Tuesday, May 17, 2011
PENGUMUMAN GEMBIRA UNTUK GURU? (CONCERNING ON TEACHER'S WELFARE)
Maklum balas terhadap pengumuman kerajaan tentang penambahbaikan skim perkhidmatan keguruan sempena sambutan hari guru nampaknya menjurus kepada kumpulan dua peratus guru yang menyandang jawatan pentadbiran, iaitu pengetua, penolong-penolong kanan, di samping sebilangan guru cemerlang. Perkiraan implikasi kewangan emolumen untuk ganjaran naik pangkat dan kemudahan lain pastilah menjadi sebab bahawa 98 peratus guru kategori lain harus menunggu lagi. Jumlah guru sekolah bantuan kerajaan yang telah melepasi angka 400,000 orang semuanya membentuk kira-kira 30 peratus perjawatan dalam perkhidmatan awam.
Guru-guru yang tidak memegang sebarang jawatan pentadbiran, atau bukan guru cemerlang dikategorikan sebagai guru pengajaran dan pembelajaran (PDP), guru biasa atau guru penolong. Menerusi proses pensiswazahan guru dan kelayakan sarjana muda yang dikeluarkan oleh institut perguruan di seluruh negara, maka tidak lama lagi semua guru akan memiliki kelayakan minimum ijazah asas. Bilangan guru yang memiliki ijazah tinggi, iaitu sarjana dan doktor falsafah juga makin bertambah tahun demi tahun.
Dalam struktur perjawatan awam di Malaysia, selain skim pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dan profesional terpilih, peluang kenaikan pangkat dan gred gaji pegawai memang sangat berbeza. Seseorang PTD mungkin hanya memerlukan 8 tahun perkhidmatan untuk berada pada gred M48, sedangkan guru mungkin perlu menunggu hingga ke hujung perkhidmatan, atau 25 tahun perkhidmatan. Sebilangan PTD boleh mencapai gred gaji Jusa A hingga C apabila diberi tanggungjawab besar di peringkat kementerian atau agensi penting persekutuan dan negeri.
Majoriti guru juga tidak berpeluang menghadiri persidangan atau seminar antarabangsa yang berkaitan dengan bidang tugas mereka. Kalau ada pun, tempat itu akan disambar oleh pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di peringkat kementerian, jabatan atau PPD. Kunjungan ke luar negara pun dengan wang kocek sendiri, itu pun sekadar destinasi perbelanjaan murah seperti Bandung, Beijing dan Makkah.
Guru PDP yang bertaraf pegawai lebih teruk kedudukannya berbanding dengan kumpulan sokongan yang ditempatkan di pejabat sekolah, apatah lagi di peringkat lebih tinggi. Setiap pembantu tadbir dan pembantu guru memiliki meja dan kerusi eksekutif, serta lengkap dengan komputer meja berinternet dan kemudahan alat tulis yang lain. Guru PDP sebaliknya hanya bersesak-sesak dalam bilik guru, berkongsi beberapa unit komputer dan satu unit pencetak.
Pegawai-pegawai di pejabat memiliki ruang kerja sendiri yang tertutup. Tiada siapa yang tahu kaedah memantau pencapaian pegawai-pegawai berkenaan sama ada mereka benar-benar mengoptimumkan waktu pejabat untuk tujuan produktif, atau "menghabiskan beras" pembayar cukai sahaja. Rungutan orang ramai tentang hal itu tidak boleh dipandang ringan.
Guru PDP pula bekerja secara terbuka. Bilik guru bukanlah ruang eksklusif atau kawasan larangan secara menyeluruh. Malah, dinding bilik guru juga digambarkan boleh bercakap, iaitu segala butiran perbualan yang mungkin bertaraf gosip, luahan perasaan dan seumpamanya akan sampai ke pengetahuan pihak atasan menerusi "pengintip sukarela".
Cabaran paling besar ialah menghadapi sejumlah murid yang memiliki akses kepada pelbagai maklumat, bahkan memiliki akses untuk mengenakan guru PDP. Murid ialah pelanggan dan mereka mesti digembirakan sepanjang masa. Guru mesti melaksanakan amalan terbaik PDP dan perlu akur kepada pelbagai arahan, piawaian dan unjuran pihak berkuasa pendidikan pelbagai peringkat.
Pendek kata, guru dikehendaki menggembirakan macam-macam pihak walaupun diri mereka sendiri tidak digembirakan oleh sesiapa. Berabad-abad yang lalu, bapa sosiologi moden, Ibnu Khaldun pernah menulis perihal yang sama tentang kedudukan kaum guru dalam susun lapis masyarakat. Di Malaysia, guru masih dikira bernasib baik kerana dasar pelantikan bukan berasaskan konsep hire and fire seperti di Amerika Syarikat yang mengamalkan disentralisasi sistem pendidikan.
Rakan penulis blog (PB), Cikgu H mengirim mesej pesanan ringkas (SMS): CIKGU = Cerdik Insan Kerana Guru Unggul. Di sebalik segala kesukaran yang dilalui, keihlasan kaum guru akan tetap dihargai. Allah jua yang akan memberi ganjaran yang selayaknya...
SELAMAT HARI GURU!!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment