(2)
Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuatnya lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri
Langkawi tidak sebegini i.
Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.
Pendapat yang mengatakan Mahsuri tidak pernah wujud (dalam dunia sebenar) mendakwa bahawa Mahsuri bermula dengan khayalan seorang seniman. Dalam konteks sastera lama yang berteraskan sumber lisan, dongeng atau mitos (myth) dan legenda, perkara seperti itu tidaklah pelik. Teknologi media cetak dan elektronik belum dimajukan sebagai saluran pelarian tekanan kerja, atau hiburan santai.
Pendapat yang mengatakan Mahsuri pernah hidup pula mendakwa cerita tentang Mahsuri telah dilebih-lebihkan oleh bahasa seorang pencerita. Dalam kata lain, gambaran tentang kehidupan Mahsuri dibuat secara berlebihan oleh seniman atau ahli sastera lama. Namun, gambaran berlebihan demikianlah yang menjadikan Langkawi begitu masyhur dan dikenali.
Dua baris akhir sajak merupakan kesimpulan kepada kedua-dua bahagian. Kisah legenda Mahsuri menjadikan Langkawi begitu besar. Keadaan itu menunjukkan bahawa medium sastera juga mampu menjadikan negara juga besar.
1 Nyatakan tiga perkara tentang Mahsuri yang menghidupkan Langkawi? (2 markah)
Mahsuri menghidupkan Langkawi menerusi rambut, air mata dan darah putihnya.
2 Apakah hujah orang yang berpendapat bahawa Mahsuri tidak pernah wujud? (2 markah)
Orang yang berpendapat Mahsuri tidak pernah wujud berhujah bahawa Mahsuri hanyalah bermula dengan khayalan seorang
seniman.
3 Apakah kesan bahasa seorang pencerita terhadap kisah Mahsuri? (2 markah)
Bahasa seorang pencerita telah membuatkan gambaran hidup Mahsuri melebihi kehidupannya, dan kisah Mahsuri membuatkan
Langkawi begitu bererti.
Soalan Aras KBKK
4 Selain kisah penceritaan sastera, bagaimanakah sesuatu tempat boleh menjadi tarikan pelancong mengikut pendapat anda? (3 markah)
Pada pendapat saya, selain kisah penceritaan sastera, sesuatu tempat boleh menjadi tarikan pelancong jika memiliki pemandangan yang indah, kekayaan flora dan fauna, serta banyak kemudahan penginapan dan keperluan yang lain.
5 Jelaskan dua cara sastera boleh menyumbang terhadap pembangunan negara? (3 markah)
Pada pendapat saya, sastera boleh menyumbang terhadap pembangunan negara dengan menerapkan jati diri dalam kalangan rakyat supaya cinta akan negara, serta memupuk kehalusan budi supaya kehidupan bermasyarakat menjadi rukun damai.
Soalan Aras Komsas
6 Huraikan dua persoalan daripada sajak di atas. (4 markah)
Persoalan pertama sajak ialah pengaruh cerita silam terhadap kemajuan pelancongan. Pulau Langkawi menjadi masyhur disebabkan kisah Mahsuri. Persoalan kedua ialah peranan sastera terhadap pembangunan negara. Karya sastera telah membesarkan negara, iaitu mempromosi nama baik negara.
1 comment:
terima kasih cikgu
Post a Comment