SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, August 17, 2012

HARI RAYA GENERASI Y (TRADITION AND CHANGE)

Amalan ziarah mungkin masih berjaya dipertahankan dalam masyarakat Malaysia dalam musim perayaan Eidul Fitri, tetapi mengalami ubah suai di sana sini. Generasi muda bandar harus akur kepada kehendak ibu bapa untuk berhari raya di kampung halaman mereka yang penuh dengan kenangan indah. Kampung juga sudah dilimpahi kemudahan bandar dengan bekalan elektrik dan air terawat bersih, serta kemudahan telekomunikasi jalur lebar tanpa wayar.

Tiada lagi kekurangan yang ketara di kampung untuk dijadikan alasan untuk tidak balik ke sana. Halaman rumah di kampung juga lebih luas dengan bunga-bungaan yang cantik, tidak seperti di bandar yang seumpama rimba konkrit yang sempit seperti rumah kongsi atau sarang burung merpati. Pergerakan di kampung juga lebih tenang berbanding dengan keadaan di bandar yang hiruk-pikuk, sesak dan penuh tekanan. 

Walaupun generasi muda sudah lali dengan gaya hidup bandar seperti dunia unggas yang mudah mengalami proses mutasi dengan persekitaran, sesekali berubah angin tentu menjadi pengalaman yang sangat menakjubkan. Kalaupun tidak jatuh hati untuk berlama-lama di kampung, sekurang-kurangnya generasi muda bakal mengerti bahawa tanah pusaka nenek moyang di kampung itulah yang menjadi harta yang sangat berharga kepada keturunan mereka sampai bila-bila. Jika kampung pun sampai terlepas ke tangan orang lain, nasib yang dialami oleh kaum Red Indian tidak mustahil akan berlaku di tempat kita pula.

Memang ada saranan murni, tetapi sangat sukar untuk diterima oleh generasi muda, iaitu bercuti daripada menonton televisyen, melayan gajet komunikasi mudah alih dan bertukar-tukar aplikasi permainan digital. Ibu bapa perlu bijak memujuk anak masing-masing supaya mengenali datuk nenek, pak cik dan mak cik, sepupu, dua pupu dan anggota keluarga yang terdekat. Hubungan kekeluargaan yang renggang akibat kesibukan aktiviti bandar perlu dijalin semula dengan segera.

Generasi muda juga perlu melanjutkan tradisi bermaaf-maafan sempena hari lebaran, tetapi masih wajib menjaga batasan hukum syarak tentang hubungan dengan bukan mahram. Kegembiraan menyambut hari raya ialah bagi orang-orang yang berpuasa, serta memperoleh nikmat amalan khusus bulan Ramadan. Lebih baik juga sejak Subuh, generasi muda turut mengalunkan takbir raya dengan penuh semangat sebelum bersiap menuju masjid bagi menunaikan solat sunat Eidul Fitri.

Apabila kembali ke bandar, senarai jemputan rumah terbuka sudah tersedia. Sesibuk mana pun hasrat mahu memenuhi jemputan rumah terbuka, generasi muda hendaklah memilih enam hari dalam bulan Syawal untuk menunaikan sunat puasa enam. Dalam suasana umat islam di seluruh dunia yang masih dibelenggu ancaman dalaman dan luaran, kekuatan rohani generasi muda perlu diperkasa...

ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, WALILLAHI'L-HAMD

MINAL A'IDIN WAL FA'IZIN, KULLU AM, WA ANTUM BI KHAIR

SELAMAT HARI RAYA PUASA, MAAF ZAHIR DAN BATIN

No comments: