SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, August 19, 2012

PERANAN BAPA DALAM INSTITUSI KELUARGA (OUTSIDE HOME INFLUENCES)

Dalam masyarakat Asia, bapa menganggap diri mereka umpama raja, iaitu pembuat keputusan yang bersifat mutlak dan seisi keluarga mesti akur untuk berkhidmat kepada mereka. Kepimpinan bapa pantang dicabar oleh sesiapa juga anggota keluarga yang lain. Maka, bapa yang demikian sentiasa cuba menunjukkan bahawa diri mereka sebagai garang, tegas dan tiada tolak ansur.

Dari satu segi, persepsi itu memang kelihatan baik supaya anak-anak tidak berani untuk bertindak sendiri tanpa restu bapa. Sayangnya, hal itu hanya bersifat permukaan dan jangka pendek. Maksudnya, di hadapan bapa, anak-anak pijak semut pun tidak mati!

Bapa yang kurang mesra mengakibatkan anak-anak mencari kemesraan di luar rumah. Sebab itu berlaku kes, anak-anak gadis mudah jatuh ke tangan penjahat-penjahat tua yang licik menggunakan bahasa mesra seperti "baby", "beauty", "darling" dan sebagainya. Sebahagian lagi berjaya diayat oleh kutu rayau, penagih syabu dan penjenayah hidung belang.

Anak lelaki pula memilih rakan sebaya yang sehaluan. Jika termasuk dalam kumpulan rakan sebaya yang berakhlak mulia, mujur dan syukur. Namun, jika bergabung dengan rakan sebaya yang rosak, si bapa bakal menyesal tidak sudah, atas sikap kasar terhadap anak sendiri tanpa berlandaskan ilmu pengetahuan yang benar.

Tinjauan rambang mendapati bahawa kebanyakan bapa menyerahkan tugas menjaga perkembangan pelajaran anak-anak di bahu isteri secara total. Maka, si ibu yang menyemak kerja rumah anak, bertanya tentang cerita di sekolah dan melayan rintihan si anak. Si bapa hanya duduk bersandar di sofa, membaca surat khabar, sambil sesekali menjeling ke arah si ibu dan si anak.

Si ibu yang sudah lesu kerana mengurus rumah tangga secara solo setelah balik kerja akan merayu suami supaya berkongsi peranan. Biasanya sang suami akan diam membatu kerana menjangka si isteri akhirnya penat bercakap, lalu berhenti 'membebel' (baca: menuntut hak rehat). Bapa sudah lupa akan janji semasa mula-mula hendak membina mahligai rumah tangga dahulu.

Kalau tanya anak, jawapannya ialah bapa hanya tahu marah dan bukanlah pendengar yang baik. Maka, si anak berasa lebih baik meluahkan perasaan kepada rakan sebaya yang sentiasa 'sudi' meminjamkan telinga mereka. Si anak khuatir jika mereka bercerita kepada ibu, perkara itu akhirnya sampai juga kepada bapa, lalu skrip bapa tetap sama, iaitu marah.

Sudah tiba masanya satu kempen besar-besaran tentang peranan bapa dalam institusi keluarga dilaksanakan dalam skala besar. Para bapa mesti dibangkitkan daripada khayalan kejahilan bahawa mereka ialah diktator yang menakutkan seisi keluarga. Jalinan kemesraan dan kasih sayang dalam institusi keluarga ialah jawapan ampuh terhadap isu-isu negatif yang melanda sebahagian (baca: bukan semua) generasi muda kita...

No comments: