Hayati setiap baris gurindam 12 fasal yang keenam terlebih dahulu:
Cahari olehmu akan sahabat,
Yang boleh dijadikan ubat.
Cahari olehmu akan guru,
Yang boleh tahukan setiap seteru.
Cahari olehmu akan isteri,
Yang boleh menyerahkan diri.
Cahari olehmu akan kawan,
Pilih segala orang setiawan.
Isteri yang boleh menyerahkan diri ialah isteri yang solehah. Calon isteri yang dicari hendaklah wanita yang dapat menjadi teman hidup yang taat kepada perintah Allah dan Rasul, serta taat kepada suami. Menyerah diri bukanlah bererti menjadi hamba atau orang suruhan sang suami, sebaliknya bersedia melepaskan cara hidup silam semasa masih bujang atau dalam kawalan keluarga sendiri.
Seorang isteri yang menyerahkan diri sentiasa menyedari peranan dan tanggungjawab baharu yang dipikul, iaitu "rakan kongsi" rumah tangga, dan sebagai bakal ibu yang berkesan walaupun mungkin memiliki kerjaya sendiri. Cara mencari isteri yang menyerahkan diri boleh dibuat menerusi bantuan kaum keluarga, organisasi dan rakan yang layak dipercayai. Jika masih berbelah bahagi, si lelaki bolehlah solat istikharah bagi mendapatkan petunjuk Ilahi.
Kawan perlu dipilih dalam kalangan yang bersifat setiawan (setia kawan). Beza kawan dengan sahabat ialah dari segi bilangan dan keakraban hubungan. Kawan boleh jadi ditemui dalam persekitaran organisasi seperti di sekolah, tempat kerja dan urusan perniagaan.
Walaupun bilangan kawan jauh lebih banyak daripada sahabat, serta mungkin tidak serapat sahabat, pemilihannya tetap perlu dihalusi. Kawan yang setiawan tidak akan bermuka-muka, atau menikam rakan daripada belakang. Sebaliknya, kawan yang setiawan akan menjaga kerahsiaan kita walaupun dia atau mereka berpeluang untuk melakukan perkara yang sebaliknya...
Soalan petikan
i. Nyatakan orang-orang yang disarankan oleh pemuisi untuk dicari. (2 markah)
ii. Berikan ciri dua orang yang perlu dicari menurut saranan pemuisi. (2 markah)
Soalan KBKK
iii. Pada pendapat anda, mengapakah sahabat yang boleh menjadi ubat perlu dicari? (3 markah)
iv. Cadangkan dua cara bagi mencari kawan yang setiawan. (3 markah)
Soalan Komsas
v. Huraikan dua persoalan dalam gurindam di atas. (3 markah)
vi. Jelaskan dua nilai daripada gurindam. (3 markah)
No comments:
Post a Comment