SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, November 3, 2012

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMUPUK BUDAYA MEMBACA (HOME SCHOOLING AND LEARNING)

Perancangan Isi Karangan

Pendahuluan:  Penegasan tugasan soalan
                   :  Keadaan sebenar yang berlaku
                   :  Gambaran Idea / Isi utama
                   :  Unsur kecindan (peribahasa / kata hikmah / cogan kata)

Isi 1 (Kepimpinan):  Kesedaran ibu bapa
                            :  Pengaruh teladan
                            :  Aktiviti keluarga
                            :  Kunjungan ke perpustakaan awam / bergerak

Isi 2  (Kewangan) :  Pembelian bahan bacaan
                            :  Perabot / suudut bacaan / perpustakaan kecil
                            :  Kunjungan ke kedai buku

Isi 3  (Dorongan)  :  Pengukuhan lisan / pujian
                            :  Perbincangan santai tentang bacaan
                            :  Perkongsian maklumat baharu / terkini

Penutup:  Kesimpulan umum
            :  Batasan / had peranan ibu bapa
            :  Saranan dan harapan
            :  Penegasan semula peranan ibu bapa

Contoh Penulisan Penuh


     Ibu bapa ialah tonggak sesebuah keluarga. Peranan mereka umpama nakhoda sebuah bahtera yang sedang merentasi sebuah samudera yang penuh cabaran. Budaya membaca sebagai penanda aras penting sesebuah masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan dan kemajuan patut bermula dari rumah. Di tangan ibu bapalah asas pembentukan tingkah laku dan tabiat anak-anak dapat disemai. Peribahasa menyebut bahawa melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa hendaklah memainkan peranan utama bagi memupuk budaya membaca di rumah. Penentu kejayaan peranan ibu bapa termasuklah keupayaan kepimpinan, kewangan dan dorongan yang berterusan.

    Kepimpinan ibu bapa dalam konteks pemupukan budaya membaca bermaksud proses mempengaruhi anggota keluarga supaya sentiasa aktiviti pembacaan semasa berada di rumah. Untuk itu, ibu bapa terlebih dahulu hendaklah memiliki tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan budaya membaca. Kesedaran itu kemudian dipanjangkan kepada anak-anak supaya mereka juga memiliki tahap kesedaran yang sama dengan ibu bapa mereka. Kesedaran tentang budaya membaca dizahirkan menerusi minat ibu bapa terhadap bahan bacaan menerusi percakapan dan juga perbuatan. Pendek kata, kesedaran ibu bapa adalah asas pemupukan budaya membaca di rumah.

      Cogan kata 'kepimpinan menerusi teladan' sudah biasa kita baca dan dengar. Sebagai pemimpin keluarga, ibu bapa ialah suri teladan terdekat kepada anak-anak. Ibu bapa dan anak-anak bukan sahaja memiliki hubungan biologi yang jelas, bahkan sebahagian besar pembawaan dan tabiat ibu bapa turut diwarisi oleh anak-anak. Peranan ibu bapa dalam proses pemupukan budaya membaca ialah pengukuhan pengaruh positif secara konsisten. Ibu bapa bukan hanya menggesa anak-anak supaya membaca, sebaliknya mereka sendiri menunjukkan teladan amalan membaca yang ketara.

   Sebagai pemimpin keluarga, ibu bapa berperanan merancang jadual kegiatan keluarga, termasuk peruntukan waktu membaca bagi seisi keluarga. Ibu bapa mungkin sibuk dengan pekerjaan dan urusan rumah tangga yang lain, tetapi tiada sebarang sebab yang munasabah mengizinkan berlakunya pengabaian kegiatan seisi keluarga termasuk pembacaan. Misalnya, ibu bapa mengumpulkan seisi keluarga di ruang tamu sambil memegang bahan bacaan yang bermanfaat seperti buku dan majalah. Sebarang gangguan terhadap tumpuan pembacaan seperti siaran radio dan televisyen dihentikan. Peruntukan waktu senyap di rumah akan membuka laluan supaya tabiat membaca berkembang dan menjadi kebiasaan di rumah.

      Ibu bapa juga mesti meluangkan masa bersama anak-anak untuk berkunjung ke perpustakaan awam yang berdekatan. Misalnya, pada pada hujung minggu, selepas sarapan pagi, seisi keluarga bergerak menuju perpustakaan dan berada di sana mungkin dalam tempoh satu atau dua jam. Ibu bapa harus menemani anak-anak yang masih kecil untuk memberi galakan ke arah pengukuhan tabiat membaca yang didambakan. Ibu bapa juga boleh membantu anak-anak untuk memahami bahan bacaan pilihan masing-masing. Ibu bapa mesti sanggup menurunkan tahap komunikasi supaya setara dengan anak-anak supaya aktiviti pembacaan tidak bersifat beban yang berat atau membosankan. Kunjungan ke perpustakaan awam hendaklah dijadualkan, manakala anak-anak diberi pengukuhan supaya memiliki tahap kesediaan yang tinggi untuk terus bersama mereka ke perpustakaan awam.

     Belanjawan keluarga memang perlu dirancang dengan berhemah bagi memenuhi semua keperluan, walaupun pendapatan ibu bapa mungkin tidak sebanyak mana. Di samping melangsaikan segala perbelanjaan asas rumah tangga, peruntukan untuk membeli bahan bacaan harus ada walaupun sedikit Misalnya, setiap orang anak dihadiahkan senaskhah buku setiap bulan. Kini, buku dan bacaan bacaan yang bermutu tidak hanya dijual di toko buku yang besar, bahkan di gerai pasar malam dan pasar tani, terutama buku terpakai yang masih baharu. Penerbit buku juga mungkin mengadakan pameran buku bergerak dengan tawaran potongan harga yang menarik. Ibu bapa boleh membeli bahan bacaan yang bersesuaian sambil dapat berjimat.

        Kegiatan bacaan di rumah juga menjadi lebih selesa jika terdapat suasana fizikal rumah yang sesuai. Ibu bapa boleh mengatur susunan perabot yang menyokong aktiviti pembacaan. Ruang tamu tidak hanya dipenuhi dengan rak cakera padat hiburan, tetapi didominasi oleh bacaan bacaan yang menarik. Berdekatan dengan set televisyen juga tertera slogan seperti 'baca buku dahulu, kemudian baharu menonton'. Minda seisi keluarga sudah dibiasakan dengan keutamaan amalan membaca. Disiplin dalam pembacaan juga diterapkan dalam kalangan anak-anak. Seisi keluarga menghormati tempoh waktu membaca tanpa sesiapa pun yang cuba membuat kecoh. Tiada sebarang bacaan yang dibiarkan berselerak usai aktiviti membaca. Pendek kata, ibu bapa berperanan besar dalam menyediakan suasana membaca di rumah.

       Di negara maju seperti Jepun dan Jerman terdapat pasar raya buku yang khusus. Di Malaysia, walaupun gedung besar seumpama itu belum wujud, sekurang-kurang terdapat kedai buku di lot kedai atau pasar raya utama. Ibu bapa boleh memainkan peranan memupuk budaya membaca di rumah dengan mengajak anak-anak mengunjungi premis kedai buku yang berkenaan. Kunjungan ke kedai buku bukan bererti untuk membuat belian bahan bahan bacaan dalam kuantiti yang banyak. Sebaliknya ibu bapa menetapkan senaskhah buku bagi setiap orang anak. Tujuan sampingan ke kedai buku adalah untuk membuat tinjuan judul buku terkini. Ibu bapa boleh memberitahu anak-anak supaya merujuk buku-buku yang berharga mahal di perpustakaan sahaja.

        Anak-anak yang masih mentah mungkin sekali tidak konsisten dalam amalan bacaan mereka. Umpama bunga yang mudah layu, siraman air akan mengembalikan kesegarannya. Maka, demikian juga dengan anak-anak yang mungkin tergoda dengan aktiviti lain yang lebih santai dan ringan hingga melanggar peruntukan waktu untuk pembacaan. Maka, ibu bapa berperanan untuk memberi pengukuhan, peringatan, dorongan dan galakan, sama berbentuk lisan dan hadiah yang munasabah Pujian yang dihamburkan oleh ibu bapa hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, ikhlas dan suci hati. Bahasa mesra yang digunakan untuk menggalakkan anak-anak untuk terus membaca bakal menyumbang terhadap proses pemupukan budaya membaca di rumah.

        Aktiviti pembacaan yang sihat tidak berakhir dengan begitu sahaja tanpa sebarang susulan yang konkrit. Ibu bapa berperanan untuk memastikan bahawa setiap sesi pembacaan seisi keluarga memberi manfaat yang berpanjangan. Caranya adalah dengan melakukan perbincangan ringan tentang perkara yang dibaca. Ibu bapa dan anak-anak saling bersoal jawab tentang pengalaman pembacaan yang telah dilalui. Input bacaan dikongsi bersama dalam bentuk aplikasi alam nyata. Anak-anak juga diberi peluang meluahkan pendapat samada setuju atau membantah saranan yang ditemui dalam bahan bacaan masing-masing.

        Kesimpulannya, peranan ibu bapa dalam memupuk budaya membaca di rumah begitu menyumbang terhadap pembinaan sebuah masyarakat yang mencintai ilmu dan kemajuan dalam segala bidang. Ibu bapa bukan sekadar memainkan peranan yang pasif dengan hanya tahu menyuruh anak-anak membaca, sebaliknya mempamerkan contoh teladan yang terbaik. Amalan membaca bukan suatu pilihan, tetapi ialah suatu kewajipan sebagaimana yang disarankan lewat surah al-Alaq. Tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin keluarga untuk menyemarakkan amalan membaca di rumah tidak boleh dibuat secara sambil lewa. Peranan ibu bapa dalam memupuk budaya membaca di rumah sebenarnya sangat kritikal.        

8 comments:

nur nasuha said...

terima kasih. sgt membantu

Anonymous said...

bagus karangannya

Anonymous said...

karangan yg baik...boleh jd sumber untuk pt3

Anonymous said...

Terima kasih!!
Karangan yang cukup baik.

Unknown said...

Terima kasih atas perkongsian karangan yang matang!!

Anonymous said...

Terima kasih. Bahan rujukan yang sangat baik

Unknown said...

👌

Unknown said...

Lebih panjang