Persekitaran SMI sendiri tambah berseri. Beberapa batang pokok di kawasan letak kereta guru telah ditebang oleh pihak Dewan Bandaraya Ipoh bagi mewujudkan suasana yang lebih bercahaya dan terang-benderang. Pasu bunga dan tiang juga dicat semula.
Tapak perhimpunan juga berubah wajah. Esok, tetamu dari seluruh negeri Perak akan memenuhi ruang yang disediakan dari awal pagi hinggalah sejam sebelum solat Jumaat. Masjid India yang berjiran dengan SMI mungkin sekali menerima pertambahan bilangan jemaah.
Pentas utama di hadapan tapak perhimpunan telah dihias dengan cantik sekali. Pelancaran bakal dilakukan oleh Tan Sri Lee Lam Thye, yang juga bekas pelajar SMI dekad 1960-an. Sudah tentu beliau akan mengimbau kenangan silam ketika berdiri bersama-sama rakan lain di tapak perhimpunan yang sama ketika itu.
Gelanggang badminton bersebelahan bilik guru, dewan dan kompleks bilik darjah bertukar menjadi ruang jamuan tetamu utama (VIP). SMI mendapat promosi percuma atas kehadiran sejumlah penjawat tinggi awam dan pertubuhan bukan kerajaan. Promosi sedemikian tidak terhingga nilainya, serta kesannya bersifat jangka panjang, malah tidak dapat dibeli dengan wang ringgit yang berlaksa-laksa.
Kerja-kerja belakang tabir dan berskala kecil yang lain tidak kurang pentingnya. Umpama skru kerdil dalam sebuah jentera raksasa tetap perlu sentiasa dipastikan berkeadaan baik supaya tidak menjejaskan operasi, hal-hal yang zahirnya remeh-temeh tidak seyogia diabaikan. Urusan jamuan murid jemputan yang berjumlah hampir 300 orang juga perlu dirancang supaya pengedaran pek makanan dan pengurusan kebersihan berjalan dengan lancar.
Di samping menyediakan tempat pengedaran pek makanan dan kerusi meja untuk menikmati hidangan itu, sejumlah 15 orang anggota kadet bomba tingkatan 6 telah ditugaskan sebagai pembantu jawatankuasa makanan seksyen pelajar. Mereka akan mengawasi tatacara pengedaran pek makanan dan menyediakan pengurusan kebersihan. Sumbangan mereka sebenarnya begitu bermakna...
No comments:
Post a Comment