SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, November 14, 2014

GURU KENA 'PROMOSI' SEMUA MATA PELAJARAN (AGAINST REDUCTIONISM IN LEARNING)

Keupayaan sistem otak manusia untuk menerima, menyimpan dan memproses maklumat memang menakjubkan. Ilmu pendidikan dan psikologi telah sekian lama berganding bagi membongkar rahsia keunikan pembelajaran bermula daripada teori pelaziman klasik yang berteraskan kepada rangsangan dan gerak balas. Manusia pertama, Nabi Adam alaihi salam diajar nama-nama benda terlebih dahulu.

Tubuh ilmu psikologi pendidikan konvensional dan normatif sentiasa berkembang menerusi penyelidikan para sarjana yang dapat ditelaah menerusi jurnal yang autententik (refereed journal). Semua pendekatan psikologi percaya bahawa pembelajaran bermula sejak janin berada dalam kandungan rahim ibu. Namun, pembelajaran bersemuka hanya ketara apabila bayi dilahirkan dan seterusnya tumbuh sebagai kanak-kanak, remaja, muda, dewasa dan tua.

Dalam konteks sistem pendidikan yang bersifat inklusif, tahap pencapaian pembelajaran akan menunjukkan perbezaan antara individu atau kumpulan. Tidak semua bakat kanak-kanak dapat dikembangkan berdasarkan kecenderungan yang dikenal pasti secara sah justeru akses sistem pendidikan mempunyai batasan untuk menampung segala kehendak yang luas itu. Malah, bidang inovasi dan kreativiti yang menjadi pencetus kemajuan dan kesejahteraan hidup manusia juga hanya disediakan pada peringkat tertentu atas sebab yang sama.

Sesebuah sekolah juga hanya menawarkan pakej pembelajaran tertentu sejajar dengan kemudahan prasarana fizikal dan kepakaran tenaga akademik dan teknikal yang sedia ada. Maka, pelajar yang berdaftar di sekolah berkenaan hakikatnya tertakluk kepada opsyen pembelajaran yang terhad walaupun kelenturan (fleksibiliti) sistem pendidikan menghendaki sebaliknya. Pada akhirnya, bakat dan kepintaran seseorang itu tidak dapat diukur sepenuhnya berasaskan pencapaian pembelajaran di sekolah per se.

Bagi meminimumkan kesan batasan pendidikan inklusif, kurikulum kebangsaan telah direka bentuk sedemikian rupa supaya konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid dapat dilaksanakan. Guru-guru terlatih menerima pendedahan asas pedagogi dan andragogi pendidikan semasa latihan praperkhidmatan dan juga latihan dalam perkhidmatan, serta digalakkan menjalankan kajian tindakan dalam persekitaran sekolah masing-masing. Konsep capaian (akasebiliti), keadilan (ekuiti) dan kepimpinan teragih digembleng secara optimum agar setiap murid menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik tanpa disisihkan atas sebarang sebab.

Klasifikasi mata pelajaran teras dan elektif mirip konsep hierarki ilmu (maratib-'ul ilm) yang membahagikan ilmu fardu ain dengan ilmu fardu kifayah. Konsep nilai-nilai murni merentas kurikulum juga menepati inti pati bahawa ilmu pengetahuan hendaklah bertunjang terhadap tawhid. Dalam masa yang sama, paradigma permintaan sosial, modal insan dan perancangan guna tenaga yang mempengaruhi penawaran kurikulum juga telah diambil kira.

Aliran akademik (minds-on), iaitu bahasa, kemanusiaan dan sains, serta kemahiran (hands-on) tetap disampaikan kepada semua murid di sekolah sekurang-kurangnya sehingga tingkatan tiga. Walaupun pencapaian murid akan berbeza-beza, tetapi kesempatan pembelajaran asas untuk kedua-dua aliran tidak boleh dinafikan supaya hasarat falsafah pendidikan kebangsaan bagi membina insan yang seimbang dan menyeluruh bakal menjadi kenyataan. Dengan asas pembelajaran yang diterima di sekolah, tidak mustahil bahawa seseorang itu pada akhirnya dapat menemui bakat sebenar yang terpendam apabila berkecimpung dalam pekerjaan atau pengajian lanjutan sepanjang hayat.

Maka, sangatlah mustahak bahawa guru memiliki kepekaan supaya tidak mengakibatkan tanggapan murid terhadap mata pelajaran tertentu sampai meleset sehingga mendatangkan kerugian kepada semua pihak yang berkepentingan dalam jangka panjang. Saranan yang sipi, misalnya supaya memberi tumpuan terhadap mata pelajaran tertentu sahaja boleh menjejaskan perkembangan potensi dan fakulti kanak-kanak (baca; murid dan pelajar) yang hanya akan menyempitkan laluan mereka untuk pilihan pengajian tinggi, kemahiran atau pekerjaan.

Kesempatan ke arah kebaikan hendaklah dibuka, kesempitan hendaklah dibuang. Persaingan untuk munuju persada kecemerlangan bermakna bahawa tiada lagi pergantungan tuntas terhadap mata pelajaran tertentu. Pengkhususan dan tumpuan hanya boleh berlaku setelah seseorang pelajar berjaya merebut tempat di institusi pengajian yang memiliki penarafan terbaik.

Pengalaman peribadi penulis blog (PB) mendapati bahawa guru ekonomi menghadapi tugas tambahan bagi menangkis sikap sentimental pelajar yang enggan bersusah payah dan tidak mahu percaya bahawa pembelajaran ekonomi sebenarnya bukanlah begitu rumit. Mereka terlalu melayan luahan pengalaman senior yang kurang berjaya, mahupun cakap-cakap rakan sebaya yang lesu lagi tidak bermaya. Oleh itu, saranan adab guru oleh Imam al-Ghazali agar guru sentiasa mengekalkan sangka baik pelajar terhadap semua pelajaran ialah suatu sine qua non (kemestian tanpa gagal) ...

No comments: