SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, May 9, 2012

PENGAMBILAN PELAJAR PROGRAM DIPLOMA LEPASAN SPM (POST-SECONDARY ADVANCED STUDY IN ART AND TECHNICAL)

Pengajian peringkat diploma untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih popular dalam kalangan pelajar, terutama di institut pengajian tinggi awam, termasuk politeknik. Pada era awal kemerdekaan negara, dengan bilangan universiti tempatan yang terhad, begitu ramai lulus sijil lanjutan dan diploma dihantar menyambung pengajian ke Amerika Syarikat, Australia dan Britain di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara. Sehingga awal dekad 1990-an, sebilangan besar lulusan sijil dan diploma dari UiTM, UTM, UPM dan politeknik menikmati kemudahan tajaan biasiswa untuk belajar di seberang laut.

Keadaan mula berubah menjelang pertengahan lewat 1990-an apabila lebih banyak IPTA ditubuhkan, di samping dasar menggalakkan penubuhan IPTS dan cawangan universiti terkemuka luar negara di Malaysia. Pemegang diploma terpaksa berpuas hati sekadar menyambung pengajian di dalam negara. Malah, terdapat saranan supaya pemegang diploma perlu memiliki pengalaman bekerja terlebih dahulu sebelum dibenarkan memohon kemasukan untuk ijazah sarjana muda di IPTA.

Kini, pemegang diploma harus menunggu kuota tempat ijazah sarjana muda yang diutamakan kepada pemegang STPM dan matrikulasi. Kelayakan diploma ialah saluran kedua kemasukan kursus ijazah sarjana muda, melainkan dalam bidang tertentu apabila IPTA memberikan pengecualian. Sebagai contoh, lulusan Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara) memiliki hubungan istimewa dengan program pengajian filem dan persembahan dengan Universiti Malaya hingga membolehkan pemegang diploma Aswara lebih mudah mendapat tempat di UM.

Lulusan diploma UiTM tidak menghadapi banyak masalah untuk menyambung pengajian sarjana muda di sana asalkan memenuhi syarat pencapaian yang ditetapkan oleh senat universiti berkenaan. Sementara itu, pemegang diploma politeknik juga boleh berharap untuk menyambung pengajian peringkat ijazah yang bakal ditawarkan di tiga buah politeknik premier, iaitu Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Politeknik Shah Alam dan Politeknik Johor Bahru. Apabila segala kemudahan prasarana dan tenaga akademik yang memenuhi piawaian, pemegang diploma politeknik dijangka akan menerima khabar gembira itu dalam tempoh terdekat.

Bagi pengambilan pelajar asasi IPTA dan diploma politeknik premier sesi 2012, sejumlah 46,698 lulusan SPM telah ditawarkan tempat sejak dua hari yang lalu. Bilangan berkenaan mewakili 21.33 peratus daripada sejumlah 218,931 orang pemohon. Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM) juga menyebut bahawa hanya seramai 143,261 orang pemohon yang belum berjaya layak mengemukakan rayuan secara atas talian (e-rayuan) menerusi laman sesawang http://www.mohe.gov.my sebelum 18 Mei ini.

Jika rayuan masih tergantung melepasi 4 minggu dari tarikh pendaftaran pelajar kumpulan pertama yang berjaya melapor diri, maka pemohon boleh menganggap bahawa rayuan mereka telah ditolak. Pemohon boleh membuat pilihan lain seperti memasuki kelas prauniversiti tingkatan 6 atau kursus diploma IPTS, atau mencuba nasib di institut kemahiran teknikal seperti Institut latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran Belia Nasional (IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM) dan banyak lagi. Kalau ibu bapa banyak duit, ayuh terus sahaja ke seberang laut...

1 comment:

Unknown said...

Nama saya Leon dari Lincoln University College, saudara boleh melanjutkan pelajaran di Lincoln University College.Saudara boleh pilih kursus-kursus Diploma yang saudara minati. Pendaftaran hanya RM500 dan boleh masuk kelas belajar. Kami boleh menolong saudara dapatkan pinjaman dari PTPTN loan nanti. Kolej alamat kita ialah:- Lincoln University College No.2 Jln Stadium SS7/15, Kelana Jaya 47301 Petaling Jaya. Sila hubungi saya Leon 012-6575693 untuk mendapatkan informasi kursus-kursus yang di tawarkan di college Lincoln.