SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, April 10, 2015

TRANSKRIP WAWANCARA DENGAN PERDANA MENTERI MALAYSIA (POLITICAL FEEDBACK IN THE ERA OF SOCIAL MEDIA)

Ungkapan seperti 'politik ialah seni kemungkinan', zero sum game, matlamat menghalalkan cara (Machiavelli, The Prince), tiada sahabat atau musuh yang kekal sudah sebati dengan dunia politik atau siasah. Pemimpin politik yang berkuasa dalam sesebuah negara memiliki wewenang dan wibawa tertinggi dalam proses membuat keputusan. Punca kuasa seseorang pemimpin politik ialah keupayaan memperoleh pengaruh yang mencukupi dalam kalangan organisasi parti dan pengundi.

Bagi membina dan mengekalkan pengaruh yang kuat, seseorang pemimpin perlu kepada strategi yang ampuh untuk mengurus dan mentadbir persepsi umum terhadap diri dan organisasi yang dipimpin. Persepsi atau tanggapan umum mesti memihak kepada seseorang pemimpin dan organisasi yang dipimpin dalam usaha mengekalkan pengaruh yang dimiliki supaya tidak berpindah kepada pihak atau organisasi lain yang bersaing. Sekali melangkah ke dalam dunia politik kepartian bermakna sudah bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan sama ada baik atau sebaliknya.

Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki latar belakang sejarah pembentukan masyarakat yang begitu panjang dan rencam. Sebagai sebuah negara yang telah memilih amalan demokrasi, maka persaingan kuasa sama ada antara parti atau di peringkatan dalaman sesebuah parti tidak dapat dielakkan. Maka, wawancara khas dengan kepimpinan tertinggi negara suatu dokumen yang penting untuk rujukan pada masa hadapan.



KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjawab pelbagai soalan mengenai beberapa isu yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menegaskan bahawa keutamaan beliau ialah kepada rakyat dan negara, Najib menjawab segenap aspek persoalan dan kritikan terhadap pentadbiran beliau, meliputi isu pengurusan 1MDB, pelaksanaan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), BRIM (Bantuan Rakyat 1Malaysia), kes pembunuhan Altantuya, Akta Hasutan, POTA (Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan) dan prospek ekonomi negara.

Beliau mengupas segala isu itu ketika diwawancara Hamdan Ahmir dalam program Soal Jawab TV3 Edisi Khas yang disiarkan malam ini.

Berikut adalah transkrip penuh wawancara itu:

MUKADIMAH HAMDAN: Sejak kebelakangan ini, ada beberapa pihak yang mengkritik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berkaitan beberapa isu pengurusan kewangan dan pentadbiran. Malah ada pihak yang meminta supaya Perdana Menteri melepaskan jawatan kerana mereka berpendapat UMNO dan Barisan Nasional akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya Yang Amat Berhormat terus memimpin. Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, saya alu-alukan kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

SOALAN: Saya ingin mulakan sesi kita dengan menyampaikan rasa simpati kami kepada Datuk Seri dan juga warga kerja Pejabat Perdana Menteri atas kehilangan sahabat Datuk Seri yang cukup rapat, Tan Sri Jamaluddin Jarjis, dan juga dua pegawai kanan yang paling rapat dengan Datuk Seri, Datuk Azlin Alias dan Datuk Mohd Poad (Jelani). Bagaimana Datuk Seri menangani kesukaran dalam saat-saat yang berdukacita ini?

NAJIB: Tentu sekali kehilangan mereka bertiga merupakan tragedi bagi Pejabat Perdana Menteri, lebih-lebih lagi bagi diri saya sendiri, tentu sekali bagi keluarga mereka, sahabat handai. Dalam konteks pentadbiran negara, Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis telah memberi sumbangan yang besar dalam pelbagai kapasiti di dalam dan luar negara.

Allahyarham Datuk Azlin dalam pentadbiran pejabat saya telah menjalankan tugasnya dengan efisien, dengan amanah. Begitu juga dengan Datuk Poad sebagai setiausaha sulit saya, telah jalankan tugasnya dengan baik.

Namun, walaupun saya tetap dalam kesedihan tetapi kehilangan mereka itu menguatkan iltizam saya untuk menjalankan tugas-tugas saya memimpin negara dengan sebaik mungkin untuk mencapai segala impian, segala cita-cita dan wawasan negara.

SOALAN: Kita dapati Datuk Seri, kerajaan membuat penilaian semula dari segi perkembangan ekonomi negara akibat tekanan-tekanan yang kita hadapi secara global. Dari segi ekonomi, bagaimana Datuk Seri melihat usaha-usaha yang dijalankan setakat ini dalam memantapkan ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi?

NAJIB: Memang penilaian semula itu sangat kena pada masa berikutan kejatuhan harga minyak yang agak begitu drastik, merudum jatuh hingga ke paras separuh daripada masa-masa sebelum ini. Sudah tentu mana-mana negara pengeluar minyak terpaksa membuat penyesuaian/adjustment kepada kedudukan fiskal negara, supaya langkah-langkah yang lebih proaktif kita dapat menjamin bahawa fundamental ekonomi negara kita masih kukuh.

Ini yang nak saya tekankan. Meskipun harga minyak jatuh tetapi fundamental ekonomi negara kita tetap utuh dan kita masih boleh mencapai kadar pertumbuhan yang sederhana tinggi.

Kita masih boleh menarik pelaburan, kita masih boleh melaksanakan pembaharuan transformasi negara dan kita boleh terus memastikan rakyat Malaysia terbela.

SOALAN: Kita dapati banyak pihak yang menyambut baik usaha-usaha yang dibuat kerajaan dari segi memantapkan ekonomi negara. Dalam pada itu, Datuk Seri, ada pihak-pihak tertentu yang nampaknya tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Datuk Seri sendiri sebagai Perdana Menteri.

Saya ingin khususkan kepada kritikan-kritikan yang dibuat sejak akhir-akhir ini oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kepimpinan Datuk Seri sendiri. Bagaimana Datuk Seri melihat kritikan yang datang ini?

NAJIB: Saya tetap hormati Tun Dr Mahathir seperti mana saya hormati rakyat Malaysia. Saya terbuka sekiranya mana-mana pihak yang mengkritik kepimpinan saya, pentadbiran saya.

Saya harap kritikan itu dibuat dengan penuh berhemah dan cara bertanggungjawab. Saya meneliti, saya menimbang kewajaran setiap kritikan itu. Tetapi saya perlu tegaskan pada kesudahannya, saya perlu membuat keputusan sebagai Perdana Menteri dan sebagai Presiden UMNO, dan saya bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia dan kepada parti. Itu saya nak tegaskan.

Apapun pendapat individu, pada kesudahannya, saya akan bertanggungjawab kepada rakyat dan kepada parti.

SOALAN: Kita ambil contoh misal kata pengenalan GST pada 1 April. Ada pihak yang beranggapan bahawa dari segi timing GST diperkenal itu kurang sesuai di kala rakyat merasakan kesan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada Malaysia itu juga menghimpit mereka. Apa komen Datuk Seri?

NAJIB: Sebenarnya, tiada masa yang dikatakan sesuai untuk memperkenalkan GST. Kalau kita lihat pada keseluruhannya, antara faktor yang boleh dikatakan menyebelahi langkah kerajaan untuk memperkenalkan GST; harga minyak dah jatuh.

Bila harga minyak jatuh, maknanya harga petrol dan diesel lebih rendah dari masa-masa sebelumnya. Itu satu...rakyat mendapat faedah daripada penurunan harga minyak dunia. Yang kedua, kerajaan telah membuat persediaan yang begitu lama.

Soal GST ini sejak tahun 80-an lagi. Bukan perkara baharu. Jadi kita laksanakan daripada makronya sesuai masanya sebab kerajaan perlu kepada punca kewangan tambahan sebab hasil dividen daripada Petronas akan berkurangan kerana harga minyak dah jatuh.

Jadi amat sesuai kita perkenal sekarang dan kita juga telah membuat satu bentuk di mana banyak produk perkhidmatan keperluan rakyat yang di-zero rated atau dikecualikan. Lebih daripada 4,000. Tak pernah mana-mana negara yang membuat cara sedemikian dan ini bukan cukai tambahan.

Ini penggantian kepada cukai perkhidmatan dan jualan (SST) yang selain daripada itu, kita tambah BR1M, Bantuan Rakyat 1Malaysia, kita bagi pengurangan cukai peribadi antara satu hingga tiga per cent. Dan kita kurangkan juga cukai korporat, juga satu per cent. Jadi pakej, jika kita lihat keseluruhannya, adalah pakej yang tidak membebankan rakyat.

Kerana kita nak pastikan pelaksanaannya, ini pokok, pelaksanaannya dari segi penguatkuasaan. Kalau ada pihak komplen, dia bukan pengenalan GST sebenarnya, tetapi pihak peniaga yang mengambil kesempatan. Peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab, bukan semua.

Ada yang telah mengiklankan harga tak naik, ada yang kata harga akan dikurangkan. Misalnya, harga kereta dikurangkan. Ada rangkaian supermarket seperti Mydin yang kata kekalkan harga, ada yang kedai kain cakap mereka akan absorb GST dan sebagainya.

Jadi (apa yang) kita nak pihak penguatkuasaan ambil tindakan ialah peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab.

SOALAN: Kita faham bahawa barangan harian yang menjadi keutamaan rakyat Malaysia dikecualikan GST. Tapi ada juga dalam kalangan rakyat yang membangkitkan soal apabila mereka pergi kedai makan, makanan orang Malaysia seperti nasi lemak atau roti canai dengan teh tarik juga dikenakan GST.

Kalau nak beli kicap tomato, sos Maggi misalnya pun dikenakan GST. Jadi mereka bertanya bagaimana GST ini tidak membebankan mereka. Keluar hari-hari makan di kedai kopi pun dikenakan GST.

NAJIB: Kalau pihak itu tidak sepatutnya kenakan GST, tolong lapor kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (Koperasi dan Kepenggunaan). Di sini letaknya kuasa pengguna. Kita mesti tahu kita ada kuasa.

Kuasa pertama kita boleh pilih mana-mana kedai yang kita nak beli barangan ataupun kedai-kedai makan, kita boleh pilih. Jadi kedai-kedai yang tak bertanggungjawab yang sengaja menaikkan harga, lepas itu menyalahkan pihak kerajaan.

Kita janganlah pergi ke kedai itu. Banyak kedai lain. Kedai alternatif lain. Yang kedua kita mesti lapor kepada kementerian dan pihak kastam. Jadi gunakan kuasa sebagai pengguna. Lambat laun, mereka yang menggeksploitasikan keadaan ini, mereka akan kehilangan pembeli.

SOALAN: Saya nak kaitkan kembali antara BR1M dan GST seperti yang disuarakan Tun Mahathir juga bahawa masa yang tidak sesuai mengikut pandangan beliau, tidak semestinya betul. Tidak sesuai untuk dilaksanakan GST dan handout BR1M bukan langkah yang berkesan untuk diambil oleh kerajaan.

NAJIB: BR1M bukan handout. Sebenarkan BR1M merupakan social safety net yang telah dicadangkan Jawatankuasa Fiskal, bukan saya sendiri. Jawatankuasa Fiskal terdiri daripada jabatan-jabatan kerajaan termasuk Bank Negara, EPU, Kementerian Kewangan dan sebagainya. Bila mereka bincang, pada mulanya kerana kita nak kurangkan subsidi pukal.

Maknanya subsidi daripada minyak kita nak kurangkan kerana banyak ketirisan. Banyak pembaziran. Banyak pihak yang tak layak dapat subsidi mendapat faedah subsidi. Jadi kita kata, kita kurangkan. Tapi kita kena kurangkan berperingkat-peringkat.

Kalau kita kurangkan, kita jimat perbelanjaan kerajaan. Bila jimat perbelanjaan kerajaan, sebahagian daripada penjimatan itu kita salurkan balik kepada rakyat. Jadi jika rakyat terpaksa membayar harga minyak lebih, mereka adalah, orang kata timbal balas dalam BR1M bagi mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. Sekarang kita tambah sikit kepada RM4,000, tapi RM3,000 ke bawah ada timbal balas. Jadi itulah falsafahnya sebenarnya.

Soal social safety net yang bukan saja Malaysia, tapi banyak negara lain mengamalkan sistem social safety net dalam pelbagai kaedah.

SOALAN: Berbalik kepada kritikan Tun Mahathir, beliau ada sebut kes Altantuya Shaariibuu. Kita semua sedia akur bahawa mahkamah telah buat keputusan kes ini...sudahpun berlalu. Tapi ada pula timbul kritikan daripada Tun Mahathir yang kata siapa yang beri arahan kepada pegawai polis terbabit untuk membunuh Altantuya. Terasa perkara ini pelik sebab kes itu sudah berlalu. Apakah Datuk Seri ada terbabit dalam perkara ini?

NAJIB: Ini cerita 2008...dah lama dah. Sebenarnya saya dah lafazkan sumpah Wallahi Wabillahi Watallahi, tiga kali termasuk di sebuah masjid di Permatang Pauh pada 2008...bahawa saya tidak mengenali Altantuya dan saya tidak terlibat sama sekali sama ada secara langsung atau tidak langsung. Dan pihak polis telah jalankan siasatan. Dan pada masa itu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sebagai Perdana Menteri dah laporkan, dan Ketua Polis Negara dah buat kenyataan bahawa saya tak terlibat.

Dan tak ada bukti sama sekali yang timbul bahawa saya kenal Altantuya. Tak ada langsung...tak ada gambar, tak ada tulisan, tak ada saksi dan sebagainya. Mahkamah telah tentukan prosesnya sampai ke Federal Court. Apakah kita nak persoal integriti mahkamah kita yang kita pertahankan sebelum ini?

SOALAN: Difahamkan Datuk Seri sebenarnya sebelum ini pernah bertemu Tun Mahathir sendiri mengenai beberapa isu. Adakah beliau bertanyakan Datuk Seri kes Altantuya ini?

NAJIB: Tak secara langsung tapi kita pernah sekali berbincang. Dalam perbincangan itu saya lihat beliau tak persoalkan penglibatan saya dalam (kes) Altantuya. Dan saya anggap perkara ini tak berbangkit sama sekali. Bila saya bincang dengan Tun Mahathir, saya tunjuk bahawa saya tetap hormat dia misalnya, walaupun saya sebagai perdana menteri. Tapi saya pergi ke rumah dia, saya tak benarkan dia datang rumah saya. Tapi macam mana pun bila kita bincang saya perlu buat keputusan sebagai perdana menteri.

SOALAN: Dia (Tun Mahathir) faham bila (Datuk Seri) jumpa dan memberi penerangan tetapi kenapa ditimbulkan lagi perkara ini?

NAJIB: Dia ada satu dua perkara dia nak saya buat. Tapi saya dah beri pandangan atas perkara ini. Misalnya dia tak setuju BR1M, dia minta saya buat jambatan bengkok ganti Tambak Johor. Saya dah bagi pandangan atas perkara ini. Saya anggap ini sebagai perbincangan antara dua individu...agak sihat kalau ada perbezaan pendapat tapi macam mana pun akhirnya saya kena bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Dan kebanyakan perkara ini saya bawa dalam Kabinet dan Kabinet akan putuskan perkara ini.

SOALAN: Datuk Seri, saya nak beralih kepada soal 1MDB. Ada pihak-pihak yang mendakwa urus niaga 1MDB dengan didalangi beberapa personaliti tertentu amatlah meragukan sekali. Apa komen Datuk Seri?

NAJIB: Saya nak jelaskan bahawa 1MDB merupakan sebuah badan yang kita sifatkan sebuah investment company. Bermula dengan capital hanya RM1 juta saja berbanding dengan PNB, Khazanah dan badan-badan lain kita beri macam-macam suntikan modal. Tapi untuk 1MDB cuma RM1 juta saja.

Bila 1MDB nak kembangkan perniagaan, dia terpaksa meminjam tapi aset-aset yang telah pun diperoleh oleh 1MDB melebihi liabiliti. Ini saya nak tekankan... melebihi liabiliti. Kita perlu beri lebih masa kepada 1MDB untuk membangunkan atau mencairkan aset-aset ini supaya dia dapat melunaskan hutang-hutangnya. Kita boleh pertikai business model, saya sedia dengar pandangan-pandangan berbeza tapi apa saya nak tegaskan di sini, saya tak condone, tak boleh terima kalau ada apa-apa salah guna kuasa dalam 1MDB. Misalnya duit dilesapkan...dan sebagainya.

Sebab itu bila Deloitte sebagai auditor telah sahkan auditnya, saya masih tak puas hati. Saya dah bawa cadangan dalam Kabinet supaya Ketua Audit Negara menyemak balik secara terperinci. Dan setelah Ketua Audit Negara menyemak, saya minta PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) teliti pula. Dalam PAC ada pembangkang, mereka boleh bincang laporan audit.

Apa saya nak katakan, biarlah proses ini berjalan...bagi tempoh. Sebab kalau kita dakwa, ada banyak beza kalau kata duit dilesap atau pinjam, rizab. Saya juga minta Ketua Audit sahkan adakah tidak duit 1MDB diguna untuk buat filem umpamanya. Saya nak tahu dan ini antara perkara-perkara yang mesti ditentukan laporan ketua audit dan mesti disahkan atau sebaliknya oleh PAC.

SOALAN: Adakah Datuk Seri pohon pengurusaan 1MDB agar lebih transparent dalam urus niaga akan datang supaya rakyat dapat maklumat secukupnya?

NAJIB: Ya, begitulah dengan penyusunan semula pengurusan 1MDB saya harap sedemikian. Begitu juga kita umumkan program rationalisation...kita sekarang dalam langkah pelaksanaan rationalisation 1MDB. Kita perlu tempoh masa sikit tetapi pelannya sudah disediakan dan kita dalam peringkat pelaksanaan.

SOALAN: Tadi Datuk Seri sebut pembikinan filem yang dituduh daripada 1MDB. Kenapa Datuk Seri bangkitkan soal pembikinan itu. Apa implikasinya?

NAJIB: Sebab ada dakwaan-dakwaan sedemikian. Saya tidak mahu mempertahankan apa-apa sebab ia melibatkan ahli keluarga tapi saya nak Ketua Audit mengesahkan perkara ini.

SOALAN: Saya nak beralih kepada Akta Hasutan. Pada satu ketika dahulu Datuk Seri sendiri menyatakan kemungkinan Akta Hasutan ini akan dikaji semula. Tapi baru-baru ini keputusan telah dibuat bahawa Akta Hasutan akan kekal. Jadi banyak pihak yang mengkritik Datuk Seri atas keputusan yang berubah-ubah ini. Apa komen Datuk Seri?

NAJIB: Sebenarnya bila saya kata Akta Hasutan akan dikaji semula ia tidak bererti bahawa peruntukan-peruntukan yang menjadikan sesuatu bentuk dakwaan yang boleh disifatkan sebagai hasutan tidak kita masukkan dalam akta baharu. Cuma nama Akta Hasutan, Sedition Act itu boleh dianggap sebagai controversial sebab asal usul 'sedition' itu dikaitkan dengan peristiwa-peristiwa yang dahulu. Jadi kita nak melihat dalam sudut lebih positif. Ia misalnya air dalam gelas. Separuh kosong kah separuh penuh. Itu sahaja. Tapi saya sedar dalam negara kita ini negara yang berbilang kaum dan berbilang agama kita mesti ada undang-undang yang menyekat dan membanteras sesiapa yang boleh membuat dakwaan, kenyataan dan apa-apa berita dalam majalah, tulisan dan sebagainya yang boleh menghasut rakyat, membenci rakyat, sehinggakan timbul rusuhan. Perbalahan dan rusuhan.

Dan ini mempertahankan semua kaum, semua kepercayaan bukan sahaja orang Islam, orang Melayu tetapi yang bukan Islam, yang bukan Melayu juga dipertahankan. Supaya negara kita ini aman. Kalau kita tidak sentuh soal agama, tidak menghina agama orang lain, tidak menidakkan soal kewarganegaraan orang lain, tidak mengatakan orang itu pendatang dan sebagainya, amanlah negara kita.

Ini tidak bererti bahawa kita tidak boleh mengkritik kerajaan. Sebab dalam pindaan akta ini kita kata peruntukan mengkritik kerajaan itu kita mansuhkan. Kalau dulu misalnya kita boleh dakwa mana-mana pihak yang mengkritik kerajaan sebab ada peruntukan dalam Sedition Act yang sedia ada. Kita dalam pindaan Sedition Act kita mansuhkan. Mereka boleh kritik kerajaan. Tetapi kritik kerajaan bukan bererti mereka boleh menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui tunjuk perasaan umpamanya. Itu salah. Tapi kalau dia kata tukar kerajaan waktu pilihan raya itu tidak salah.

Jadi inilah yang nak diamalkan dalam negara kita bahawa sistem demokrasi yang sihat dan bertanggungjawab. Sebab saya sebagai perdana menteri, tanggungjawab saya adalah menjaga keamaman dan keselamatan negara kita. Kalau tiada keamanan, keselamatan negara, tiada apa guna bagi kita semua.

SOALAN: Ada juga kalangan parti pembangkang yang beranggapan bahawa Akta Hasutan ini sebenarnya ialah untuk memerangkap mereka. Adakah ini benar?

NAJIB: Tidak benar. Mereka pembangkang mereka boleh kata, mereka boleh kritik kerajaan, mereka boleh kata kerajaan tidak bagus, mahu tukar kerajaan waktu pilihan raya, mereka boleh kata. Tentu sekali ini amalan demokorasi. Yang kita tidak mahu kalau mereka mengeksploit soal-soal agama, soal-soal kaum yang menghasut rakyat. Kalau mereka menghasut rakyat, rakyat marah, timbul perbalahan, kesudahannya berlaku rusuhan kaum, antara agama dan sebagainya. Siapa yang akan menderita? Rakyat yang akan menderita. Negara rosak. Jadi inilah yang kita mahu elakkan.

SOALAN: Akta Hasutan mungkin terguna pakai untuk masalah yang wujud di dalam negara. Tetapi sekarang ini muncul pula ancaman terbaharu kepada negara iaitu ancaman pengikut-pengikut IS. Jadi bagaimanakah Datuk Seri melihat kerajaan akan menangani perkara ini daripada berlarutan?

NAJIB: Itu sebab kita memperkenalkan akta baharu ini. Supaya kita boleh bertindak dengan kekuasaan baharu. Tetapi ia dikhususkan kepada soal violence extremism. Pengganas-pengganas menggunakan kekerasan, bakal menggunakan kekerasan. Saya tahu yang dipertikaikan ia merupakan preventive detention, ada element preventive detention. Tetapi ia tidak boleh disamakan dengan ISA sebab kuasa menahan ini kuasa badan khas yang terdiri daripada mungkin hakim atau bekas hakim, orang yang ada kredibiliti. Bukan kuasa yang diberikan kepada badan eksekutif.

Jadi kalau kita nak tahan orang pun, kita mesti memberi bukti yang boleh meyakinkan badan khas ini dan mereka boleh membuat keputusan. Kalau kita tunggu sesuatu kejadian berlaku, katalah sebuah bom telah diletupkan, tentu kesan yang cukup dahsyat, implikasinya cukup buruk. Jadi sebelum sesuatu itu berlaku, kita ambil tindakan di bawah akta yang baharu ini tetapi kita mesti ada bukti yang cukup. Misalnya kita sudah tahu dia sudah ada bom, nak buat bom, tunggu masa sahaja nak bergerak, nak bertindak, masa itu kita boleh ambil tindakan di bawah akta yang baharu.

SOALAN: Dalam Datuk Seri menangani isu-isu panas kebelakangan ini, banyak yang menyentuh kerajaan, mengkritik kerajaan dan sebagainya. Bagaimanakah sokongan daripada anggota Kabinet dan juga parti komponen Barisan Nasional dan UMNO sendiri?

NAJIB: Alhamdulillah setakat ini sokongannya sangat baik. Banyak pihak telah membuat kenyataan secara terbuka dari kalangan anggota Kabinet, parti-parti komponen, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Yang Berhormat dan sebagainya. Yang sebelum tadi, yang petang tadi Wanita UMNO buat kenyataan dan sebagainya. Jadi saya melihat parti ada bersama-sama saya, di belakang saya untuk terus memimpin parti dan negara. Tapi seperti mana yang saya kata, bahawa saya boleh menerima kritikan. Tetapi kesudahannya saya bukan bertanggungjawab kepada mana-mana individu, saya bertanggungjawab untuk rakyat Malaysia dan parti.

SOALAN: Bagaimana pula dengan pandangan Tun Dr Mahathir yang mengatakan bahawa sekiranya Datuk Seri terus memimpin negara, UMNO dan Barisan Nasional akan tewas pada pilihan raya umum akan datang.

NAJIB: Itu pendapat peribadi Tun Dr Mahathir. Apa yang kita dalam parti merasakan, bahawa soal kejayaan kepada UMNO dan BN bergantung kepada kekuatan kita. Kekuatan kita hanya akan menjadi suatu kejayaan kalau kita padu dalam parti. Kalau kita padu dan tidak bercanggah sesama kita, tiada unsur-unsur sabotaj dan sebagainya, saya yakin kita boleh menang dalam PRU ke-14 yang akan datang.

SOALAN: Tapi kritikan-kritikan ini nampaknya berterusan Datuk Seri. Bagaimana Datuk Seri keep on moving forward dengan kritikan-kritikan yang tidak pernah sunyi ini dan mungkin tidak akan berakhir?

NAJIB: Kritikan pada kali ini lebih daripada biasa. Lebih sengit daripada biasa, tapi saya kena terimalah ini asam garam politk yang mana bukan semua keadaan, wujud keadaan yang tenang dan selesa sepanjang masa. Sebaliknya kritikan ini saya terima walaupun pedih. Tetapi pokok pangkalnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Selagi rakyat dan parti memberi mandat kepada saya, meletakkan amanah, saya tetap akan teruskan kepimpinan negara dan parti.

SOALAN: Ada juga kalangan berpendapat perkara yang dibuat nampak jelas oleh kerajaan ialah dari segi pemberian BRIM. Itu nampak ada kalangan yang berpendapat sebenarnya tidak ada perkara projek-projek lain yang benar-benar bagi manfaat kepada kepada rakyat. Adakah dakwaan ini benar?

NAJIB: Tidak. Kalau kita lihat pencapaian negara kita pertamanya kita mulakan dengan data-data mikro misalnya kalau kita lihat kadar pertumbuhan tahun sudah, kita capai kadar pertumbuhan enam peratus, antara yang tertinggi di Asia Tenggara.

Kedua, kalau kita lihat dari segi pertambahan kekayaan GNI sejak 2009 sampai 2014 bertambah 47 peratus. Itu merupakan satu kadar peningkatan GNI yang begitu tinggi. Kadar apa nama, kemiskinan misalnya, sekarang ini tahapnya satu peratus sahaja.

Kita telah mewujudkan 1.5 juta pekerjaan misalnya dan kita telah beri peluang untuk ramai pihak mencapai kelulusan dan dah menjadi middle class dan sebagainya dan kalau kita lihat dari segi on the ground dan keadaan sebenarnya, bekalan api, elektrik, jalan asas terutama sekali untuk Sabah dan Sarawak, banyak yang telah kita tunaikan dan program-program yang kita jalankan misalnya di bawah 1Azam, latihan-latihan keusahawanan, bantuan kepada SME (perusahaan kecil dan sederhana) dan sebagainya untuk peniaga-peniaga dan sebagainya.

Banyak yang telah kita lakukan. Ini semua kita telah rakamkan dalam buku-buku, yang telah kita maktubkan dalam risalah-risalah dan sebagainya, dalam surat khabar. Jadi nak kata kita tak buat banyak itu, tidak benar.

Sebenarnya kita dah buat terlalu banyak termasuk projek seperti MRT dan sebagainya. Yang terbaharu saya melancarkan Pan Borneo Highway yang ditunggu-tunggu 50 tahun oleh rakyat Sarawak. Hari ini mula pelaksanaannya.

Jadi kalau kita lihat segala-galanya kita boleh tengok di Malaysia ini memang banyak perubahan dilakukan.

SOALAN: Projek perumahan rakyat?

NAJIB: Banyak ya, termasuk projek perumahan rakyat. Semalam saya lancarkan projek perumahan untuk penjawat-penjawat awam. 1,500 penjawat awam akan menerima rumah mampu dimiliki oleh mereka.

Kita dah janji nak buat satu juta rumah mampu dimiliki dalam tempoh lima tahun. Jadi ini semua komitmen kerajaan yang kita sedang laksanakan.

SOALAN: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan kerja-kerja untuk membangunkan semula kediaman mangsa-mangsa banjir di Kelantan?

NAJIB: Setakat ini saya fikir banyak yang boleh kita lakukan lagi. Saya tidak begitu puas hati sebenarnya. Saya ingat, saya rasa perlu lagi ditingkatkan.

Saya harap kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri inilah dapat diperkukuhkan lagi terutama sekali nak beri tanah. Sebab tanah di bawah kerajaan negeri. Kalau kita ada tanah, peruntukan kewangan dah bersedia, dan kita boleh serahkan untuk dibina rumah-rumah baharu.

SOALAN: Kita dapati tahun ini tahun ke-6 Datuk Seri sebagai PM, apakah agaknya perancangan Datuk Seri seterusnya, the way forward for Malaysia?

NAJIB: Langkah ke hadapan, the way forward kita telah jelaskan dan paparkan kepada rakyat. Sampai kepada tahun 2020 ini kita nak Malaysia menjelma sebagai advanced economy, sebagai negara maju. Dalam pada itu, kita tahu bila kita isytihar Malaysia sebagai negara maju, Insya-Allah, bukan semua rakyat akan merasakan mereka sebahagian daripada ekonomi maju sebab kita gunakan penilaian atau kriteria average income. Ada yang merasakan kedudukan mereka tidak begitu besar perubahannya. Tambah-tambah lagi kalau harga komoditi getah masih pada paras rendah, harga sawit dan sebagainya. Kelompok ini kita perlu lihat bagaimana kita boleh beri tumpuan untuk meningkatkan pendapatan mereka. Saya akan melihat pada Rancangan Malaysia ke-11, apa yang boleh kita masukkan sebagai program-program tambahan, misalnya latihan kemahiran, latihan teknikal, keusahawanan. Ini kita mesti beri tumpuan sebab boleh beri perubahan besar kepada pendapatan rakyat. Selepas tahun 2020 kita akan lihat semula. Tapi our immediate goal dalam masa terdekat ini, dalam masa lima tahun akan datang semestinya untuk jayakan wawasan negara.

SOALAN: Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan langkah yang kita ambil agar idea Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir itu terus kita capai?

NAJIB: Saya yakin kalau kadar pertumbuhan dapat kita pastikan dalam lingkungan lima peratus setahun. Kalau kita lihat dari segi per kapita income, Insya-Allah boleh kita dimartabatkan sebuah negara maju Insya-Allah menjelang 2020. Tetapi saya juga sedar bahawa ini average income. Kita mesti sedar ada kelompok yang mana pendapatan bawah average yang merasakan mungkin kedudukan mereka tidak sebahagian daripada negara maju. Inilah yang mesti kita beri tumpuan, supaya pendapatan kelompok yang bawah 40 peratus average ini mesti kita beri tumpuan yang lebih.

SOALAN: Ada juga pihak yang berpendapat kritikan-kritikan yang datang daripada pihak, terutama sekali daripada Tun Dr Mahathir tidak akan berhenti. Bagaimana Datuk Seri bercadang menangani perkara-perkara ini dalam perjalanan kita menuju Wawasan 2020. Adakah ia memberi kesan kepada Datuk Seri sebagai pemimpin negara?

NAJIB: Saya merasakan bahawa apa yang patut saya lakukan adalah teruskan sikap saya. Maknanya saya terbuka. Setiap kritikan itu saya pertimbang dan saya lihat kalau ada apa-apa kekurangan dalam pentadbiran saya. Saya tak pernah kata bahawa saya tak buat kesilapan. Saya akui bahawa setiap manusia itu bukanlah perfect. Tak ada manusia yang tak buat kesilapan. Jadi maknanya saya bersedia dan serius lakukan penambahbaikan. Tetapi kalaulah saya merasakan bahawa apa yang saya lakukan itu dapat sokongan parti dan rakyat maka saya akan teruskan dasar-dasar saya dan keputusan saya. Sebab pada hakikatnya, penentuan hala tuju negara ini bukanlah ditentukan oleh mana-mana individu, tapi ditentukan rakyat dan parti.

SOALAN: Jadi, kedudukan Datuk Seri sebagai pemimpin parti, ditentukan oleh ahli-ahli parti sendiri?

NAJIB: Ahli parti dan kesudahan pada rakyat. Dia ada dua proses. Maknanya antara pilihan raya, parti akan tentukan. Tetapi waktu pilihan raya, rakyat akan membuat kata putus.

SOALAN: Saya nak tanya Datuk Seri, bagaimana Datuk Seri membahagikan masa dari segi weightage, wajaran antara hal-hal keluarga, dengan hal-hal negara. Bagaimana Datuk Seri mengimbangi perkara ini?

NAJIB: Setiap individu ada caranya. Tetapi bila sudah jadi Perdana Menteri ini, masa untuk keluarga dan masa untuk diri sendiri, orang kata private time itu memang amat terbatas. Tetapi saya cubalah untuk mengimbangi antara kerja-kerja untuk parti, untuk rakyat, untuk kerajaan. Di samping itu kalau ada masa terluang, saya cuba bersama-sama dengan keluarga, dan juga membuat latihan riadah umpamanya, exercise itu mustahak. Dan kewajipan kita kepada Allah kita mesti tunaikan.

SOALAN: Pada pandangan Datuk Seri, apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada perpecahan dan kejatuhan sama ada dari segi parti atau sesuatu kerajaan?

NAJIB: Kalau berlaku sesuatu krisis dalaman parti, kalau ada parti itu berpecah misalnya kepada dua tiga kumpulan dan kita hilang kepercayaan sepenuhnya kepada kepimpinan negara dan parti, maka parti akan lemah. Bila parti lemah dari dalam, parti boleh tewas. Saya selalu mengingatkan ahli-ahli parti bahawa tak mungkin parti kalah kerana ancaman asakan dari luar tetapi parti boleh kalah kerana perpecahan dari dalam.

SOALAN: Bagaimana pula peringkat negara, untuk keseluruhan rakyat Malaysia?

NAJIB: Saya kena hadapi. Zaman sekarang zaman persepsi sebenarnya, bukan realiti. Dengan pengaruh sosial media yang begitu berleluasa hari ini. Zaman Tun Mahathir tak ada sosial media. Zaman sekarang ini sosial media berperanan besar. Jadi inilah satu yang terpaksa kita buat pengubahsuaian dari segi pendekatan supaya menangani persepsi. Persepsi ini jika tidak ditangani boleh menjadi realiti. Inilah mungkin cabaran paling besar bagi saya dan rakan-rakan saya ialah untuk menangani persepsi.

SOALAN: Kita semua tahu bahawa keluarga Datuk Seri, daripada Allayarham Tun Abdul Razak mempunyai perhubungan cukup erat dengan Tun Dr Mahathir. Ini pertalian yang cukup lama. Walaupun dengan kritikan daripada Tun Dr Mahathir, bagaimanakah Datuk Seri melihat Tun Dr Mahathir. Adakah pandangan Datuk Seri sudah berubah? Kalau dulu Datuk Seri melihat beliau seperti seorang bapa, dan Datuk Seri sendiri merupakan anak didik beliau. Adakah pandangan seumpama itu sudah berubah kerana timbul kritikan terbaharu Dr Mahathir.

NAJIB: Saya akan tidak apa-apa dengan kritikan Tun Mahathir. Tetapi saya ingin menyatakan bahawa, hakikatnya saya bertanggungjawab kepada rakyat dan parti. Sama ada hubungan kita ini macam dulu atau tidak, masa akan tentukan. Tapi bagi saya, saya beriltizam untuk menyerahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti. Bukan bererti saya tak hormat mana-mana individu. Tapi itu soal individu. Dari segi hakikatnya saya mesti serahkan kedudukan saya kepada rakyat dan parti.

SOALAN: Apakah hasrat Datuk Seri kepada ahli-ahli parti dan rakyat keseluruhan supaya kita dapat keluar daripada kemelut ini dan bawa ke tahap lebih baik?

NAJIB: Pada saya kita mesti lihat yang pentingnya apa? Pada saya yang pentingnya the big picture. Yang penting adalah soal masa depan kita, hala tuju kita. Kita jangan benarkan sesuatu isu yang digembar-gemburkan seolah-olah negara kita ini ekonominya sudah hancur, atau pun kita sudah bermasalah sampai tidak boleh ditangani. Itu tidak benar sama sekali. Kita mesti yakin kita menuju hala tuju yang benar dan positif. Dan dalam pada itu kalau ada kelemahan kita perbaiki, kita perbetulkan. Mana-mana kerajaan di dunia pun tak ada yang perfect, mesti ada kelemahan. Zaman Tun Dr Mahathir pun tak perfect juga, zaman saya pun tak perfect. Tetapi kita mesti sedar bahawa kita ini mempunyai sikap yang terbuka, kita betulkan keadaan, supaya hari esok lebih baik daripada hari ini.

SOALAN: Apakah harapan Datuk Seri yang seterusnya, sebagai yang terakhir?

NAJIB: Harapan saya rakyat akan terus bersama-sama dengan kerajaan yang ada sekarang ini. Mungkin tak semua, tapi biar sebahagian besar. Sebab kita mewarisi sebuah negara yang mempunyai masa depan yang begitu cerah sekali. Mana-mana luar negara yang saya pergi, mereka melihat Malaysia sebagai sebuah negara contoh, model. Janganlah kita mempolitikkan keadaaan ini terlalu sangat sehinggakan menghancurkan kepentingan negara. Politik tidak boleh mengatasi kepentingan negara. Kalau semua rakyat sedar, Insya-Allah kita punyai masa depan yang begitu baik sekali. Kita boleh berbeza pendapat, tak jadi masalah, asalkan kita gunakan cara yang baik, cara berhemah, cara penuh bertanggungjawab. Masa depan Malaysia, Insya-Allah tetap terjamin.

-- BERNAMA


(sumber ambilan transkrip wawancara: klik di sini)

No comments: