SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, November 28, 2012

HARIMAU MALAYA LAWAN LAOS (FACING CRITICAL GAME, MALAYSIA 4, LAOS 1)

Malam ini tumpuan seluruh peminat bola sepak tanah air terarah kepada kesebelasan utama skuad Harimau Malaya yang berhadapan dengan cabaran pasukan yang kurang menyerlah, iaitu laos yang mendapat bimbingan jurulatih dari Jepun. Malaysia tidak boleh memandang rendah keupayaan Laos yang telah berjaya mengikat naib juara edisi AFF yang lalu, Indonesia 2-2 kelmarin. Alasan jurulatih yang mengalihkan kesalahan kepada Apek semasa pertemuan dengan Singapura, serta desakan pasukan sorak Ultra Malaya supaya Datuk K. Rajagobal berundur mungkin dilupakan buat sementara hingga perlawanan berakhir nanti.

Kegirangan skuad Singapura kerana berjaya membenam Malaysia 3-0 sebelum ini nampaknya terjejas apabila tumpas 0-1 di tangan Indonesia sebentar tadi. Kini, perhitungan ke separuh akhir kembali terbuka, bergantung kepada keputusan perlawanan Malaysia dengan Laos. Catatan ini dibuat sebelum sepak mula.

Kini, perlawanan mendebarkan telah berakhir sebentar tadi. Harimau Malaya kembali membungakan harapan apabila menang selesa 4-1 ke atas Laos. Kedua-dua pasukan turun dengan 100 peratus pemain asal warganegara, tanpa kelibat pemain naturalisasi sepertimana Singapura dan Indonesia. Namun, Laos menerima sentuhan kejurulatihan dari Jepun, kuasa bola sepak Asia abad ini.

Malaysia bermula garang dengan asakan bertubi-tubi ke kubu lawan, tetapi buntu buat seketika untuk membolosi gawang. Kesempatan yang dinanti akhirnya tiba apabila skuad negara dihadiahkan dengan sepakan percuma di luar kotak penalti Laos. Jika waktu menentang Singapura tempoh hari, enam percubaan Safiq Rahim tersasar, tetapi kali ini pada minit ke-15, tendangan setpiece bola mati itu berjaya disudahkan untuk gol pendahuluan.

Dalam usaha Harimau Malaya untuk memburu jaringan besar, Laos berjaya juga menyusun beberapa gerakan bahaya serangan balas. Akhirnya pada minit ke-38, kedudukan kembali terikat 1-1 hasil tendangan lambung penyerang Laos yang kemudian terbias oleh tampanan Aidil Zaquan untuk mengelirukan Farizal Marlias yang menggantikan Apek kali ini. Tuan rumah berpeluang menambah jaringan, tetapi sentuhan penyudah oleh Mat Yo dan Safee Sali tidak tajam.

Selepas rehat, Safee Sali akhirnya menebus tujuh percubaan beliau yang tersasar sebelumnya apabila berjaya menolak bola hantaran secara satu dua bersama Mat Yo menerjah jaring gol Laos pada minit ke-66. Pemain tinggi lampai, Wan Zack Haikal melebarkan kedudukan kepada 3-1 apabila hantaran silang Kunalan yang berpunca daripada gerakan cantik Mat Yo berjaya ditanduk masuk dengan sempurna pada minit ke-75.
Khyril, berjersi biru gagal dihalang
(sumber gambar: Berita Harian Online)

Safee Sali kemudian meminta untuk digantikan kerana mengadu kecederaan dan tempatnya diambil alih oleh seorang pemain serba boleh, Khyril Muhymeen Zambri. Hanya beberapa minit di padang, Khyril terus menambah derita Laos dengan larian solo untuk memperdaya pertahanan dan seterusnya penjaga gol Laos pada minit ke-79. Kedudukan 4-1 kekal hingga wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan.

Buat seketika, Datuk Rajagobal boleh menarik nafas lega kerana berjaya menutup segala cemuhan yang dilemparkan setelah dimalukan oleh Singapura 0-3 pada hari Ahad yang lalu. Kemenangan gemilang malam ini bagaimanapun masih meletakkan Malaysia di tempat ketiga di belakang Singapura atas perbezaan jaringan gol. Malaysia wajib menang ke atas Indonesia jika tidak mahu bergantung kepada nasib baik.

Jika seri dengan Indonesia, manakala Singapura menewaskan Laos, maka Malaysia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan rantau Asean ini. Andai Singapura juga seri dengan Laos, maka kelebihan akan berpihak kepada Singapura atas perbezaan gol. Hanya jika Singapura tewas di tangan Laos, peluang Malaysia menjadi pasti dengan syarat tidak tewas kepada Indonesia.

Harimau Malaya jangan berharap bahawa Indonesia akan bermurah hati untuk menolong kita. Walaupun membariskan beberapa kudrat 'kuda tua' seperti Bambang Pamungkas dan Elly Aboy, Indonesia diperkuat dengan beberapa orang pemain naturalisasi kelahiran Belanda dan Brazil. Namun, dengan percaturan taktikal yang tepat, Harimau Malaya bakal menutup tirai pusingan awal dengan penuh bergaya....

No comments: