SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, November 16, 2014

RALAT DALAM PERSEPSI (THE SHADOW OF REALITY)

Ketika berurusan dalam premis Bank Simpanan Nasional (BSN) Parit petang tadi, beratur di belakang ialah seorang pemuda yang berjanggut seperti anggota tabligh. Namun, apabila dia hendak kembali membonceng motosikal, ternampak rantai di lehernya. Di bahagian belakang baju-T yang dipakainya pula tertera lambang masjid dan tulisan Jawi.

Kebetulan, lampu isyarat bertukar merah dan motosikal yang dibonceng oleh pemuda itu berhenti betul-betul bersebelahan dengan kenderaan penulis blog (PB). Tulisan pada baju-T itu jelas boleh dibaca, iaitu petugas masjid di Kuala Lumpur. Setelah itu, kami tidak lagi 'berjiran' (istilah undang-undang untuk kenderaan di sebelah, hadapan atau belakang).

Jalan raya dari Parit ke Ipoh memang sempit dan berliku. Maka, jika basikal sekalipun susah hendak dipotong, apatah lagi jika kenderaan besar. Barisan kenderaan kali ini agak panjang kerana ada 'pemimpin' di hadapan.

Selalunya kenderaan yang bergerak perlahan ialah van yang sengaja dipandu demikian kerana kalau cepat tiba di pejabat akan disuruh melakukan kerja lain. Hal itu bukanlah rekaan, bahkan keluar daripada mulut pemandu van yang sempat ditemui. Kemungkinan lain ialah pemandu dalam kalangan warga emas, wanita atau pemandu yang 'sibuk' bersembang dengan penumpang, atau asyik melayan panggilan telefon.

Satu demi satu kenderaan di hadapan berjaya memintas 'pemimpin' tersebut. Akhirnya, PB juga berjaya berbuat demikian. Rupa-rupanya kenderaan itu ialah pick-up Toyota Hi-Lux yang bersesaran 2.4 liter dan biasanya mendesup di lebuh raya.

Sekilas pandang, pemandunya 'sibuk' merokok dan berbual dengan rakan di sebelah. Kebetulan lagi, kami 'berjiran' ketika lampu isyarat bertukar merah. Kali ini jelas bahawa semua sekali pemandu dan penumpangnya memakai ketayap (lebai), serta berjanggut persis pemuda yang memakai rantai di BSN tadi, masya-Allah.

Dua kes salah sangka dalam tempoh masa beberapa minit sahaja itu memang kerap berlaku. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa yang kecil jangan disangka anak, yang besar jangan disangka bapa; air yang tenang jangan disangka tiada buaya! Lin Dan tewas di tangan pemain badminton kurang ternama India di laman sendiri (klik di sini).

Pengajaran daripada peristiwa seumpamanya ialah bahawa kita hendaklah mempunyai kaedah yang tepat dalam membuat sebarang keputusan dan juga kesimpulan. Ralat sering terjadi justeru ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki sangat terhad. Semoga Allah mengampunkan segala dosa kita atas khilaf dan ketidakadilan yang tidak disengajakan seperti itu, amin ...

No comments: