Thursday, November 15, 2012
KUALA LUMPUR SEMPIT DALAM LUAS (CITY LIFE AND SURVIVAL)
Pengalaman semasa tinggal di Bukit Kernchi C2 berhampiran kompleks Angkasapuri (RTM) masih segar dalam ingatan. Bersama dengan lima orang pelajar siswazah diploma pendidikan UIAM dari Kelantan, penulis blog (PB) menyewa rumah sambungan (extension) di situ. Ketika itu PB hanya menggunakan motosikal kapcai Yamaha C80 untuk ke kampus UIAM di seksyen 17, Petaling Jaya yang kini pusat matrikulasi universiti berkenaan.
Motosikal perlu menggunakan laluan khas kerana lebuh raya persekutuan hanya khusus untuk kenderaan empat roda ke atas. Sesekali jalan singkat melalui kampus Universiti Malaya menjadi pilihan, tetapi pengawal keselamatan di sana bertegas mengarahkan 'orang luar' berpatah balik walaupun hampir benar dengan pintu keluar ke Petaling Jaya. Lazimnya, seharian pelajar diploma pendidikan berada di kampus, iaitu sejak 8.00 pagi hingga menjelang waktu Maghrib justeru jadual kuliah yang padat dan keperluan mendapatkan bahan rujukan di perpustakaan universiti.
Kalau semasa belajar di UKM, Bangi untuk ijazah pertama ekonomi, PB hanya menjadikan Kuala Lumpur sebagai persinggahan, terutama sekali hentian Pudu Raya. Kemudian, apabila menyambung pengajian di peringkat sarjana di Universti Malaya, Lembah Pantai, ibu kota sekali lagi menjadi destinasi ulang alik dari rumah ke kampus. Jika tidak membawa keluarga, PB menggunakan perkhidmatan bas ekspres, terutamanya Plus Liner dan singgah di stesen KTM berhampiran KL Sentral sebelum mengambil teksi ke kampus.
Selain itu, setelah siap projek Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) yang menghubungkan Plus dengan Karak hingga ke plaza tol Jabor, Kuala Lumpur juga menjadi pilihan untuk singgah ke Sogo atau Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk makan-makan, mencari bahan bacaan atau keperluan yang lain. Tempat meletak kereta di kompleks Pertama lebih selamat dan mudah untuk akses ke gedung perniagaan atau premis perniagaan berdekatan. Kalau hendak ke Bukit Bintang untuk ke Plaza Imbi atau Low Yatt, PB dan keluarga lebih suka menggunakan pengangkutan MRT kerana jalan di sana sangat sesak hinggakan berjalan kaki kadang-kadang lebih cepat sampai berbanding dengan memandu kenderaan sendiri pada waktu puncak.
Semalam, PB sekeluarga ken Kuala Lumpur lagi untuk menghadiri satu majlis perkahwinan keluarga terdekat di Taman Mawar, Kinrara, Puchong yang tidak jauh dari Hotel Pearl International, Jalan Kelang Lama. Oleh sebab tidak melanggan perkhidmatan perayauan peta jalan (GPS), beberapa kali juga PB berhenti di stesen minyak untuk bertanya jalan. Malangnya, petugas di sana kebanyakannya Bangla atau Indon!
Akhirnya, PB sekeluarga tiba juga di rumah pengantin pada waktu puncak tetamu datang, iaitu selepas waktu solat Zuhur. Sekali lagi, kesesakan berlaku, tetapi kali ini di bawah khemah buffet. Ada seorang pak cik yang datang dengan dengan keluarga secara berterus terang meminta sekumpulan anak muda yang masih berborak selepas makan supaya memberi laluan kepada mereka. Kemudian, dia berkata kepada PB, bahawa orang muda sekarang kurang peka dengan tanggungjawab sosial!
...
...
...
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment