Subsidi ialah bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan supaya pada akhirnya kebajikan isi rumah dan pengeluar dapat dimaksimumkan apabila wujud keperluan untuk berbuat demikian. Peruntukan subsidi dibiayai menerusi hasil kerajaan, terutama daripada cukai. Dalam kata lain, subsidi ialah satu alat atau instrumen agihan semula kekayaan dalam sesebuah ekonomi dengan harapan bahawa pertumbuhan ekonomi dapat dijana tanpa inflasi, tanpa pengangguran dan dengan imbangan bayaran yang positif.
Kepada isi rumah, subsidi akan dapat menurunkan harga barang dan perkhidmatan, khususnya keluaran firma monopoli, oligopoli dan persaingan bermonopoli yang memiliki kuasa penentuan harga, atau kuasa penentuan keluaran. Semua kategori firma yang disebutkan itu cenderung untuk menetapkan harga yang tinggi dan keluaran yang rendah bagi memaksimumkan keuntungan masing-masing. Kawalan harga secara langsung dan secara tidak langsung dilakukan oleh kerajaan supaya pengguna atau isi rumah menikmati harga yang lebih rendah, tetapi dengan tingkat keluaran yang lebih banyak.
Andainya firma masih dapat mempertahankan sekurang-kurangnya untung normal (balik modal), maka subsidi kepada firma tidak perlu diberikan. Balik modal bererti firma tidak menikmati lebihan untung, tetapi segala kos eksplisit dan kos implisit telah diambil kira dalam menentukan untung ekonomi. Maksudnya, ganjaran untuk pemilik firma (termasuk kos lepas) telah dimasukkan sebagai komponen kos pengeluaran.
Namun, firma monopoli tidak dapat bertahan dengan keadaan untung kurang normal (rugi) justeru kos permulaan (overhead) akan mengambil masa yang lebih lama untuk ditebus. Lagi pun bagi mencapai tahap ekonomi bidangan, skala pengeluaran secara besar-besaran diperlukan. Maka, kerajaan perlu memberi subsidi sebanyak kerugian yang ditanggung supaya firma akan terus beroperasi.
Dalam isu harga bahan api petroleum, khususnya Ron 95, bagi setiap satu liter pembelian runcit, jumlah subsidi yang diberikan ialah RM0.64. Berdasarkan harga semasa, isi rumah dan firma akan terpaksa membayar sebanyak RM2.54 seliter jika subsidi ditarik balik sepenuhnya. Harga Ron 97 yang diapungkan telah mencecah harga RM2.90, iaitu paras tertinggi dalam sejarah harga runcit petroleum di Malaysia.
Segala pembiayaan awam termasuk subsidi sebenarnya berpunca daripada kantung pembayar cukai. Beban subsidi yang menghampiri angka RM30 bilion setahun mungkin sekali bercanggah dengan tujuan kutipan hasil kerajaan bagi membiayai perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Isu subsidi jarang-jarang dibangkitkan 10 atau 20 tahun silam justeru penggunaan bahan api kenderaan tidak setinggi hari ini.
Pada dekad-dekad 1980-an dan 1990-an bilangan budak sekolah yang memiliki motosikal dan kereta di sesebuah sekolah boleh dihitung dengan jari sahaja. Kebanyakannya hanya mampu menunggang basikal cabuk atau menaiki bas sekolah. Guru-guru sandaran terlatih yang baharu ditempatkan akan mengambil masa dua tiga tahun untuk mengintai kereta terpakai kerana gaji permulaan hanyalah RM880 - RM1,000 (siswazah), atau RM600 - RM700 (lulusan maktab perguruan) tanpa elaun khidmat awam, tanpa elaun perumahan dan tanpa elaun bantuan sara hidup seperti hari ini.
Pemandu bas boleh dikatakan "berlagak" kerana penumpang terpaksa menunggu hingga dua tiga jam di hentian menunggu bas sebelum berjaya memberhentikan bas untuk ke pekan. Pemilik kenderaan persendirian berpeluang membuat pahala besar kerana sering diperlukan bagi menolong jiran-jiran yang ada urusan kecemasan, khususnya untuk ke rumah sakit (hospital). Pemandangan laman rumah lapang sahaja, tidaklah seperti sekarang yang dipenuhi pelbagai jenis kenderaan.
Zaman sudah jauh berubah. Kini, budak sekolah dan pekerja am rendah (PAR) sudah mampu memandu Proton Wira ke sekolah atas sebab mobiliti sosioekonomi, di samping peluang meraih pendapatan sampingan yang terbuka luas. Kawasan tempat letak kereta (parkir) di bandar-bandar besar tidak pernah kecukupan pada waktu puncak hinggakan mudah bagi petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan kompaun.
Dianggarkan bilangan kenderaan yang aktif menjalar di jalan raya Malaysia sudah menghampiri angka 12 juta unit semuanya, belum lagi termasuk kenderaan asing daripada Negeri Thai dan Singapura. Petrol bersubsidi hanya untuk warganegara Malaysia, tidak kira kenderaan mewah, sederhana, mahupun yang ala-ala sahaja. Makin banyak penggunaan petrol seseorang, makin banyaklah subsidi yang ditanggung oleh pembayar cukai.
Berdasarkan perkiraan konservatif, orang-orang berpendapatan tinggi yang memiliki banyak kenderaan akan memanfaatkan bahagian subsidi yang lebih besar secara berbanding. Dalam bahasa mudahnya, pembiayaan awam disalurkan kepada sasaran yang sipi. Pada era Pak Lah dahulu setiap pemilik kenderaan diberikan wang tunai hingga RM600 bagi menyerap kesan kenaikan harga petrol.
Khabarnya mekanisme yang lebih kurang sama akan dikaji supaya subsidi akan menemui sasaran sebenar, dan bukan kepada orang-orang kaya yang tidak pernah menghiraukan meter bayaran ketika mengisi minyak kenderaan mewah masing-masing. Selain itu, operator pengangkutan awam dan pihak industri akan diberi rebat cukai berdasarkan penggunaan petrol yang direkodkan secara munasabah dan sah. Dengan itu, alasan peniaga untuk menaikkan harga barang sesuka hati tidak berbangkit lagi...
No comments:
Post a Comment