SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, August 18, 2012

CARA UCAPAN SEMASA HARI RAYA (FESTIVE GREETING)

Hari raya eid'ul-fitri ialah hari kemenangan dan hari kegembiraan bagi umat Islam yang berjaya menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan. Takbir raya mula dialunkan sejak malam raya lagi, iaitu selepas pengumuman rasmi tarikh hari raya oleh pihak berkuasa. Jemaah di masjid akan melaungkan takbir raya secara beramai-ramai usai solat Isyak berjemaah, biasanya menggantikan zikir Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahu Akbar yang dibaca 33 kali setiap satunya.

Seisi keluarga kemudian sibuk melakukan persiapan terakhir hari raya dengan mengemas rumah, menyediakan juadah untuk hidangan tetamu dan mungkin juga duit raya. Pakaian baharu untuk solat sunat eidul-fitri juga siap digosok dan digantung di dalam almari. Kaum lelaki bakal mencalit minyak wangi, manakala kaum wanita juga berbuat demikian, tetapi dengan lebih tipis bagi menjaga syariat.
Apabila bertemu, masing-masing mengucapkan "selamat hari raya, maaf zahir dan batin". Di rantau timur tengah, ucapan yang digunakan ialah "Eid mubarak". Pada zaman Rasulullah Salallahu alaihi wasallam dan para sahabat, ucapan yang digunakan ialah taqabbalallahu minna waminkum, (semoga Allah menerima amal kamu dan amal kami dan amal kalian), lalu disahut dengan ucapan balas "minna wa minkum taqabbal ya karim". Di Malaysia, lafaz berkenaan biasa didengar usai bacaan doa selamat atau tahlil bagi menandakan acara seterusnya seperti jamuan hendak bermula.

Dalam kad ucapan, sama ada secara fizikal atau digital (SMS, MMS, e-mel), ungkapan berbahasa Arab yang boleh diselitkan termasuklah minal a 'idin wal fa 'izin, kullu am wa antum bi khair (selamat hari raya dan kemuliaan, moga kalian dilimpahi kebaikan sepanjang tahun ini). Dalam bahasa santai, ada juga yang menyebut, kita sekarang 0-0, iaitu saling bermaafan atas semua kesalahan yang lalu. Namun, kesalahan yang dimaksudkan tentulah hal-hal kecil sahaja, bukan hal yang membabitkan kewangan atau perjanjian.

Sebagai insan biasa, banyak perkara tentang kenalan diceritakan semasa ketiadaan kenalan tersebut. Cerita kebaikan juga mungkin ada khilaf, apatah lagi cerita yang menjurus kepada perkara keburukan. Tidak payahlah cerita-cerita sampingan sedemikian dipanjang-panjangkan lagi.

Di kebanyakan negara Arab, hari raya hanya disambut dalam tempoh sehari ke tiga hari. Di Malaysia, tempoh perayaan menjangkau sebulan penuh Syawal dengan pelbagai jemputan rumah terbuka oleh individu dan organisasi. Ada juga keluarga yang mengambil kesempatan musim perayaan untuk mengadakan majlis perkahwinan atau masuk rumah (house warming).

Puasa enam yang sunat dikerjakan dalam bulan Syawal ialah pelengkap kepada puasa Ramadan. Sebahagian orang tua di kampung terus mula berpuasa enam seawal hari raya kedua. Kaum wanita yang  masih "bercuti" puasa Ramadan pula mengambil peluang untuk terus mengganti puasa wajib itu bersekali dengan puasa enam walaupun ada perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang hal itu.

Hari raya ialah peluang bagi merapatkan semula tali persaudaraan, silaturrahmi dan ukhuwwah yang mungkin telah renggang atas pelbagai sebab. Peribahasa Melayu mengatakan "buang yang keruh, ambil yang jernih". Kesilapan yang lalu ditebus dengan permohonan maaf dan ucapan doa yang tulus ikhlas dari hati yang paling dalam...

No comments: