Friday, November 2, 2012
GERAK GEMPUR SELEPAS PERCUBAAN HILANG MOMENTUM (TOO MANY EXAMS DEFEAT THE PURPOSE OF LEARNING)
Pengalaman menunjukkan bahawa momentum pelajar untuk menduduki ujian gerak gempur setelah selesai peperiksaan percubaan berada pada tahap yang rendah. Kecuali soalan aneka pilihan, 'selera' mereka untuk menulis jawapan berbentuk struktur, esei dan kuantitatif begitu menurun. Gerak gempur sudah menjadi antiklimaks bagi mereka.
Dari segi mental dan emosi, tumpuan pelajar hanya terarah terhadap peperiksaan percubaan berbanding dengan gerak gempur. Keputusan peperiksaan percubaan memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi dari segi nilai markah dan gred. Permohonan memasuki kolej dan universiti lebih awal (sebelum keputusan peperiksaan sebenar) boleh menggunakan keputusan peperiksaan percubaan.
Sayang sekali bahawa proses pembinaan item gerak gempur yang begitu cermat dan teliti, serta akur dengan segala piawaian peperiksaan tidak dimanfaatkan secara optimum oleh pelajar. Naskhah soalan gerak gempur disediakan oleh sekumpulan panel pakar pentaksiran, sama ada di peringkat daerah, mahupun negeri. Jelaslah bahawa mutu naskhah gerak gempur tidak menjadi isu tentang perhatian pelajar yang tidak serius.
Beberapa penyelidikan mendapati bahawa jumlah ujian dan peperiksaan tidak mempunyai korelasi langsung dengan pencapaian pembelajaran murid. Misalnya, laporan penyelidikan Herman, Dreyfus dan Golan (1990) dari UCLA di URL http://www.cse.ucla.edu/products/reports/TR327.pdf Terkini, suatu persidangan di England menampilkan bekas pengarah kurikulum kebangsaan negara berkenaan menyatakan kebimbangan tentang kecenderungan terlalu banyak peperiksaan di sekolah sehingga murid kurang menikmati keseronokan belajar (http://www.independent.co.uk/news/education/education-news/too-many-exams-are-ruining--childrens-enjoyment-of-learning-6284217.html).
Peperiksaan percubaan sudah mengambil masa dua minggu untuk ditadbirkan. Maka, gerak gempur juga akan mengambil masa yang lebih kurang sama jika ditadbirkan secara berjadual. Keengganan pelajar memberikan tumpuan terhadap gerak gempur mungkin sekali berpunca daripada tarikh peperiksaan awam sebenar yang begitu hampir, dan mereka ingin membuat persiapan akhir berdasarkan strategi masing-masing.
Ibarat setelah mengharungi satu perlawanan bola sepak yang sengit (ketika kertas percubaan), pelajar agak lesu untuk berhadapan dengan satu lagi ujian skala penuh. Tambahan pula, perbincangan tentang pemarkahan dan skema kertas percubaan baharu sahaja selesai. Barangkali mereka mahu menyimpan tenaga untuk 'pertempuran' dalam peperiksaan awam sebenar.
Instrumen ujian gerak gempur sebenarnya sangat berharga, tetapi seperti dipandang sebelah mata. Setakat ini, andaian yang boleh dibuat tentang keadaan yang berlaku adalah kesesuaian masa gerak gempur ditadbirkan. Kajian keperluan dari segi kaedah pentadbiran ujian sama ada dari segi kelenturan pelaksanaan atau masa merupakan jalan keluar yang boleh difikirkan.
Gerak gempur masih boleh dijalankan selepas peperiksaan percubaan, tetapi lebih bersifat tidak rasmi dan berasaskan mata pelajaran. Maksudnya, pentadbiran gerak gempur tidak dijalankan secara sekali gus, atau bersifat kertas penuh. Sebaliknya, guru mata pelajaran boleh diberi autonomi untuk mentadbir gerak gempur sebagai instrumen ujian kecekapan masa soalan demi soalan.
Selain itu, kaedah ujian buka buku boleh dicuba. Pelajar berpeluang memadankan tugasan soalan dengan isi pelajaran daripada buku teks atau nota yang dicatat semasa sesi pembelajaran di bilik darjah. Dengan itu, mereka dapat melakukan dua perkara serentak, iaitu menjawab tugasan soalan gerak gempur, dan membuat ulang kaji isi pelajaran berdasarkan keperluan jawapan.
Walaupun pentaksiran berasaskan sekolah bakal dilaksanakan secara berperingkat, pencapaian dalam peperiksaan masih bersifat pengukuran dan penilaian pembelajaran yang autentik. Namun, kecemerlangan kurikulum perlu diimbangi dengan kemahiran insaniah yang terbaik supaya proses penjanaan modal insan minda kelas pertama acuan sendiri bakal menjadi penanda aras terhadap sistem pendidikan negara. Segala macam ujian, gerak gempur dan peperiksaan berasaskan sekolah masih penting, tetapi harus ada ubah suai dari segi pentadbiran dan proses penilaiannya...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment