SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, November 27, 2014

PENANGAN KERTAS UPSR ULANGAN : BANYAK YANG MENANGIS (AFTER THE PEAK PERFOMANCE)

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam (Rabu, 26.11.14) mencatat penurunan yang ketara. Sekolah tertentu yang selama ini memiliki rekod pencapaian terdahulu yang menjadi bualan kali ini harus akur bahawa kedudukan mereka telah dipintas. Reka bentuk item soalan yang lebih banyak menjurus terhadap kemahiran berfikir aras tinggi (kbat) pula didapati memisahkan calon yang benar-benar cemerlang daripada calon ulat buku semata-mata.

Ibarat sebuah pasukan bola sepak yang menjalani latihan serta perlawanan persahabatan pemanas badan secara ekstrem, pemain sudah mencapai puncak keupayaan (prestasi) sebelum kejohanan sebenar. Sebahagian calon UPSR mungkin mengalami perkara yang sama apabila telah menumpahkan seluruh tenaga semasa tarikh peperiksaan yang asal. Maka, ketika menduduki kertas yang terpaksa diulang semula, mereka sudah berada dalam zon penurunan prestasi.
ambilan paparan Kosmo! 27.11.14

Peratus calon yang mencatat 5A ialah 7.67 peratus atau sejumlah 36,304 orang calon daripada 473,175 orang semuanya, berbanding dengan 8.91 peratus pada tahun 2013 (42,646 orang calon daripada 478,848). Gred purata nasional (GPN) juga turun sebanyak 0.02 mata kepada 2.29, berbanding dengan 2.27 mata tahun lalu. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof dalam reaksinya berkata bahawa calon terlalu memberi perhatian terhadap pencapaian gred tertinggi dalam slip keputusan peperiksaan.

Sistem peperiksaan yang sedia ada akan diperkemas supaya benar-benar menjurus terhadap pembangunan modal insan, selain mengukur perkembangan pembelajaran di sekolah. Namun, hal yang menarik ialah jurang pencapaian calon bandar dengan luar bandar didapati semakin mengecil. Sementara itu, Terengganu masih mengungguli kedudukan GPN terbaik, mengatasi Melaka di tempat kedua dan Kelantan di tempat ketiga (rujuk jadual di bawah).

Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh menjelaskan bahawa komponen soalan kbat telah ditingkatkan kepada 40 peratus berbanding dengan 25 peratus pada tahun sebelumnya. Analisis menunjukkan kebanyakan kesilapan jawapan calon secara relatif lebih tinggi dalam soalan kbat. Tindakan membanyakkan soalan kbat sejajar dengan matlamat PPPM 2013 - 2025 bagi meningkatkan daya saing pendidikan negara di persada antarabangsa.
sumber ambilan: Ibid

Gred Purata Negeri Perak dan Kedah menyamai GPN, iaitu 2.29, tetapi berbeza dari segi peratus. Perak kurang 0.07 peratus berbanding pencapaian kebangsaan, sebaliknya Kedah lebih sebanyak 0.51 peratus. Jadi, Perak berada pada tangga kesebelas, suatu pencapaian yang tidaklah mengecewakan berdasarkan profil demografi yang lebih rencam.

Kini, tumpuan ibu bapa terarah kepada pemilihan sekolah menengah untuk anak masing-masing. Penurunan bilangan calon 5A bermakna bahawa kebarangkalian untuk mengisi 14,000 tempat ke tingkatan satu di sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) lebih cerah, terutama calon bumiputera. Jika tercicir, peluang masih terbuka luas untuk permohonan kemasukan SMKA, rancangan khas, sekolah kawalan dan sekolah pintar yang lain.

Sekolah harian juga sedang menjalani proses pembestarian apabila dilengkapi dengan prasarana pembelajaran canggih dengan guru yang terlatih dengan pedagogi terkini. Cabaran yang dihadapi oleh sekolah harian (aliran kebangsaan) ialah kepercayaan ibu bapa yang pernah menghantar anak mereka di sekolah rendah vernakular. Demikian juga daya tarikan sekolah pintar swasta, tahfiz dan sebagainya.

Walaupun ibu bapa mempunyai harapan tertentu terhadap anak, kesempatan untuk anak membuat keputusan hendaklah dihormati. Ibu bapa sebaik-baiknya bertindak umpama kaunselor yang menolong anak dalam proses membuat keputusan, bukan seperti diktator yang menetapkan keputusan muktamad. Sebagai pemimpin keluarga, ibu bapa boleh mempengaruhi keputusan si anak, tetapi dengan cara yang sangat bijaksana.

Anak-anak pula perlu memahami harapan ibu bapa, pengorbanan yang dicurahkan selama ini, di samping mengambil kira kemampuan kewangan ibu bapa sebelum membuat tuntutan tentang pilihan sekolah menengah yang hendak dimasuki. Andai kata berlaku percanggahan, nasihat profesional seperti daripada kaunselor pelajar di sekolah boleh diusahakan. Tahniah kepada semua sekali calon UPSR 2014, sama ada yang memperoleh semua A, mahu pun yang tiada A langsung kerana bakat dan potensi kalian masih dalam proses menuju kecemerlangan, tidak kira di sekolah menengah yang mana satu ...

No comments: