SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, May 31, 2012

PENDIDIKAN KHAS KANAK-KANAK PINTAR (THE NEED OF THE GIFTED GROUP)

Tanggapan tentang pendidikan khas lazimnya terarah kepada kanak-kanak istimewa, kelainan upaya, keperluan khas dan kekurangan diri yang lain. Namun, pendidikan khas sebenarnya turut meliputi program pembelajaran bagi kanak-kanak pintar dan luar biasa dari segi kognitif. Di Malaysia, guru-guru pendidikan khas juga lebih banyak dilatih untuk memenuhi tujuan yang pertama itu.

Pendidikan khas untuk kanak-kanak pintar dan aras kognitif tinggi lebih banyak diusahakan oleh pihak swasta dan kumpulan berpengaruh. Misalnya, terdapat sekolah rendah pintar, maahad tahfiz pintar dan sekolah berasrama penuh swasta. Di samping itu, pihak Universiti Kabangsaan Malaysia (UKM) dengan dukungan kuat isteri Perdana Menteri juga menonjol dengan projek Permata Pintar.

Kanak-kanak pintar dalam pembelajaran memiliki aras kognitif yang sangat berbeza dengan kanak-kanak biasa, bahkan dalam sebahagian kes mengatasi kebolehan pelajar universiti dan orang dewasa. Contohnya, bakat luar biasa dalam bidang matematik dan reka cipta. Teknologi komputer, serta internet telah menjadi pemangkin kebolehan kanak-kanak pintar.

Pendidikan khas tergolong dalam kategori eksklusif, berbanding dengan sistem pendidikan kebanyakan negara yang bersifat inklusif. Alasan utama untuk mengumpul murid pelbagai aras pencapaian dalam satu bilik darjah ialah prinsip pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid. Selain itu, pengalaman pembelajaran secara inklusif didakwa lebih tepat sebelum kanak-kanak menamatkan alam persekolahan, lalu masuk dalam masyarakat sebenar yang berbilang-bilang pencapaian.

Pendidikan khas untuk golongan istimewa, kelainan upaya, keperluan khas, dan kategori kekurangan yang lain memang sudah lama dilaksanakan di hampir semua negara. Murid terbabit mungkin belajar dalam kawasan sekolah yang sama, tetapi diasingkan berdasarkan kelas dan guru. Malah, sekolah kebangsaan yang mempunyai sejumlah murid pendidikan khas layak menerima penolong kanan (pendidikan khas), di samping elaun guru pendidikan khas.

Kini, pendidikan khas untuk murid pintar mulai mendapat perhatian. Buat sementara waktu, sementara tanggapan masyarakat tentang pendidikan khas masih terhad, penonjolan jenama pendidikan khas untuk murid pintar belum dibuat. Guru terlatih untuk pendidikan khas murid pintar juga masih belum diwujudkan dalam norma perjawatan di sekolah.
kompleks Permata Pintar di kampus UKM, Bangi

Daya usaha Fakulti Pendidikan UKM menggunakan segala sumber kesarjanaan pendidikan khas untuk menjayakan projek Permata Negara boleh dianggap sebagai tepat pada masanya. Kesudian isteri Perdana Menteri untuk memperoleh peruntuk belanjawan RM111 juta pada tahun lalu sangat bererti. Tanpa prejudis politik, Permata Pintar itu boleh dianggap sebagai projek rintis memperkasa modal insan aras kognitif tinggi yang penting kepada negara.

Sepertimana iklan, pulangan kepada sesuatu pembiayaan pendidikan sukar diukur dengan wang ringgit. Bakat terbaik kanak-kanak aras kognitif tinggi perlu digilap supaya tidak terbiar begitu sahaja. Mereka juga perlu dibekalkan dengan kekuatan rohani supaya kebolehan luar biasa yang dimiliki hanya menjurus ke arah kebaikan, kebaktian dan amal soleh...

CERITA DARI UKM II: DI HADAPAN PURI PUJANGGA (THE BENEFIT OF DOUBT)

Setelah selesai urusan serahan kunci bilik hotel, penulis blog (PB) sekeluarga pun bersedia untuk meneruskan perjalanan. Baharu tiba di simpang hadapan Puri Pujangga, kami berpatah balik untuk berjumpa semula petugas kaunter untuk bertanyakan laluan pintas ke Putrajaya. Rupa-rupanya kami telah ditakdirkan untuk menyaksikan satu peristiwa yang biasa berlaku dalam masyarakat, tetapi kali ini membabitkan golongan bijak pandai.

Sebuah kereta sederhana mewah, Peugot, dipandu oleh seorang wanita keturunan Cina separuh abad, berhenti di hadapan foyer Pujangga Puri. Seorang mat saleh, kelihatan seperti profesor tamu, turun dari kereta, diiringi seorang lagi wanita, tidak dapat dipastikan keturunan mana. Seorang lagi wanita, nampak macam profesor juga, sedang membuka pintu kereta untuk keluar.

Tiba-tiba kereta terus bergerak tanpa sempat profesor berkenaan turun dengan sempurna. Akibatnya, profesor berkenaan terjatuh dan lengannya terkena pintu kereta. Si pemandu terus berhenti dan keluar melihat keadaan. Dia terus memeluk kawannya, barangkali sebagai tanda minta maaf.
tempat kejadian

Profesor yang terjatuh tadi cuba tersenyum bagi melindungi rasa malu dan sakit yang terpaksa ditanggung. Dia cuba meyakinkan rakan-rakannya bahawa dirinya tiada apa-apa walaupun dengan jelas bahawa dia trauma. Selepas meletak kenderaan, pemandu kereta yang juga seperti tampang profesor itu sekali lagi memeluk erat rakannya itu sambil berjalan beriringan bagi menghiburkan dirinya sendiri yang cuai dan bersalah.

Profesor mat saleh 'pura-pura" tidak campur tangan mungkin kerana tidak mahu memanjangkan cerita dan menjaga air mula profesor wanita yang terjatuh tadi. Mereka berempat terus berlalu ke kaunter penyambut tetamu hotel untuk urusan selanjutnya. PB sekeluarga hanya mampu melafazkan istighfar atas peristiwa yang berlaku di hadapan mata, tanpa disangka-sangka, dan berakhir dengan begitu pantas.

Peristiwa yang menimpa profesor wanita itu mengembalikan ingatan PB terhadap peristiwa yang serupa di hadapan Tesco Ipoh (bersebelahan Jaya Jusco) beberapa tahun yang lalu apabila seorang ibu tua jatuh tergolek di atas jalan akibat kecuaian si anak. Ibu tua itu belum selesai turun apabila si anak (lelaki) tergesa-gesa menggerakkan kereta, barangkali untuk berebut tempat meletak kereta yang strategik. Anggota keluarga yang lain menjerit-jerit dan terus menerpa ke arah si ibu tua.

PB berkongsi kedua-dua cerita untuk kita belajar sesuatu. Berfikir dua kali sebelum bertindak atau membuat keputusan tidak boleh dianggap sebagai membazirkan masa. Malah, dengan cara mendapatkan pandangan kedua, kita berkemungkinan sekali dapat melaksanakan sesuatu perkara dengan lebih persis dan tepat.

Namanya sudah kemalangan bahawa kedua-dua pemandu dalam peristiwa yang diceritakan hanya berfikir sekali. Namun, kesilapan yang membawa padah seperti itu tidak seyogia diulangi buat kali kedua. Falsafah tukang kayu mengatakan, ukur dua kali, potong sekali (measure twice, cut once) dan mafhum al-hadith bahawa orang beriman tidak akan jatuh dalam lubang yang sama dua kali hendaklah menjadi pegangan...

Wednesday, May 30, 2012

KUNJUNGAN SEMULA KE UKM (THE UNTOLD STORY)

Kenangan bergelar sebagai mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudah menjadi lipatan sejarah. Zaman itu tiada telefon bimbit dan tiada kemudahan internet. Maknanya, tiada SMS, MMS, ruang sembang siber, e-mel atau skype.

Perkhidmatan talian tetap di rumah juga masih belum menyeluruh. Maka hubungan dengan keluarga dan sahabat handai hanya dapat dilakukan menerusi surat-menyurat. Kalau ada hal yang sangat mustahak, perkhidmatan telegram sahajalah pilihan yang ada.

Sistem perbankan juga masih belum begitu canggih. Urusan pengeluaran wang masih perlu dibuat di kaunter. Profesor yang hendak mengambil duit gaji juga perlu menunaikan cek dengan beratur panjang bersama pelanggan yang lain.

Unit komputer yang ada masih menggunakan kad tebuk dan tidak mampu dimiliki secara persendirian. Mahasiswa sanggup menunggu hingga dini hari untuk memperoleh giliran menggunakan komputer. Kemudian, baharulah perisian Wordstar dan Lotus diperkenalkan dengan sistem pencetak matriks titik.

Penggunaan mesin taip untuk penyediaan tugasan dan kertas projek ialah perkara biasa. Bagi yang tidak cekap atau malas hendak melakukan kerja menaip, upah bagi setiap muka surat ialah RM1.00. Bagi kertas projek, riben mesin taip yang digunakan menghasilkan cetakan yang lebih tajam dan berkilat metalik!

Pada masa itu tiada skim PTPTN, sebaliknya mahasiswa dihadiahkan biasiswa atau dermasiswa. Namun, pembayaran hadiah berkenaan agak lewat menyebabkan mahasiswa tahun pertama terpaksa mengikat perut menahan lapar. Kalau bijak sedikit, beli seekor ikan, makan separuh untuk lauk tengah hari, manakala pada waktu lewat petang beli nasi dengan kuah sahaja.

Walaupun tidak secanggih mahasiswa hari ini, warga kampus pada zaman berkenaan boleh dikatakan mengecap glamor. Maklumlah, hanya ada 5 buah universiti awam di seluruh negara dan tiada sebuah pun universiti swasta. Hanya pelajar-pelajar terbaik STP(M), matrikulasi dan asasi sains layak memohon masuk universiti, selain saluran kedua pemegang diploma politeknik dan UiTM.

Kini UKM telah mencecah usia 42 tahun penubuhannya yang bermula dengan kampus Lembah Pantai bersebelahan Universiti Malaya. Malah, mahasiswa UKM ketika itu banyak berkongsi kemudahan pengajian dengan mahasiswa UM sebelum berpindah ke kampus tetap di Bangi, Cheras (perubatan), dan Kota Kinabalu (UKMS, kini UMS). Penulis blog (PB) amat bersyukur kerana pernah menikmati era perubahan UKM sebagai sebuah universiti terkemuka di Malaysia dan antarabangsa.

Tuesday, May 29, 2012

PEMAJU TIDAK HORMAT BAHASA MELAYU (THE CRISIS OF NATIONAL IDENTITY)

Sepertinya masyarakat kita masih belum pulih daripada pengaruh bekas penjajah Inggeris. Walaupun negara telah lebih setengah abad mengecapi kemerdekaan, dan orang putih tidak lagi boleh berlagak sebagai tuan, penyakit kagum kepada mat saleh masih melekat. Adakah kerana status bahasa Inggeris sebagai bahasa utama atas talian, kita sanggup mengorbankan bahasa kebangsaan kita sendiri?

Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan bahasa Melayu mesti berada pada kedudukan paling atas berbanding dengan bahasa-bahasa lain, sama ada bahasa antarabangsa, mahupun bahasa ibunda. Tulisan bahasa Melayu di papan iklan mesti yang paling besar dan paling jelas. Upacara rasmi juga mesti memberi keutamaan kepada bahasa Melayu.

Sungguh menyedihkan bahawa sebahagian orang Melayu sendiri bermati-matian memuja bahasa Inggeris. Kalau boleh mereka ini mahu wajah Malaysia tunduk kepada acuan Inggeris bukan sahaja dari segi bahasa, bahkan segala-galanya, terutama pemikiran liberal. Bagi mereka bahasa Melayu tidak berharga, kekampungan dan kolot belaka.

Apabila orang Melayu sendiri sudah sanggup menginjak bahasa sendiri, maka apakah lagi yang boleh diharapkan daripada orang lain? Mereka akan bertepuk tangan dan membiarkan segelintir pembelot mengasak bahasa Melayu mereka sendiri rapat ke dinding. Cerita duka seperti itu macam tiada penghujung.

Bukti apakah lagi yang mahu ditunggu? Kadang-kadang kita seolah-olah berada di Hong Kong atau London jika hanya berdasarkan iklan dan papan tanda berbahasa asing tanpa sensitiviti dan tentangan pihak yang berkepentingan. Kecuaian menjaga bahasa akhirnya perlahan-lahan akan merebak pula dalam bidang yang bersangkut paut dengan soal maruah dan kedaulatan bangsa.

Apabila melihat bintang di langit, jangan lupa rumput di bumi. Jangan menjadi seperti yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran. Jadilah kita insan bijaksana agar mampu membaca muslihat "musuh" dalam jangka panjang...

Monday, May 28, 2012

SPM KURANG CEMERLANG JUGA BOLEH MASUK U (PREVIOUS EXPERIENCE ACCREDITATION)

Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri akan menyediakan instrumen ukuran tentang kelayakan pengalaman masa lalu sebagai laluan memasuki universiti. Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa langkah berkenaan ialah bagi menyediakan tenaga kerja berpengetahuan dan mahir selaras dengan matlamat negara maju berpendapatan tinggi. Pengalaman kerja, perniagaan dan kursus keusahawanan ialah antara merit yang bakal diberi perhatian.

Kini, kira-kira 80 peratus tenaga kerja di Malaysia hanya memiliki kelayakan akademik setakat SPM. Hal itu dilihat sebagai tidak sihat untuk jangka panjang. Akses kepada pengajian tinggi akan memberi nilai tambah terhadap mutu dan daya saing guna tenaga tempatan.

Penubuhan kolej komuniti dan kolej vokasional telah merintis jalan supaya tenaga kerja muda memperoleh pendedahan tentang dunia pekerjaan secara lebih teratur. Kedua-dua kolej dijangka menawarkan kursus untuk pelajar sepenuh masa dan juga pelajar separuh masa. Syarat wajib memiliki sijil sebelum boleh membuka perniagaan walaupun di tepi jalan bererti para penjaja juga harus "kembali ke sekolah".

Kelonggaran syarat bagi mengikuti kursus ijzah asas atau sarjana muda telah pun dirintis oleh Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan kolej universiti swasta. Malah, UiTM juga menyediakan kursus pradiploma bagi  lulusan SPM yang kurang cemerlang, tetapi berpotensi memajukan diri, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar. Kursus ijazah berorientasi hands-on barangkali juga akan lebih banyak ditawarkan pada masa hadapan.

Walaupun hasrat untuk mencapai tahap 40 peratus akses pengajian tinggi menjelang tahun 2020 itu memang sangat wajar, isu penarafan tidak boleh dikompromi. Demikian juga kerisauan pakar perancangan kurikulum tentang konsep universiti berteraskan taman ilmu dan budi, dan tidak harus dilihat sebagai berimej vokasional perlu diteliti. Ke mana pula hala tuju calon-calon pintar sekolah lepasan SPM yang tidak memiliki sebarang pengalaman kerja, berniaga atau kursus keusahawanan?

Bagaimanakah status persekolahan dan proses pembelajaran? Adakah murid akan terus mengambil serius tentang aktiviti bilik darjah, pentaksiran, kokurikulum dan kemahiran insaniah setelah mereka mendapati proses mendapat tempat di universiti mempunyai laluan kelayakan yang lebih bersifat longgar? Mungkinkah kurikulum di sekolah akan mengalami semakan semula secara lebih kerap sebagaimana di negara-negara maju yang lain?

Panel penggubal dasar tentu telah melaksanakan proses hujahan dialektik dan pelbagai opsyen dalam penyediaan ukuran kelayakan pengalaman masa lalu sebagai laluan pilihan ke universiti selain menerusi kelayakan akademik sistem persekolahan. Perancangan guna tenaga negara menghendaki perspektif, senario dan unjuran yang menyeluruh memandangkan jumlah penduduk muda negara meningkat saban tahun. Rakyat berpendapatan tinggi bakal menjana kuasa beli dan permintaan agregat yang bertindak balas terhadap potensi pasaran domestik kita...

Sunday, May 27, 2012

ERTI CUTI BAGI MURID DAN GURU (REDEFINE SCHOOL BREAK)

Cuti sekolah ialah tempoh waktu yang tidak terikat dengan rutin pembelajaran rasmi di bilik darjah. Murid memiliki kesempatan untuk berada di rumah sepenuhnya atau bersama keluarga merancang aktiviti yang boleh merapatkan hubungan. Guru pula boleh menghela nafas lega kerana mempunyai peluang untuk merehatkan minda dan jasmani barang sebentar daripada kesibukan tugas rasmi pendidikan rasmi di sekolah.

Zaman berubah dan kehendak masyarakat juga turut berubah. Cuti bukan lagi masa untuk bersenang-lenang dan santai semata-mata. Kalaupun tidak terbabit dengan kelas tambahan, guru diminta supaya menyediakan tugasan cuti untuk murid.

...

....

.....

......

bersambung...

PENGARUH SELEBRITI DALAM PEMASARAN (TESTIMONIAL AND ENDORSEMENT ON THE BRANDING STRATEGY)

Ketika berkunjung ke pasar tani Medan Gopeng pagi tadi, penulis blog (PB) terserempak dengan sejumlah peralatan penggambaran dan sekumpulan mak cik berkumpul mengelilingi sebuah khemah. Apabila didekati, PB mendapati bahawa ada rakaman program "Ketuk-ketuk Ramadan" sedang dilakukan. Berdasarkan perbualan orang sekeliling, dua orang selebriti yang menjayakan program itu ialah Sheila Rusly dan Sheila Mambo (mami).
Semua pengunjung memberi kerjasama tanpa menimbulkan sebarang gangguan kepada kru dan selebriti terbabit. Malah, mak cik-mak cik yang mengelilingi selebriti turut melaungkan "ketuk-ketuk Ramadan" sebagai tanda rakaman sudah tiba di penghujung. PB terus sahaja berlalu setelah urusan membeli barang di pasar tani selesai sebelum melewati kawasan penggambaran.

Percubaan memasarkan produk dengan menggunakan daya tarikan pelakon, penyanyi dan atlet bukanlah fenomena baharu. Jenama terkemuka antarabangsa seperti Lux, Maybelline, Voir dan banyak lagi menggunakan khidmat selebriti berdasarkan rantau benua sebagai duta produk mereka. Dalam analisis pemasaran, istilah penggunaan selebriti dipanggil sebagai pengesahan (endorsement), manakala penggunaan orang awam dipanggil sebagai pengakuan (testimony).

Penggunaan khidmat selebriti sebagai duta produk di Malaysia sudah semakin menjadi-jadi. Persaingan merebut pasaran, termasuk untuk keluaran makanan suplemen dan herba turut menggunakan selebriti yang sudah "hijrah". Maksudnya, selebriti wanita yang baharu mengenakan tudung kepala, atau selebriti lelaki yang mula beralih ke genre kerohanian.

Tidak dinafikan bahawa selebriti memiliki pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Para peminat sudah tentu berasa teruja apabila insan pujaan mereka bercakap tentang keberkesanan sesuatu produk. Misalnya, aktres yang berjaya menurunkan berat badan akan disambar oleh industri pelangsingan tubuh.

Namun, satu kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa dalam sebilangan kes, selebriti hanya memberi impak negatif terhadap pemasaran. Merujuk http://www.brandingstrategyinsider.com/2011/02/celebrities-in-advertising-a-marketing-mistake.html, Brad VanAuken dan Derrick Daye, pakar strategi penjenamaan, menjelaskan bahawa pengguna hari ini lebih banyak bergantung kepada maklumat jaringan sosial sesama sendiri berbanding dengan selebriti yang tidak berkomunikasi secara langsung dengan mereka. Malah, maklum balas pengguna menunjukkan bahawa daya tarikan selebriti dalam pengiklanan sangat lemah, dan lebih kelihatan sebagai cerita lucu yang tidak bernilai sama sekali...

Friday, May 25, 2012

SUMBANGAN TEKNOLOGI KEPADA FAKTOR PENGELUARAN (LECTURE OF MICROECONOMICS MODULAR II)

Pengenalan

Sumber atau faktor pengeluaran terdiri daripada tanah, buruh, modal dan usahawan. Setiap satu faktor memberi sumbangan terhadap proses pengeluaran dan menerima bayaran / ganjaran dalam bentuk sewa, upah, bunga dan untung. Kini, kemajuan teknologi turut mempengaruhi tahap sumbangan setiap faktor, contohnya teknologi penanaman dan kesuburan tanah, latihan buruh berpengetahuan dan mahir, reka bentuk pelaburan peralatan dan teknologi yang lebih cekap dan usahawan yang memanfaatkan teknologi jaringan telekomunikasi.

Teknologi ialah tentang aplikasi ilmu pengetahuan, atau sebagai modal insan dan modal sosial. Kemajuan teknologi mengakibatkan faktor-faktor pengeluaran sedia ada menjadi usang dan sebahagian keluaran mengalami kejatuhan pasaran secara besar-besaran.  Sesetengah ahli ekonomi mahu memasukkan teknologi sebagai faktor pengeluaran (kelima?), tetapi untuk pelajar prauniversiti tingkatan 6 di Malaysia, cukup sekadar membincangkan pengaruh atau peranan teknologi terhadap faktor.

Pengaruh teknologi terhadap faktor tanah



Pengaruh teknologi terhadap faktor buruh



Pengaruh teknologi terhadap faktor modal



Pengaruh teknologi terhadap faktor usahawan




bersambung...

JATI DIRI BELIA (YOUNG, ENERGETIC AND GOOD LOOKING)

Hari Belia Antarabangsa ditetapkan pada 12 Ogos setiap tahun. Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unga) mentakrifkan belia sebagai kumpulan usia 15 hingga 24 tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang juga bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu memanjangkan had umur belia hingga 34 tahun. Di Malaysia, usia belia ialah antara 16 - 35 tahun (rujuk Pelan Pembangunan Belia).

Secara umumnya, usia belia ialah peralihan antara usia kanak-kanak dengan usia dewasa. Maka, sungguh lucu bahawa hingga dekad 1990-an belia di Malaysia masih dipimpin oleh golongan tua yang sudah mencecah usia 60-an. Mereka terdiri daripada orang-orang berpengaruh dalam dunia politik dan perniagaan yang sangat liat untuk berundur.

Himpunan Belia Negara 2012 yang bertemakan Himpunan Jutaan Belia dijadualkan mulai 23 hingga 27 Mei di Putrajaya. Tahun lalu, himpunan sejuta belia diberitakan mampu menarik kira-kira 10,000 orang belia. Maksudnya, setiap belia yang hadir mewakili 99 orang lagi rakan mereka yang tidak dapat hadir atas aral yang tertentu.

Keyakinan bahawa 2 juta belia akan berhimpun kali ini bermakna tidak kurang 20,000 orang belia bakal membanjiri Putrajaya yang turut membawakan kumpulan k-pop sebagai daya tarikan. Sukar benar untuk membuat perhimpunan raksasa belia kerena kebanyakannya sibuk dengan aktiviti rakan sebaya masing-masing. Faktor kos dan minat terhadap program bersifat rasmi mungkin mengehadkan penyertaan belia.

Belia mungkin berasa jelak dengan label negatif yang dilemparkan oleh golongan dewasa seperti mat rempit, kaki lepak, mat gian, siswazah menganggur dan gejala sosial yang lain. Mengapakan belia-belia cemerlang tidak ditonjolkan? Hakikatnya lebih banyak belia yang berjaya mengekang arus hedonisme, liberalisme dan sekularisme daripada menguasai minda dan jati diri mereka.

bersambung...

Wednesday, May 23, 2012

KEJATUHAN KUASA TRADISIONAL BADMINTON DUNIA (THE FANCY ERA IS OVER)

Apabila pertandingan Piala Thomas pertama dilangsungkan di Preston, England, Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) telah muncul sebagai pemenang sulung kejohanan dengan menumpaskan Denmark 8-1. Kejohanan 3 tahun sekali itu kemudian diadakan di Singapura yang ketika itu masih menjadi sebahagian Malaya sebanyak tiga kali berturut-turut. Pada tahun 1952, Malaya menundukkan Amerika Syarikat 7-2 dan pada tahun 1955 mengetepikan cabaran Denmark sekali lagi dengan 8-1.

Kejohanan tahun 1958 menyaksikan kemunculan kuasa baharu, iaitu Indonesia yang kemudiannya melakar kemenangan hatrik, sebelum dirampas semula oleh Malaysia pada tahun 1967 dihadapan penyokong taksub Indonesia di Jakarta. Indonesia kembali bertaring dengan kejuaraan 5 kali berturut-turut hingga tahun 1984 yang bermula sebagai temasya dwitahunan. Penampilan kali kedua China pada tahun 1986 membawa mereka juga menang 3 kali berturut-turut. 

Kesempatan sebagai tuan rumah membolehkan negara menang buat kali kelima pada tahun 1986. Sesudah itu Indonesia menang 5 kali berturut-turut, manakala China mengambil alih kedudukan itu antara tahun 2004 hingga 2010. Kini, di Wuhan, tinggal China untuk meneruskan penguasaan tiga negara. Malaysia kecundang di tangan Denmark, manakala Indonesia tewas kepada Jepun.

Denmark boleh dianggap kuasa badminton apabila melangkah ke pentas akhir senayak 8 kali. Pasukan lain yang pernah merasa suasana saingan akhir ialah Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Thailand.

Tuesday, May 22, 2012

SUMBER EKONOMI DAN KEHENDAK (LECTURE ON MICROECONOMICS, MODULAR)

Pendahuluan


Telah dijelaskan sebelum ini bahawa ekonomi ialah sains kekurangan, iaitu kajian tentang cara pelaku ekonomi  memperuntukkan sumber yang terhad bagi memenuhi kehendak yang tidak terhad dengan cekap. Pelaku ekonomi terdiri daripada isi rumah, firma dan kerajaan; sumber ialah faktor pengeluaran; kehendak ialah keinginan memperoleh barang dan perkhidmatan; manakala cekap ialah dengan sejumlah faktor yang diberi, pengeluaran dapat dihasilkan pada tahap optimum.

Sumber ekonomi melibatkan sumbangan fizikal dalam proses pengeluaran barang dan perkhidmatan. Secara relatif (berbanding), sumber ekonomi bersifat terhad. Ertinya, sumber atau faktor (pengeluaran) tidak mencukupi bagi memenuhi kehendak yang tidak terhad.

Faktor terdiri daripada buruh, modal, tanah dan usahawan. Bentuk sumbangan faktor dan bayaran kepada faktor akan diperincikan. Seterusnya, perbincangan tentang kehendak akan dijuruskan kepada klasifikasi barang, iaitu barang ekonomi, barang percuma dan barang awam.

Sepintas Lalu Sumbangan Faktor
Faktor
Definisi
Ciri
Contoh (peranan)
Bayaran /Ganjaran
Buruh
sumbangan mental, fizikal
input berubah,
 boleh ± ~ Ʃ pgⁿ
buruh mahir,
tidak mahir
upah / gaji
Tanah
sumber asli
penawaran tetap
beza kualiti, lokasi
sewa
Modal
bentuk fizikal tetap
ciptaan manusia
alat, jentera,
 bahan mentah
bunga / faedah
Usahawan
m’gabung faktor
menanggung risiko
pemimpin, perancang, penyelaras
untung

Perbandingan Kumpulan Barang

Ciri
Barang Ekonomi
Barang Percuma
Barang Awam
Penawaran
terhad
tidak terhad
terhad
Bayaran (harga)
ada
tiada
tiada
Kos Lepas
ada
tiada
ada
Pengecualian
ada
tiada
tiada



Contoh
makanan, pakaian 
udara, cahaya, hujanjalan raya, sekolah



penyedia
swasta
anugerah alamkerajaan



Penawaran = jumlah kuantiti keluaran sesuatu barang


Harga = perbelanjaan / caj yang ditanggung oleh seseorang untuk memperoleh barang dan perkhidmatan


Kos Lepas = pilihan kedua terbaik yang terpaksa dikorbankan untuk penggunaan pilihan pertama


Pengecualian = tidak dapat menghalang sesiapa daripada menggunakannya, tidak bersaing


Barang ekonomi boleh dibahagikan kepada barang pengguna, barang modal dan barang perantaraan.

(a)  barang pengguna / akhir memberikan kepuasan langsung. Contoh: barang tahan lama, tidak tahan lama
(b)  barang modal = digunakan untuk pengeluaran barang lain. Contoh: mesin dan peralatan pejabat
(c)  barang perantaraan = digunakan sebagai input (bahan mentah) untuk pengeluaran barang lain. Contoh: tepung.

Barang awam disediakan oleh kerajaan menerusi pembiayaan hasil cukai. Barang awam ialah satu alat agihan semula kekayaan negara dan memenuhi fungsi tunggal kerajaan untuk memaksimumkan kebajikan. Contoh barang awam ialah rumah api, jalan raya, hospital, sekolah dan taman rekreasi.

Barang persendirian dibiayai oleh individu, serta tertaktuk kepada prinsip pengecualian. Maknanya, sama ada perlu membayar, atau mendapat persetujuan pemilik sebelum boleh menggunakannya. Contoh: kenderaan, buku teks.


Penutup


Perbincangan tentang sumber dan kehendak di atas akan diteruskan dengan perincian masalah asas ekonomi. Masalah kekurangan, pilihan (proses membuat keputusan ekonomi) dan kos lepas akan dilanjutkan kepada 3 masalah asas ekonomi, iaitu:
a)  apakah dan berapakah  }
b)  bagaimanakah               }    barang yang hendak dikeluarkan?
c)  untuk siapakah              }

Monday, May 21, 2012

UiTM BUKA LALUAN CALON GAGAL E-RAYUAN (ANOTHER DOOR OPEN FOR HIGHER EDUCATION)

Pengumuman Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk menyediakan 10,000 tempat kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sudah tentu akan melegakan pelajar bumiputera yang belum menerima apa-apa tawaran memasuki institut pengajian tinggi awam (IPTA). Setakat ini, 3,800 calon telah menerima surat tawaran UiTM menerusi program jelajah destini anak bangsa 1Malaysia anjuran Gerakan Destini Anak Bangsa (GDAB) khusus untuk pelajar luar bandar. Calon yang terpilih bakal mengikuti kursus pradiploma, praperdagangan dan prasains sebelum menyambung pengajian di peringkat diploma dan sarjana muda di UiTM sendiri.

UiTM yang bermula sebagai Dewan Latihan Rida di bawah Kementerian Luar Bandar pada awal kemerdekaan memang telah berjaya dalam misi melatih tenaga profesional bumiputera yang kemudian dihantar menyambung pengajian di universiti ternama antarabangsa. Keupayaan UiTM memang tidak diragukan justeru ketika masih bergelar ITM, pengambil pelajar lulusan gred 3 kursus kejuruteraan tidak menimbulkan masalah. Sebahagian kohort berkenaan telah pun memperoleh kelayakan Ir., serta ijazah tinggi dalam bidang masing-masing. 

Murid luar bandar yang berpencapaian rendah dalam peperiksaan awam tidak semestinya memiliki kebolehan akademik dan kemahiran tinggi yang juga rendah. Pencapaian mereka banyak dipengaruhi oleh faktor akses kepada pembelajaran, latar belakang sosioekonomi dan pendedahan motivasi di bawah tahap optimum. Pencapaian mereka ibarat 5 peratus bahagian bungkah ais yang kelihatan terapung di atas permukaan air laut, sedangkan 95 peratus potensi yang tersembunyi belum digilap sepenuhnya.

Perkara yang sama pernah berlaku di Universiti Malaya pada dekad 1970-an dan 1980-an, khususnya pelajar bumiputera di fakulti perubatan dan fakulti kejuruteraan. Jumlah pelajar bumiputera yang dibuang pada setiap penggal boleh dikatakan tinggi. Apabila mereka disambar oleh ITM, mereka muncul sebagai pelajar terbaik dan kemudian memasuki universiti luar negara yang jauh lebih terkemuka daripada UM, mereka juga muncul antara pelajar cemerlang. 

Kini, ratusan ribu profesional bumiputera pernah menerima sentuhan Dewan Latihan Rida, ITM dan UiTM. Maka, langkah UiTM kali ini ialah kesinambungan perjuangan generasi terdahulu yang tidak rela melihat anak bangsa hanya menjadi penonton kepada kejayaan orang lain dalam bidang-bidang ikhtisas, intelektual, perniagaan skala besar dan kreatif. Kecemerlangan umat juga diukur menerusi kekuatan ilmu dan ekonomi, sebagai da'wah bi'l-hal...

LULUS PMR LAYAK AMBIL DIPLOMA (HANDS-ON COURSES AT VOCATI0NAL COLLEGES)


Apabila konsep universiti terbuka dibawa masuk ke Malaysia, timbul pelbagai andaian tentang kelonggaran syarat kemasukan pelajar dan kualiti ijazah yang ditawarkan. Sebagai perbandingan, di Thailand, sesiapa juga yang sanggup membayar yuran boleh mengikuti kuliah untuk kursus-kursus kritikal seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan dan perakaunan. Sama ada mereka mampu menamatkan pengajian atau kandas sejak awal lagi tidak berbangkit.

Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dimiliki oleh konsortium universiti-universiti awam premier di Malaysia. Setakat ini, dasar pengambilan pelajar OUM masih dikawal dengan syarat kelayakan tertentu. Penarafan kursus yang ditawarkan juga bergantung kepada kelulusan Lembaga Akreditasi Negara (Lan), Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Pengumuman terkini Kementerian Pelajaran tentang lulusan PMR yang baharu mencecah usia 16 tahun sudah layak memohon kemasukan kursus diploma di  14 buah kolej vokasional mulai tahun hadapan membuka satu lagi lembaran sejarah transformasi pendidikan negara. Dengan 70 peratus komponen kemahiran dan 30 peratus komponen akademik, murid tingkatan 3 yang tidak cenderung kepada pembelajaran bersifat akademik dan abstrak boleh memilih kursus yang lebih bersifat manipulatif. Masa belajar lebih banyak dihabiskan di bengkel daripada bilik kuliah.

Dalam tempoh 4 tahun, atau ketika usia mereka baru mencecah 19 tahun, mereka bakal dianugerahkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) oleh Kementerian Sumber Manusia. Buat permulaan, sebanyak 15 buah kolej vokasional akan beroperasi mulai tahun 2013. Dalam tempoh dua tahun selepas itu, sebanyak 63 buah sekolah menengah vokasional (SMV) bakal dinaik taraf sebagi kolej vokasional.

Hanya 8 buah sekolah menengah teknik (SMT) asal akan dikekalkan. SMT Ipoh, Persiaran Brash yang ditubuhkan pada tahun 1973 juga akan berubah status sebagai kolej vokasional. Negeri Perak kehilangan sekolah teknik asal yang pernah mengumpulkan murid cemerlang dari seluruh negara. Maksudnya, semua 10 buah SMT, termasuk SMT Gerik (akademik) beralih menjadi kolej vokasional.

Mungkin timbul soalan nakal dan sinis tentang penarafan diploma vokasional (DVM) sama ada setara dengan diploma politeknik, kolej komuniti, UiTM dan IPTA lain, atau tidak. Perkara itu terserah kepada Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran dan Kemeterian Pengajian Tinggi, dan akhir sekali ialah Jabatan perkhidmatan Awam (JPA). Kohort pertama hanya akan menamatkan pengajian pada tahun 2016.

Sasaran DVM tentu lebih menjurus kepada permintaan industri, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sebahagian pelatih DVM yang memiliki potensi keusahawanan juga boleh diberi pakej kursus tambahan supaya boleh digilap sebagai bakal majikan. Sudah tiba masanya anak-anak tempatan mengambil alih sepenuhnya kekosongan yang selama ini diisi oleh oleh pekerja asing...

Sunday, May 20, 2012

BELAJAR PENGALAMAN CHELSEA, CITY (IT'S NEVER TOO LATE)

Peminat bola sepak Eropah barangkali masih hangat memperkatakan kemenangan dramatik Chelsea ke atas Bayaern Munich di gelanggang lawan untuk merangkul kejuaraan Eropah buat julung-julung kalinya selepas 107 tahun penubuhan kelab yang berpangkalan di London itu. Didier Drogba, pemain import dari Ivory Coast, dijulang sebagai wira (immortalized hero) justeru telah menyelamatkan Chelsea daripada ambang kekalahan ketika perlawanan hanya berbaki 2 minit. Malah, tendangan penalti terakhir Drogba telah membawa Chelsea menang 4-3 setelah perlawanan 120 minit, termasuk masa tambahan terikat dengan 1-1.
petr chech dan didier drogba
(sumber:  Berita Harian online)

Di sebalik kedua-dua jaringan kritikal itu, Drogba nyaris mengheret Chelsea tumpas apabila tindakannya mengasari pemain Bayern Munich pada masa tambahan separuh masa pertama menghadiahkan penalti kepada tuan rumah. Mujur, seorang lagi hero Chelsea, Petr Chech berjaya menafikan rembatan Arjen Robben, pemain kelahiran Belanda. Robben kemudiannya enggan mengambil sepakan penalti untuk penentuan keputusan perlawanan akibat tekanan yang begitu tinggi rentetan kegagalan itu.

Chelsea yang dilabel sebagai pasukan kuda tua justeru kebanyakan pemain sudah mencecah usia 30-an mengamalkan corak permainan pasif dan konservatif, iaitu menyerap asakan lawan dengan membina benteng pertahanan yang kukuh, sebelum melakukan serangan balas secara mengejut. Mereka telah melakukan perkara yang sama ketika mengecewakan juara bertahan, Barcelona pada saingan separuh akhir.

Satu lagi fakta menarik tentang Chelsea ialah kemudi interim pasukan, Roberto De Meteo, warga Itali yang juga bekas pemain tengah Chelsea. Semangat kepunyaan kelab lama benar-benar menjelma dalam minda dan jiwa beliau walaupun tiada janji jawatan tetap selepas kejayaan menjulang Piala FA England dan Liga Juara-juara benua Eropah. Kalau beliau berundur pun tidak mengapa, kerena nama beliau sudah pun terpahat dalam sejarah kelab dan Eropah.

Seorang lagi pengendali hebat dari Itali ialah Roberto Mancini, bekas pemain Piala Dunia dan pernah menjulang kejuaraan utama di Sepanyol dan Eropah. Beliau berjaya membawa Manchester City ke persada Liga Inggeris setelah 44 tahun. Beliau melatih pemain City dengan sepenuh jiwa raga dan emosi.

Kedua-dua Chelsea dan City membuktikan satu perkata, iaitu berpantang undur sebelum berjuang. Mereka berjaya mengubah skrip perlawanan pada detik-detik terakhir saingan ketika kemenangan hampir terlepas begitu sahaja. Sikap tidak putus asa, di samping keinginan untuk mencatat kejayaan tidak pernah pudar selagi wisel penamat belum ditiup oleh pengadil perlawanan.

Tindakan Drogba menghadiahkan penalti kepada Bayern Munich pada saat genting lebih baik daripada membiarkan bola menerjah gawang. Sekurang-kurang Petr Chech masih boleh mengaharapkan nasib atau keajaiban. Demikianlah yang terjadi akhirnya.

Banyak perkara yang boleh diambil iktibar, antaranya:

1    membuat perancangan berdasarkan analisis kekuatan, kelemahan, peluang, ancaman (Swot)

2    mengaplikasi strategi mengikut keupayaan sendiri dan rentak pasukan lawan / pesaing

3    menghalang lawan daripada menghampiri kawasan berisiko pasukan

4    menunggu detik yang sesuai untuk bertindak balas secara mengejut

5   saling mengukuhkan keyakinan sesama anggota pasukan

6   tidak menunjukkan rasa gentar atau kelam kabut dengan asakan lawan

7   menyediakan pelan B ketika memperoleh peluang menghukum kealpaan lawan

8   tidak hilang punca apabila lawan mendahului

9   membuat keputusan berisiko tinggi pada saat genting

10   berdoa sepanjang masa
Organisasi boleh belajar sesuatu daripada kes Chelsea dan City. Pelajar juga boleh mencontohi semangat perjuangan yang tidak kenal erti menarik diri. Pendek kata, berfikir sejenak mungin sekali merobah kehidupan kita ke arah yang lebih baik, insya-Allah...

Saturday, May 19, 2012

PEMBINAAN ITEM SOALAN UJIAN, PEPERIKSAAN (MEASUREMENT AND ASSESSMENT IN SCHOOL)

Pertimbangan utama dalam membina item soalan ujian dan peperiksaan ialah dari segi keakuran dengan sukatan pelajaran. Tujuannya ialah supaya item yang diuji itu turut akur dengan peluang kepada calon untuk mengemukakan jawapan. Secara lebih mudah, calon diuji berdasarkan perkara yang dipelajari, bukan perkara yang tidak dipelajari, atau di luar jangkauan mereka.

Ujian dan peperiksaan ialah alat pengukuran dan penilaian terhadap pencapaian murid dalam proses pembelajaran. Dalam kata lain, sesuatu piawai atau penanda aras proses pelaksanaan kurikulum dapat digunakan untuk membezakan murid cemerlang, sederhana dan penguasaan minimum. Selanjutnya, langkah campur tangan (intervensi) dalam bilik darjah dapat direka bentuk dengan lebih tepat.

Pengukuran per se ialah pentaksiran bersifat formatif. Maklum balas pencapaian objektif pembelajaran diperoleh semasa aktiviti bilik darjah atau kursus sedang berjalan. Soalan lisan, kuiz bertulis dan ujian pengesanan (diagonistik) yang ditadbirkan bukan bertujuan untuk merekodkan markah atau gred pencapaian, sebaliknya hanya untuk membantu proses penambahbaikan.

Apabila pengukuran disekalikan dengan penilaian, item ujian dan peperiksaan yang ditadbirkan berdasarkan tempoh pembelajaran yang tertentu dikenali sebagai pentaksiran sumatif. Maka, reka bentuk pembinaan item pentaksiran mesti melalui satu proses tapisan yang ketat dan tidak boleh sesekali bersifat spontan. Individu atau panel yang diberi tanggungjawab membina item pentaksiran perlu akur kepada tatacara pentaksiran yang khusus supaya alat ujian yang ditadbir kelak memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi.

Di peringkat sekolah, reka bentuk pentaksiran peringkat tertinggi akan ditentukan oleh mesyuarat jawatankuasa kurikulum sekolah sebelum dipanjangkan kepada panitia mata pelajaran. Jadual Penentuan Ujian akan menjadi panduan asas untuk penyediaan item soalan. Bidang tajuk yang diuji akan diselaraskan jika terdapat lebih daripada seorang guru mengajar mata pelajaran yang sama.

Aras kesukaran soalan dan indeks diskriminasi item perlu direka bentuk dengan teliti bagi tujuan pemisahan gred antara calon cemerlang, sederhana dan penguasaan minimum. Memandangkan di peringkat sekolah, gred pencapaian telah ditetapkan berasaskan julat dan skor markah tertentu, maka pendekatan yang lebih konservatif adalah lebih selamat. Guru harus mengambil kira data kiraan kepala (head count), nilai lepas landas (take off value, TOV), dan jangkaan pencapaian sasaran (expected target result, ETR).

Hakikatnya proses pembinaan item soalan ujian dan peperiksaan ialah perkara serius dan tidak boleh dilakukan secara sambil lewa. Walaupun sudah biasa dengan penyediaan item pentaksiran berasaskan sekolah sejak mula bertugas, ulang kaji tentang proses dan tatacara pembinaan item ini tidak boleh sama sekali diabaikan. Kesibukan guru dengan pelbagai aktiviti kurikulum, kokurikulum, pengurusan, peningkatan profesionalisme dan kegiatan peringkat daerah, negeri dan kebangsaan sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepada guru untuk menyediakan item ujian yang mantap dan signifikan.

Jalan keluar untuk tanggungan beban kerja bersendirian ialah permuafakatan dan kerja berpasukan. Pihak panitia mata pelajaran boleh mengambil daya usaha menganjurkan bengkel bank soalan pada awal tahun supaya semua item ujian, sama ada bulanan, pertengahan tahun dan akhir tahun dapat dibereskan tanpa bertangguh. Peribahasa berat sama dipikul, ringan sama dijinjing benar-benar menjadi pegangan dalam dunia  pendidikan...

Friday, May 18, 2012

BAYANG DAN TANGGA (THE OTHER SIDE OF SUCCESS)


                     Bayang hanya balikan
                     Bayang bukan maujud
                     Bayang muncul dek panahan cahaya
                     Bayang muncul dek sinaran bulan
                     Bayang muncul dek suluhan lampu
                     Bayang muncul dalam air
                     Bayang muncul dalam cermin

                     Tetapi
                     Bayang mengejar manusia
                     Bayang kekayaan
                     Bayang cinta
                     Bayang cita
                     Bayang citra
                     Bayang kuasa

                     Bayang bertukar bahang
                     Bayang tuan minda
                     Bayang berleluasa
                     Bayang menggila
                     Bayang bersuara
                     Bayang meronta

                     Aduhai bayang
                     Kembali ke tempatmu
                     Hentikan godaanmu
                     Tanggalkan penyamaran
                     Kasihani manusia
                     Yang lalai tentang maujud

                     Lihat tangga di sana
                     Manusia berpijak di bumi nyata
                     Manusia perlu berusaha
                     Mendaki tangga
                     Bukan mengejar bayang
                     Tetapi mengejar cemerlang
                     Dengan bimbingan iman.
                   

Thursday, May 17, 2012

APA KHABAR BOSNIA? (MUSLIM SURVIVAL IN BALKAN REGION)

Ikatan aqidah mendekatkan dua buah negara yang begitu jauh dari segi geografi, iaitu Malaysia dan Bosnia-Herzegovina. Malah, antara tahun 1993 hingga 1995 sekumpulan etnik Bosnia yang dizalimi oleh puak Serbia yang tidak berpuas hati dengan pengisytiharan kemerdekaan Bosnia daripada persekutuan Yugoslavia yang turut merangkumi Croatia dan Serbia-Montenegro. Kempen pembersihan etnik itu memakan korban awam melebihi angka 100,000 orang.

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) ialah pertubuhan yang mula-mula membangkitkan keprihatinan masyarakat dan kerajaan persekutuan terhadap nasib yang menimpa masyarakat Bosnia. Tabung Bosnia ditubuhkan dengan kerjasama Berita Harian dan Utusan Malaysia. Sumbangan kewangan dan perubatan berkenaan ialah petanda sokongan moral rakyat Malaysia terhadap penderitaan masyarakat Bosnia ketika itu.

Malaysia ialah antara pihak yang lantang menyuarakan nasib rakyat Bosnia sehingga berjaya menarik perhatian Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk mengambil tindakan terhadap kekejaman tentera Slobodan Milosevic yang membawa termeterainya Perjanjian Dayton di Ohio. Milosevic kemudian didakwa mahkamah jenayah antarabangsa dan tribunal perang. Kini, Bosnia kembali menikmati status kemerdekaan yang asal setelah mengalami sejarah peralihan kuasa yang panjang.

Kira-kira separuh penduduk Bosnia ialah masyarakat Islam yang berkulit putih asli. Mereka bukan kaum imigran dari timur tengah atau Turki, tetapi benar-benar darah kulit putih Eropah tulen. Walaupun telah mengalami proses sekularisasi sejak kejatuhan kerajaan Othmaniah di Saravejo (abad 15 - 19), institusi intelektual dan nilai Islam masih bersemi dalam diri masyarakat Islam Bosnia. 

Bosnia juga dikenali sebagai salah sebuah kuasa bola sepak Eropah yang disegani. Pemain handalan mereka, Edin Dzeko kini bermain untuk Manchester City, dan telah memainkan peranan penting menjaringkan gol penyamaan dalam masa kecederaan, minit ke-92 dalam perlawanan terakhir liga menentang Queens Park Rangers untuk menyelamatkan City daripada terlepas mahkota kejuaraan EPL edisi 2011/12 baru-baru ini. Dzeko muncul sebagai kebanggaan masyarakat Islam Bosnia.

Bosnia dikurniakan pemandangan alam yang menakjubkan. Industri pelancongan ialah antara hasil pendapatan utama Bosnia yang dilitupi 50 peratus kawasan hutan dan banjaran Alps yang diliputi salji tebal. Penduduk Bosnia dianggarkan berjumlah 4 juta orang dengan 300,000 orang daripadanya bertumpu di ibu kota yang begitu cantik, iaitu Sarajevo.

Bosnia ialah lambang masyarakat Islam yang berjaya di bumi Eropah. Wilayah bergolak di Albania dan Kosovo dijangka mengambil model perjuangan masyarakat Islam Bosnia. Ditambah dengan kemasukan imigran timur tengah dan rantau Mediterranean, perkembangan masyarakat Islam di Eropah bertambah kukuh. 

Tidak mustahil bahawa suatu ketika nanti Eropah akan turut pintu masuk perkembangan Islam yang paling pesat di dunia. Rasa cemas berlebihan yang ditunjukkan oleh pelampau tertentu di Belanda, Denmark dan Amerika Syarikat dengan menghina Islam hanya memakan diri mereka sendiri. Islam ialah agama sejahtera yang membawa manusia kepada khabar gembira untuk kehidupan dunia dan akhirat...

Wednesday, May 16, 2012

PENGENALAN MIKROEKONOMI: STPM MODULAR (THE ORIGIN OF ECONOMICS)

Pendahuluan

Masyarakat primitif mengamalkan ekonomi sara diri dan kegiatan mereka berlegar dalam kalangan rumah tangga sendiri. Setelah masyarakat berkembang, sistem tukar barang (barter) pula mendapat tempat. Apabila sistem mata wang diperkenalkan, kegiatan ekonomi mula lebih rencam (sofistikated).

Secara asas, kegiatan ekonomi hanya ada tiga bentuk, iaitu penggunaan, pengeluaran dan pertukaran. Pelaku ekonomi juga ada tiga, iaitu isi rumah, firma dan kerajaan. Matlamat isi rumah ialah untuk memaksimumkan kepuasan, firma memaksimumkan untung, dan kerajaan memaksimumkan kebajikan.

Bidang pembelajaran Mikroekonomi

Pengenalan:
definisi, jenis barang, masalah asas ekonomi (keluk kemungkinan pengeluaran), penyelesaian masalah asas (sistem ekonomi)

Pasaran barang dan sistem harga:
Permintaan, penawaran, keseimbangan pasaran
Kawalan harga
Keanjalan

Teori pengeluaran:
Fungsi pengeluaran
Kos pengeluaran
Ekonomi bidangan, tak ekonomi bidangan

Struktur Pasaran:
Persaingan sempurna
Monopoli
Persaingan Monopolistik

Pasaran faktor:
buruh = upah
modal = bunga
tanah = sewa
usahawan = untung

Asal usul istilah ekonomi

berpunca dari oikonomia, iaitu cantuman perkataan oikos nomos daripada istilah Greek purba, yang membawa maksud peraturan rumah tangga.

Definisi ekonomi

Terdapat pelbagai takrif. Paling ringkas, ekonomi ialah sains kekurangan.

Sains bermaksud bidang ilmu yang berasaskan kajian.

Kekurangan merujuk kepada sumber yang terhad tidak dapat memenuhi kehendak yang tidak terhad.

Maka, ekonomi ialah kajian tentang cara pelaku ekonomi memperuntukkan sumber yang terhad antara pelbagai pilihan untuk memenuhi kehendak yang tidak terhad dengan cekap.


Istilah-istilah penting

sumber = faktor pengeluaran  (buruh, modal, tanah, usahawan)

pilihan = proses membuat keputusan ekonomi berdasarkan matlamat pelaku

kehendak  =  keinginan memperoleh barang dan perkhidmatan

cekap =  penggunaan sumber yang terhad (secara optimum) untuk hasil (keluaran) yang maksimum

masalah ekonomi:  kekurangan, pilihan, kos lepas

kos lepas = pilihan kedua terbaik yang dikorbankan untuk penggunaan pilihan pertama

masalah asas ekonomi:
apakah dan berapa banyakkah hendak dikeluarkan? (mekanisme pasaran)
bagaimanakah hendak dikeluarkan? (teknik intensif modal, intensif buruh)
untuk siapakah dikeluarkan? (agihan)

Buku rujukan yang dicadangkan:

1  Md Zyadi Md Tahir, HY Fong: Mikroekonomi Penggal 1, Longman, 2012

2  Sabariah Ali:  Mikroekonomi, AceAhead (Fajar Bakti), 2012

Tuesday, May 15, 2012

GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA (THE RHYTHM OF CHANGE IN SCHOOL)

Proses pendidikan sentiasa sinonim dengan aktiviti perubahan. Teori behaviorism misalnya menekankan perubahan tingkah laku sebagai ukuran keberkesanan pencapaian objektif pembelajaran. Pendirian berkenaan juga disokong oleh sarjana perancangan kurikulum seperti Ornstien yang melihat reka bentuk kurikulum sebagai memenuhi keperluan perubahan.

Di Malaysia, dinamika perubahan dalam dunia pendidikan diberikan pelbagai nama seperti inovasi, reformasi dan transformasi. Hakikatnya, tanpa slogan yang muluk-muluk pun, pendidikan tetap tidak boleh lari daripada momentum perubahan. Namun, manusia memang tertarik dengan susunan kata yang indah seperti cogan kata dan tema tertentu.

Sambutan hari guru kali ini membawa tema "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara". Inovasi atau pembaharuan sudah menjadi antara tugas asasi guru, terutama dari segi amalan terbaik pendidikan. Guru wajib mencari jalan untuk menolong murid masing-masing menuju puncak jaya, selaras dengan semangat pendemokrasian pendidikan iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid.

Syarat penting inovasi ialah sikap properubahan dan tidak terikat dengan status quo. Istilah zon selesa sebenarnya tidak wujud dalam kamus seorang guru inovatif. Segala ikhtiar intervensi ialah bukti betapa kaum guru sentiasa iltizam dengan ikrar keguruan untuk membawa anak bangsa ke mercu kecemerlangan.

Bijak pandai mengatakan bahawa harapan ialah roda utama yang menyebabkan manusia terus bergerak. Guru sentiasa menyalakan harapan terhadap sebahagian murid yang berasa rendah diri justeru latar belekang sosioekonomi dan pengalaman hidup mereka yang tidak setara dengan rakan sebaya yang lebih bernasib baik. Dorongan dan kata-kata semangat oleh seorang guru inovatif yang peka terhadap potensi dan fakulti kanak-kanak umpama titisan air yang memulihkan daun-daun yang hampir layu.

Guru bukan lilin yang membakar diri, tetapi umpama matahari yang menyebarkan cahaya harapan dalam kehidupan insan. Kini, kaum guru telah menikmati pelbagai kemudahan dan ganjaran sebagai balasan kepada perkhidmatan yang diberikan. Walaupun agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kerjaya ikhtisas yang lain, kaum guru telah diberi penghargaan yang cukup tinggi.

Sekadar senarai, ciri guru inovatif termasuk:

1   sentiasa mencari jalan bagi menambah baik amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah

2   sentiasa peka akan tema keperluan murid dan memberikan tindak balas yang sesuai

3   cenderung kepada saranan ikhtisas: dapatan kajian tindakan sendiri / orang lain

4   membimbing murid dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang

5   menghormati buah fikiran dan pendapat rakan sekerja

6   memberi kerjasama dan sumbangan dalam program kecemerlangan sekolah

7   memudahkan jalan penerokaan idea dalam kalangan murid

8   mengoptimumkan potensi pengajaran sebaya di bilik darjah

9   menggunakan pengukuhan sebagai daya tarikan pembelajaran

10   menanamkan perasaan selesa dan selamat kepada semua murid dalam persekitaran bilik darjah


Proses transformasi pendidikan tidak lagi berlaku dalam skala yang kecil. Murid harus disediakan untuk berhadapan dengan cabaran global yang tidak menentu. Walaupun daya saing diutamakan, jati diri mesti kekal sebagai modal sosial masyarakat.

Negara maju berpendapatan tinggi bergantung kepada modal insan minda kelas pertama yang datang dari dunia pendidikan. Aplikasi pengetahuan, kemahiran dan sikap dibimbing oleh tujuan yang suci. Peranan guru inovatif tidak akan pernah berhenti...

SELERA RETRO ORANG LAMA (DEFENCE MECHANISME OF OLDER GENERATION)

Peningkatan tahap sosioekonomi sesebuah masyarakat sering mempengaruhi gaya hidup dan pengisian masa senggang dalam kalangan pelbagai peringkat umur. Golongan dewasa sudah memiliki masa lapang untuk melayan kenangan silam mereka. Maka, pelbagai bentuk barang dan perkhidmatan untuk golongan berkenaan mulai melambak di pasaran, termasuk dalam bidang hiburan santai.

Dengan munculnya teknologi rakaman digital, mutu muzik lama dapat diperbaharui dengan susunan bunyi yang lebih gemersik dan jelas. Suara penyanyi juga dapat diberi sentuhan lebih segar agar kedengaran lebih lunak. Salinan piring hitam, katrij dan kaset diformat semula dalam bentuk MP3.

Antara saluran radio yang mendapat perhatian warga veteran ialah Sinar.fm, Klasik Nasional dan Lite.fm. Astro juga menyediakan saluran khas untuk lagu-lagu 1940-an ke bawah menerusi stesen Gold. Maknanya, orang tua berusia 90-an masih boleh mengimbau siulan zaman mereka masih remaja.

Sinar.fm pernah menduduki carta teratas pendengar paling ramai untuk tempoh waktu yang lama sebelum dipintas semula oleh Era.fm. Bilangan pendengar setia Sinar.fm dianggarkan berjumlah 4.2 juta orang. Klasik Nasional juga berjaya mengumpul peminat melebihi 1.5 juta orang.

Apakah muzik retro berfungsi sebagai terapi minda atau sebenarnya lagi satu bentuk helah bela diri? Biarlah penyelidik psikologi warga lanjut usia melaksanakan kajian yang menyeluruh tentang isu berkenaan. Barangkali nilai-nilai baharu telah meresapi golongan lama yang biasanya lebih konservatif.

Di Malaysia, perjalanan seni seseorang penyanyi akan segera suam-suam kuku apabila menginjak usia 30-an, atau sebaik sahaja berumah tangga. Penyanyi tempatan hanya aktif merakam album atau memenuhi undangan pertunjukan pentas ketika masih "bergetah". Namun, godaan retro nampaknya mengajak golongan veteran kembali melayan lagu-lagu kegemaran silam mereka, dan penyanyi yang sudah mencecah usia lebih separuh abad meraih perhatian semula.

Buktinya, slot siaran Aku, Dia dan Lagu (Adila) kelolaan Klasik Nasional saban petang mendapat sambutan hangat orang-orang lama, termasuk yang sudah berstatus datuk nenek dan bergelar haji. Cerita-cerita cinta lama tanpa sms, facebook dan tweeter diolah dengan begitu cantik walaupun barangkali terdapat tokok tambah sebagaimana karya-karya klasik tentang kesaktian pahlawan dahulu kala. Kisah ala-ala Kuch Kuch Hota Hai berkenaan diselang-seli dengan lagu-lagu retro pujaan silam.

Perak.fm juga menyajikan slot retro usai ceramah agama yang meraih bilangan khalayak yang tertinggi. Status sebagai stesen penyiaran setempat tidak menghalang Perak.fm diikuti di seluruh dunia menerusi laman sesawang mereka. Stesen Suria.fm yang meraih hampir 3 juta pendengar juga menampilkan tag line muzik 90-an dan terkini.

Sebuah syarikat pasta gigi (ubat gigi) yang mempromosi penjagaan gigi palsu pula sanggup menaja program persembahan suara emas. Maksudnya, golongan veteran diberikan pentas untuk melantunkan vokal dan menari mengikut keupayaan masing-masing. Nasihat doktor harus dipatuhi supaya tidak terlalu memaksa diri untuk melalak (irama keras) atau terkinja-kinja seperti orang muda.

Orang-orang lama juga perlu sentiasa diberi nasihat (ad-dinu nasihah, au kama qala). Sesuai dengan usia yang merangkak senja, mereka tidak boleh terlalu leka dan menghabiskan sisa usia dengan pekerjaan yang sia-sia. Jemputan ke alam baqa tidak didahului dengan amaran yang nyata...

Monday, May 14, 2012

GURU SARJANA DAN PH.D MENANTI BERITA BAIK? (HIGHER DEGREE HOLDERS DESERVE HIGHER PAY)

Apabila terdapat arahan untuk kemas kini maklumat guru penyandang ijazah tinggi, iaitu sarjana dan doktor falsafah, maka kumpulan guru berkenaan mula menumbuhkan bunga-bunga harapan. Maklumlah, sebahagian mereka telah mengeluarkan ongkos yang bukan sedikit untuk menyelesaikan pengajian. Dugaan semasa pengajian juga begitu banyak, termasuk persefahaman dan sokongan antara keluarga, terutama suami atau isteri yang mungkin sedikit sepi.

Terdapat juga cerita kononnya, pihak berkuasa telah bersetuju memberi keistimewaan kepada penyandang ijazah tinggi, tetapi mendapat bantahan sebuah kesatuan guru. Alasannya ialah kerana hanya guru yang mendapat tajaan biasiswa hadiah latihan persekutuan (HLP) akan diberi ganjaran. Setiap tahun, kurang 10 peratus pemohon biasiswa HLP yang berjaya, manakala baki yang lain harus menanggung segala perbelanjaan pengajian dengan duit poket sendiri.

Di Lembah Kelang dan Tanjung Malim, serta Johor Bahru, bilangan guru yang memperoleh ijazah tinggi bertambah setiap tahun. Di sana kampus UKM, UM, UPM, UIAM, UPSI dan UTM berdekatan dengan rumah dan sekolah cikgu-cikgu. Begitu juga kemudahan rujukan tesis di perpustakaan EPRD di Putrajaya boleh dikunjungi selepas waktu persekolahan sesi pagi. Maka, tidak hairanlah cikgu sekolah rendah pun ramai yang sedang mengikuti program doktor falsafah secara kerja kursus yang mula ditawarkan oleh beberapa buah universiti awam di Lembah Kelang. 

Sasaran sebagai negara maju menjelang tahun 2020 termasuk akses pengajian tinggi pada kadar 40 peratus daripada jumlah penduduk negara kita. Maka, setakat kelulusan ijazah sarjana muda sudah menjadi perkara biasa. Malaysia mungkin sampai ke tahap negara China yang mengeluarkan 5 juta orang siswazah setiap tahun dan India juga dalam bilangan yang lebih kurang sama.

Perlumbaan untuk memperoleh ijazah tinggi bukan lagi cerita pelik. Dahulu penceramah suka memperli kononnya ijazah berjela-jela, tetapi akhlak dan tasawwur mereka masih di takuk lama. Sebenarnya, pengajian ijazah tinggi yang berasaskan kemahiran penyelidikan tahap tinggi akan lebih dekat kepada kebenaran dan mementingkan sokongan data (kuantitatif dan kualitatif) sebagai sandaran.

Sekolah akan beruntung jika banyak cikgu memiliki ijazah tinggi. Kajian tindakan adalah perkara "kacang" bagi mereka. Kepakaran dalam sesuatu bidang pengkhususan boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan amalan terbaik dalam aktiviti pembelajaran di bilik darjah.

Perayaan hari guru edisi 2012 bakal berlangsung di Dewan Jubli, Kuala Kangsar 16 Mei ini. Sudah pasti lebih 10,000 orang guru penyandang ijazah tinggi teruja untuk mengetahui sama ada mereka akan diberi perhatian atau harus menunggu lebih lama. Sudah ada bisik-bisik kononnya guru sarjana akan beroleh dua kenaikan gaji atau elaun khas seperti BISP, manakala guru Ph.D menerima tiga kenaikan gaji.

Moga berita baik juga yang akan diumumkan sempena majlis sambutan yang saban tahun tidak pernah lupa dengan sajak Usman Awang itu. Diharap pak menteri tidak marah jika guru penyandang ijazah tinggi memasang impian seperti yang tersebut. Bekas murid mereka yang masuk PTD atau sebagai pensyarah sudah pun melangkau gred perjawatan guru mereka sendiri yang kini sudah meniti penghujung tempoh perkhidmatan keguruan mereka...syahdu syahdu...

Sunday, May 13, 2012

MALAYSIA JUARA HOKI REMAJA ASIA (JUNIOR SQUAD CREATES MIRACLE)

Ketika pasukan senior kecundang dalam misi Olimpik, skuad hoki remaja bawah 20 tahun negara memberikan sinar baharu yang dinantikan. Mereka membenam Pakistan 2-1 dalam perlawanan akhir kejohanan remaja Asia kali ke-7 di Stadium MBM Bukit Serindit, Melaka Bandaraya Bersejarah sebentar tadi. Sebelumnya, India dan Korea Selatan turut menjadi mangsa.

Percaturan taktikal Mohamad Dharmaraj Abdullah, jurulatih berpengalaman nyata menjadi. Momentum kemenangan ke atas skuad remaja Australia dalam saingan akhir kejohanan jemputan Sultan Johor tempoh hari masih berterusan. Terbukti bahawa faktor nasib baik bukan penentu mutlak kemenangan terhadap pasukan yang berstatus gergasi dunia.
Kedua-dua gol dijaringkan dalam separuh masa pertama. Asakan Pakistan dalam saingan babak kedua berjaya dinafikan dengan cemerlang oleh benteng pertahanan negara. Malah, Mohd Hazrul Faiz bin Ahmad Sobri,17, penjaga gol remaja negara telah dinobatkan sebagai pemain harapan kejohanan. Sebahagian pemain skuad negara datang dari Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Bandar Penawar.

Kemenangan bergaya ke atas Pakistan itu akan menjadi azimat untuk memberi saingan terbaik untuk kejohanan remaja dunia yang dijadualkan pada tahun hadapan. Gergasi Eropah seperti Britain dan Sepanyol, serta wakil Amerika Selatan, iaitu Argentina bukan calang-calang pasukan. Namun, skuad remaja negara mesti yakin akan keupayaan sendiri yang kini digeruni oleh lawan-lawan ternama.
Nor Azlan bin  Abu Bakar (berjambang), antara pembantu jurulatih negara

Hoki masih dianggap sebagai bertaraf rekreasi di kebanyakan negara termasuk Britain, Belgium, Peranchis, Sepanyol dan Switzerland. Di Malaysia sendiri, penonton masuk ke stadium hoki secara percuma. Kapasiti muatan stadium hoki pula hanya antara 5,000 hingga 10,000 orang penonton. Malah, hoki ais lebih popular kerana disertai kebanyakan negara maju.

Namun, pemain-pemain hoki masih boleh cari makan. Kebanyakan bank perdagangan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mengambil pemain hoki sebagai "kakitangan" bagi menubuhkan pasukan hoki untuk bersaing dalam liga kebangsaan. Sama ada tujuan nama baik atau penyesuaian cukai, sumbangan organisasi korporat itu sangat berbaloi...

Catatan gol:  Faisal Shaari, minit ke-2 (sudut penalti); Mohd Syamim Mohd Yusof, 18 (gol padang); Irfan, 42 (gol padang).

pelaburan berbaloi: pemilik QPR (Tony Fernandez, Malaysia), pemilik Man City (Sheikh Mans0ur, Abu Dhabi)

Mutakhir:  Manchester City muncul sebagai juara baharu EPL menerusi kemenangan dramatik dalam masa kecederaan untuk membenam cabaran pasukan milik Tony Fernandez dari Malaysia, Queens Park Rangers dengan 3-2. QPR yang bermain dengan sepuluh orang pemain setelah seorang pemain pertahanan mereka dibuang padang dan kekal mendahului 2-1 hingga ke minit 90. Sergio Kun Aguiro merembat gol kemenangan pada minit 90 + 3, menyusul gol penyamaan Edin Dzeko untuk memadamkan kemenangan tipis Manchester United ke atas Sunderland hasil gol tunggal Wyne Rooney.
kongsi detik gembira bersama isteri dan anak-anak


City telah menunggu detik gemilang itu selama 44 tahun. Sejak kelab diambil alih oleh Sheikh Mansur, bilioner UAE, City menerima suntikan dana hampir RM 10 bilion untuk membawa pemain-pemain hebat dari seluruh dunia. Namun, hakikat yang lebih menarik ialah kemenangan masih boleh tercapai walaupun secara konservatif kelihatan mustahil!