SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, June 9, 2010

TANJUNG RAMBUTAN MASIH SIUMAN (THE IMAGE OF MAD PATIENT CENTRE)

Sebut sahaja Tanjung Rambutan, satu Malaya kenal. Dalam filem-filem lama, Tanjung Rambutan selalu sahaja disebut. Misalnya, satu dialog dalam filem "Tiga Abdul": Afghanistan, Turkistan, gohed gostan (go head goes turn), Tanjung Rambutan...
Perkara pertama yang biasanya terlintas dalam fikiran orang ramai apabila disebut Tanjung Rambutan ialah kes sakit mental, atau dalam bahasa kasarnya orang gila. Seolah-olah Tanjung Rambutan ialah petempatan golongan berkenaan, sama seperti imej Sungai Buloh yang menempatkan pusat pemulihan pesakit kusta. Populariti Tanjung Rambutan mengatasi Tampoi, Johor dan Bukit Padang, Sabah yang juga memiliki hospital khas rawatan mental.
Memang Hospital Bahagia terletak di Tanjung Rambutan. Pakar sakit jiwa (psikatri) terbaik negara ditempatkan di situ. Pesakit mental yang dirujuk oleh hospital umum, dirujuk oleh keluarga dan diperintah oleh hakim mahkamah akan menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, Hospital Permai, Tampoi, atau Hospital Bukit Padang, Kota Kinabalu.
Namun, Tanjung Rambutan bukanlah semata-mata Hospital Bahagia. Tanjung Rambutan ialah sebuah pekan kecil yang kian maju, serta menerima tempias aktiviti ekonomi dan pembangunan hartanah bandar raya Ipoh yang jaraknya kira-kira 20 kilometer. Pendek kata, Tanjung Rambutan bakal muncul sebagai bandar satelit kepada Ipoh suatu hari nanti.
Penduduk setempat telah sekian lama menikmati kemudahan, serta prasaranan fizikal yang disediakan. Balai polis, balai raya, bank, pejabat pos dan masjid jamek menjadi tumpuan urusan kemasyarakatan. Kompleks Tenaga Nasional turut tersergam megah di Tanjung Rambutan.

Tapak pasar malam lama Tanjung Rambutan, bersebelahan stesen minyak Petronas telah dimajukan sebagai kawasan perniagaan yang canggih. Walaupun pasaran hartanah dan perniagaan runcitan terdedah kepada risiko turun naik urus niaganya, strategi tertentu mungkin telah dibuat dalam pelan induk pembangunan Tanjung Rambutan. Pengkhususan dalam aktiviti ekonomi yang tertentu mungkin dapat menarik perhatian pelabur dan usahawan bagi menjana pulangan yang tinggi.
Pengunjung yang melewati pekan Tanjung Rambutan menuju Chemor akan berpeluang melihat ladang ternakan kuda di sebelah kanan. Mungkin selepas ini, kos penjagaan kuda akan lebih rendah, serta dapat membantu kemajuan sukan ekuestrian. Imej perjudian lumba kuda akan dilenyapkan secara perlahan-lahan.
Tanjung Rambutan juga berkongsi aliran Sungai Kinta yang panjang bangat. Malah, kawasan sukatan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran terdapat di sini. Walaupun Lembah Kinta jarang-jarang dilanda banjir, persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana tetap perlu diberi keutamaan.
Bersebelahan Hospital Bahagia ialah landasan dan stesen kereta api. Disebabkan perkhidmatan kereta api di sini kurang aktif, ia telah bertukar menjadi medan selera mini.  Mengapa tiada idea lain yang lebih kreatif?
Kanak-kanak boleh mempelajari sistem perkhidmatan kereta api tradisional. Mereka boleh mengenal portal master, dan teknologi pemisahan dan pencantuman landasan. Mungkin pusat simulasi kereta api boleh dibuka di sini.
Tanjung Rambutan tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan dan pembinaan modal insan minda kelas pertama. Di samping sekolah bantuan penuh kerajaan, sekolah bantuan modal, dan sekolah persendirian, terdapat sebuah kolej pembantu hospital di sini. Setelah membaca catatan ini, imej Tanjung Rambutan di minda anda mungkin berubah...

2 comments:

Nur said...

salam,mohon share pic2 dlm blog ni boleh?nak letak dlm FB Tg Rambutan:)

penulis blog said...

salam

o k, hanya nyatakan sumber ambilan