Memang benar bahawa bukan semua status quo itu negatif belaka dan semua proses perubahan itu positif belaka. Status quo dari segi prinsip tidak mengapa, asalkan dari segi mutu atau makam kecemerlangannya sentiasa bertambah baik, iaitu mengalami perubahan dari masa ke masa. Dalam bahasa yang mudah, tiada sesuatu pun yang bersifat tetap (status quo) melainkan perubahan.

Pendedahan tentang kepentingan proses perubahan ialah titik tolak tingkah laku pembelajaran yang positif dan berdaya maju. Pemikiran pelajar dilatih untuk menerima hanya anjuran yang bersifat membina, bukan kata-kata negatif yang membinasa. Langkah berpisah daripada golongan status quo sedemikian bukanlah satu pilihan, tetapi sine qua non...

No comments: