SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, November 28, 2014

MUNGKINKAH PENJIMATAN SUBSIDI PETROLEUM DINIKMATI MAHASISWA? (FINANCING HIGHER EDUCATION)

Bilangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) kini dianggarkan mencecah lebih setengah juta orang. Terdapat 20 buah universiti awam, serta ratusan universiti dan kolej universiti swasta. Tidak seperti dua tiga dekad yang lalu, peluang untuk menikmati tajaan biasiswa atau dermasiswa sangat terhad.

Pelajar IPT semasa lebih kenal pembiayaan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang berbentuk pinjaman berjadual. Selepas tamat pengajian, mereka perlu membayar balik pinjaman sebagaimana syarat yang ditandatangani dalam perjanjian. Maka, tidak hairan bahawa isi rumah di Malaysia pada masa hadapan bakal menanggung beban hutang sepanjang hayat mereka, terutama pinjaman pendidikan tinggi, perumahan, kenderaan, koperasi dan sebagainya.

Kos sara hidup di kampus memang memeritkan bagi mahasiswa yang datang daripada latar belakang keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah. Harga makanan, alat tulis dan keperluan pengajian yang lain bukan murah. Banyak yang terpaksa mengikat perut atau manahan lapar kerana wang yang dimiliki sering sahaja kritikal.

Mungkin orang tidak pecaya bahawa masih ada mahasiswa yang memiliki hanya dua tiga helai pakaian untuk digilirkan. Pelajar universiti seperti demikian, terutama yang pendiam menjalani kehidupan di kampus sebagai orang miskin tegar, tetapi mereka tidak pernah diberi perhatian. Malangnya, golongan bangsawan dan pegawai tinggi yang membuat dasar tidak dapat menyelami penderitaan golongan mahasiswa yang kesempitan.

Sambil sistem pembiayaan yang ada berjalan, serta berlaku penambahbaikan, isu kebajikan mahasiswa yang berhadapan dengan kekurangan belanja perlu ditangani. Notis peringatan dan perundangan kepada bekas peminjam PTPTN, atau sekatan perjalanan yang dikenakan merupakan tatacara operasi piawai (S.O.P) bagi memastikan bayaran balik supaya dana PTPTN tidak terjejas. Perkara itu termaktub dalam undang-undang tubuh PTPTN.

Negara membuat sasaran akses pengajian tinggi sebanyak 40 peratus dalam kalangan penduduk. Walaupun dalam jangka pendek, isu pengangguran siswazah mencemaskan banyak pihak, tetapi dalam jangka panjang nilai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran akan melonjakkan negara sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi  yang berdaya saing. India dan China ialah contoh yang ketara.

Pembiayaan pengajian tinggi mesti memiliki lebih banyak pilihan sumber selain PTPTN, bank, skim insurans dan penaja kecil-kecilan yang lain. Institusi agihan kekayaan seperti Baitul Mal hendaklah memainkan peranan yang lebih jelas tentang klasifikasi asnaf fi sabilillah, jika berkemungkinan di salurkan kepada mahasiswa. Langkah pengecualian cukai kepada entiti korporat yang menyumbang terhadap dana pembiayaan pengajian tinggi yang disatukan barangkali lebih munasabah.

Penghapusan subsidi petroleum sepenuhnya mulai 1 Disember ini menjimatkan peruntukan awam sebanyak RM20 bilion. Alangkah baiknya jika sebahagian lebihan yang tiba-tiba ada itu digunakan untuk pembiayaan pengajian mahasiswa yang memerlukan. Pemberian baucar buku 1Malaysia boleh diperluaskan kepada kupon pembelian makanan, tambang pengangkutan awam dan perbelanjaan kampus yang lain.

Andaikan 250,000 orang mahasiswa layak diberikan bantuan kewangan dengan kadar rata RM8,000 seorang untuk tempoh setahun. Maka, hanya RM2 bilion yang diperlukan, iaitu bersamaan sepuluh peratus sahaja daripada penjimatan subsidi petroleum. Pemberian bantuan dalam bentuk baucar dan kupon dapat memastikan tiada salah guna berbanding dengan jika bantuan disampaikan secara tunai.

Dalam tempoh setahun, mahasiswa menghabiskan masa di kampus sepanjang tujuh hingga lapan bulan untuk kuliah, tutorial dan peperiksaan. Maka, bantuan sebanyak RM1,000 sebulan itu sudah pasti banyak melegakan beban kewangan ibu bapa mahasiswa yang terbabit. Sumber lain yang disatukan boleh berfungsi sebagai potongan khas yuran pengajian kepada mahasiswa yang didapati memerlukan ...

No comments: