Bukan tidak ada orang yang mengumpul wang hingga cukup dahulu, kemudian baharulah membeli barang yang dihajati. Namun, bilangan fesyen berfikir cara itu sangatlah kecil, dan boleh disifatkan menanggung risiko kemerosotan nilai wang akibat inflasi. Menabung wang kena ada disiplin dan banyak pula dugaannya.
Contohnya, harga rumah teres dua tingkat kini telah melepasi paras RM200k. Katalah umur 25 tahun mula menabung secara pukul rata RM1,000 sebulan untuk itu. Maka, setahun baharu RM12k, dan hampir 20 tahun baru cukup RM200k.
Usia hampir setengah abad baru terhegeh-hegeh hendak mencari rumah, dan harganya tidak lagi RM200k, tetapi mungkin sudah RM1 juta. Maka, duit yang dikumpul dengan mengikat perut tadi hanya cukup untuk membayar pendahuluan. Kawan-kawan sudah melangsaikan ansuran pinjaman perumahan, tetapi awak masih terus membayar sewa rumah bulanan yang telah dinaikkan lima tahun sekali.
Ringkas cerita, antara hutang yang perlu ditanggung secara bulanan:
1 Pinjaman pengajian tinggi (bank, PTPTN) = RM200
2 Kenderaan = RM700
3 Rumah = RM1,500
4 Pinjaman peribadi = RM700
Jumlah = RM3,100
Kalau tidak dapat menahan sabar, mungkin segala perabot, set televisyen berdefinisi tinggi, telefon bimbit tercanggih dan belanja melancong juga dibuat secara hutang. Di Indonesia, kemudahan pinjaman untuk menunaikan fardu haji juga disediakan. Jika berlaku sesuatu terhadap diri si berhutang, pihak insurans (takaful) mungkin menyambung baki bayaran hingga selesai, setelah segala urusan penjamin dan waris dibereskan.
Tanggungan hutang isi rumah di Malaysia ialah antara yang tertinggi di dunia, iaitu hampir 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Hutang telah menjadi suatu perniagaan besar. Dalam bacaan al-Ma'thurat, terdapat doa moga kita dijauhi beban hutang...
No comments:
Post a Comment