SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, November 30, 2012

HARIMAU MALAYA 'BAHAM' SANG GERODA 2-0 (CRUCIAL MATCH AGAINST INDONESIA: FINALLY MALAYSIA THROUGH SEMI FINAL CLASH AGAINST THAILAND)

Hanya kemenangan, bukan seri dan bukan kalah. Itulah misi tunggal skuad Harimau Malaya ketika berhadapan dengan tetangga serumpun dari seberang, Indonesia. Bergantung harap kepada Laos supaya melakar kejutan ke atas Singapura bukan suatu impian yang konkrit kerana Sang Singa juga sudah terluka apabila tumpas 0-1 di tang Sang Geroda (Garuda?) Rabu lalu.

Kesebelasan utama negara mesti berjuang berhabis-habisan di semua kedudukan daripada penjaga gawang, pemain tengah dan jentera serangan tanpa mengira formasi yang dicatur oleh jurulatih. Kesibukan mengasak kubu lawan untuk gol awal tidak harus pula mengakibatkan kelekaan terhadap serangan balas yang pantas oleh pemain lipas kudung Indonesia seperti Andik Vermansyah, Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy. Pasukan yang paling berjaya menutup ruang gerakan lawan dan tidak melakukan kesilapan bakal muncul sebagai pemenang.
jaringan gol kedua Harimau Malaya

Sekarang catatan secara langsung pada minit ke-30, Harimau Malaya garang di hadapan dengan kedudukan 2-0 hasil jaringan kreatif Azamudin Akil (Alex) pada minit ke-26 dan Mahali Jasuli yang menyambut hantaran Wan Zack Haikal dalam kotak penalti pada minit ke-29. Sementara itu, Laos sedang mendahului Singapura juga dengan 2-0 di Stadium Shah Alam. Datuk Hasbulah Awang menganggarkan sejumlah 70,000 orang penonton membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, termasuk 10,000 penyokong Indonesia.

Ahmad Shakir dibawa keluar kerana mengalami kecederaan dan diganti oleh Garry Steven Robert, manakala Indonesia pula memasukkan Andik bagi menggantikan Elie Aiboy yang mungkin kurang berkesan di jentera serangan mereka dalam keadaan rentak permainan yang begitu laju. Safee Sali juga kelihatan berada di tepi padang untuk menyatakan sesuatu kepada jurulatih, sedang Aidil Zaquan mengutip kad kuning kedua dalam kejohanan yang mengakibatkan dia tidak boleh beraksi untuk perlawanan berikutnya jika Malaysia layak ke separuh akhir.

Khabar dari Shah Alam, Singapura merapatkan defisit gol kepada 1-2 menjelang waktu rehat separuh masa pertama. Perlawanan secara serentak ini bagi mengelak sebarang kelebihan kepada pasukan yang bersaing, di samping mengelakkan sebarang cubaan mengatur perlawanan oleh kaki judi tegar atau bookies. Namun, dengan kecanggihan teknologi digital, kedudukan perlawanan dapat diketahui secara masa sebenar.

Setelah masuk minit ke-60, Indonesia tidak dapat mengharapkan pemain kelahiran asal mereka, lalu membawa masuk tiga orang pemain naturalisasi Belanda yang pernah beraksi dalam liga utama negara kuasa bola sepak dunia itu. Fakri Shaarani yang dilamar oleh sebuah kelab Portugal  pula dibawa masuk bagi menggantikan Azamudin Akil yang cedera pada minit ke-65. Seminit berselang, Amar Rohidan pula masuk menggantikan Mat Yo yang juga cedera akibat kawalan ketat dan asakan pemain lawan

Khabar di Shah Alam, Singapura berjaya memintas kedudukan Laos dengan kedudukan 4-3 pada waktu kecederaan bagi membolehkan mereka menjuarai kumpulan B untuk menempah pertemuan dengan naib juara kumpulan A, iaitu Filipina. Singapura memiliki kedudukan jaringan 7-4, berbanding dengan Harimau Malaya yang mencatat 6-4 walaupun kedua-dua pasukan mengutip enam mata hasil dua kemenangan. Malaysia menempah pertemuan dengan juara kumpulan A, iaitu Thailand.

Bekas pemain handalan kebangsaan, Zainal Abidin Hasan berpendapat bahawa barisan pertahanan Harimau Malaya telah menjalankan tugas dengan baik. Gandingan Mat Yo dan Safee Sali kurang menyerlah justeru diawasi dengan begitu rapi oleh benteng lawan. Namun, pemain muda lain yang memiliki kelebihan fizikal dan kepantasan seperti Wan Zack dan Mahali berjaya mengisi peranan mereka dengan begitu baik.

Perkara yang masih perlu tumpuan ialah tampanan bola yang kurang kemas, dan bola mudah dicuri pemain lawan. Nasib baik juga Indonesia gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan di hadapan pintu gol Harimau Malaya pada 15 minit pertama perlawanan sebelum pemain negara mula menunjukkan perwatakan sebenar mereka. Nafsu untuk menambah jaringan pada babak kedua juga kendur sedikit mungkin kerana tekanan pasukan lawan yang mencari gol semangat.

Tahniah Harimau Malaya yang telah berjaya melaksanakan misi ke separuh akhir. Peningkatan dalam setiap perlawanan menunjukkan pasukan lambat panas ini mencapai puncak pada saat yang lebih genting. Peminat fanatik yang sedikit beremosi sewaktu tewas di tangan Singapura 0-3 kini mungkin lebih bersedia memberi laluan kepada Datuk K. Rajagobal untuk terus membimbing skuad Harimau Malaya...

No comments: