Petikan drama karya A. Rahim Abdullah ini dimuatkan dalam antologi "Harga Remaja", teks pembelajaran komponen sastera (komsas) tingkatan 4 mulai tahun 2010, muka surat 243 hingga 260. Hanya lima orang watak digunakan iaitu:
1 Cempaka: gadis Inggeris, anak angkat Mak Jah, didakwa Prof. Peter sebagai adiknya
2 Mak Jah: ibu Zaman, ibu angkat Cempaka
3 Malek: pemuda kampung yang tidak berpelajaran, digunakan oleh Prof. Peter
4 Prof Peter: pensyarah antropologi dan sosiologi (universiti tempat Zaman belajar)
memandang rendah orang bukan kulit putih, cuba merampas Cempaka
5 Zaman: anak Mak Jah, tegas mempertahankan maruah keluarga
Latar tempat: kampung (rumah Mak Jah), pinggir belukar (tempat Peter menembak Cempaka)
Latar masa: 1960-an; pagi (Prof Peter muncul pertama kali di rumah Mak Jah); petang (perang mulut Zaman dengan Prof Peter)
Sinopsis petikan drama:
Babak 1
Kemunculan Prof Peter secara tiba-tiba di rumah Mak Jah menimbulkan rasa cemas, lalu Cempaka disuruh bersembunyi. Tanpa rasa hormat, Prof Peter menelek-nelek rumah Mak Jah, terutama gambar Cempaka. Sambil itu, dia juga cuba menggambarkan Zaman sebagai seorang mahasiswa yang degil.
Babak 2
Ketika Cempaka dan Zaman hendak mendapatkan setangkai kenanga dan mencari akar kayu tumbang untuk diukir menjadi bonsai, muncul Prof Peter menyandang senapang, diiringi oleh Malek, pemuda suruhannya. Apabila Mak Jah tiba, Peter menuduhnya mencuri Cempaka semasa Jepun berkuasa. Pertengkaran tercetus dengan dahsyatnya. Zaman mengacu-acukan parang, lalu Peter menghalakan senapang ke arah Cempaka. Setelah Cempaka tertembak, Peter lari ke dalam hutan, lalu dikejar oleh Zaman. Kemudian terdengar das tembakan, tetapi Zaman yang terselamat. Cempaka masih tidak sedarkan diri.
Contoh Petikan dan Tugasan Soalan:
CEMPAKA: Nak buat apa bang dengan akar-akar kayu tumbang itu? Akar-akar itu sudah tidak
berguna lagi.
ZAMAN: Ukiran.
CEMPAKA: Ukiran apa?
ZAMAN: Di Kuala Lumpur sekarang macam-macam barang dapat dijual. Bukan saja ukiran
kayu mati, kayu laut, tunggul buluh, rotan, semuanya laku. Kamu pernah mendengar kata
bonsai tak?
CEMPAKA: Bonsai? Entahlah bang, pelik pula Cempaka mendengarnya.
ZAMAN: Bonsai itu ertinya mengecilkan pohon yang besar. Pohon yang berbunga dimasukkan
ke dalam pasu. Akan tunjang pohon itu dipotong. Oleh sebab itu, pohon itu tak boleh
membesar seperti biasa. Maknanya kita bantutkan pohon itu, supaya tidak tinggi. Pohon itu
akan kerdil sampai beratus-ratus tahun. Lagi lama pohon itu, lagi mahal harganya. Abang
nak mencari pohon-pohon jeliti di tebing sungai sana. Di Kuala Lumpur pohon jeliti itu cukup
laku dan senang dijaga.
CEMPAKA: Abang nak jadi pegawai besar, tetapi masih mahu berniaga juga.
ZAMAN: Kita tak boleh bersikap begitu, kalau nak maju. Ilmu ini abang dapat daripada orang
Jepun itu. Kalau kita tak mahu mengambil peluang, habislah kita. Nanti orang lain yang
dapat. Kita berputih mata atau terbeliak saja melihat orang lain membilang duit. Kita
merdeka bukan bermakna kita tak perlu berusaha. Rezeki tak akan datang bergolek kalau
tak ada usaha. Berniaga ikut sunah Nabi, asalkan benda-benda yang halal.
(Dipetik daripada antologi Harga Remaja,
muka surat 251)
a) Nyatakan cara-cara mengukir pohon bonsai? (2 markah)
b) Pada pendapat anda, mengapakah ukiran pohon bonsai mendapat sambutan
masyarakat? (3 markah)
c) Jelaskan satu perwatakan Zaman dalam petikan dan satu perwatakan Zaman dalam
cerpen. (4 markah)
Soalan lain:
a. Walaupun tanpa bukti kukuh, Prof. Peter terus mendakwa bahawa Cempaka ialah adik
kandungnya. Jika anda ialah Mak Jah, apakah tindakan-tindakan anda untuk
menghalang Peter daripada merampas Cempaka. (3 markah)
b. Sikap bongkak seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Peter sangatlah buruk.
Berikan tiga cara bagi menghadapi orang yang bongkak? (4 markah)
1 comment:
boleh post jawaban
Post a Comment