SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, October 18, 2010

HAKISAN PANTAI JEJAS ZON EKONOMI EKSKLUSIF (BEACH MEANS BORDER)

Sebagai sebuah negara yang memiliki ukuran pantai yang panjang, Malaysia menguasai sejumlah zon ekonomi eksklusif yang dikira sejauh 200 kilometer dari pantai. Melainkan berlaku pertindihan sempadan atau perairan yang sempit, saiz keluasan tanah daratan akan menjadi berganda untuk kegiatan ekonomi maritim dan sumber laut yang lain. Sepertimana negara lain yang menguasai sejumlah keluasan zon ekonomi eksklusif, masalah hakisan pantai sering menjadi ancaman untuk mengekalkan saiz perairan yang sama sepanjang masa.

Jepun misalnya terpaksa membina sebuah struktur konkrit di sebuah pulau bersaiz sekangkang kera (muat sebuah meja bulat ruang tamu sahaja) demi mengekalkan zon ekonomi eksklusif 200 km yang mengelilingi pulau. Jika pulau itu lenyap, Jepun terpaksa melepaskan kawasan perairan itu untuk dikongsi oleh masyarakat antarabangsa. Selain itu, hakisan yang membedal pantai tanah besar juga sangat membimbangkan negara matahari terbit itu sehingga mereka sanggup berbelanja besar bagi mengelakkan perganjakan walaupun seinci.
Hakisan pantai lebih serius di lautan terbuka di pantai timur Semenanjung dan sepanjang pantai Sabah, serta Sarawak. Pantai Barat yang dipisahkan dengan Sumatera oleh Selat Melaka yang sempit walaupun tidak terkecuali daripada ancaman hakisan ombak, namun tidak seserius pantai timur, Sabah dan Sarawak. Ukuran pantai yang panjang dari Tumpat di Kelantan hingga ke tenggara Johor menyebabkan kos membina penahan ombak, atau benteng pemecah ombak mencecah ratusan bilion ringgit.
Buat sementara, keutamaan terpaksa ditumpukan kepada lokasi risiko tinggi seperti kawasan teluk. Kekuatan hentaman ombak cuba diminimumkan dengan meletakkan beg-beg pasir atau binaan konkrit di kawasan teluk sebagaimana binaan konkrit di lereng bukit di sepanjang lebuh raya. Jika benteng pemecah ombak hendak dibina jauh dari pantai, misalnya dua kilometer, kosnya mencecah hingga RM1 bilion setiap kilometer panjang (contohnya di Teluk Kalong, Kemaman).
Usaha menanam pohon rhu dan kelapa juga tidak menjamin ketahanan struktur pantai di Malaysia yang berpasir, berongga dan mudah jerlus. Hanya beberapa jalur kecil pantai bertebing batu yang lurus tinggi sebagaimana yang dapat dilihat di Pulau Pangkor dan gugusan Langkawi. Pelancong sukan ekstrem mungkin sukakan pantai yang sedemikian.

Jawapan kepada teknologi mengukuhkan struktur pantai perlu diserahkan kepada pakar kaji laut (oceanographer) dan universiti pengkhususan bidang berkenaan, iaitu Universiti Malaysia Terengganu (dahulunya Kustem). Kaedah cuba jaya yang diserahkan kepada firma runding dan kontraktor yang tidak diketahui keupayaannya hanya mengundang pembaziran. Negara memerlukan langkah bersifat jangka panjang supaya ancaman hakisan pantai tidak mengakibatkan kawasan perairan dan zon ekonomi eksklusif yang dimiliki terus susut...

bersambung...

No comments: