SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, August 16, 2012

MENITI PERJALANAN JAUH DENGAN BEKALAN YANG SEDIKIT (THE CHOICE OF LIFE)

Mari kita bermula dengan sebuah anekdot yang mudah dan jelas. Seorang pemandu kenderaan yang sedang berada di lebuh raya mendapati isyarat amaran bacaan meter bahan api (petrol) yang menandakan tangki minyak hampir kering. Papan tanda yang sempat dibaca sebentar tadi pula menunjukkan bahawa kawasan rehat dan rawat (R & R) terdekat ialah 30 kilometer lagi.

Maka, sebagai insan biasa, apakah agaknya perasaan yang mula bertandang dalam minda si pemandu berkenaan? Adakah dia masih mampu bertenang, bersahaja dan santai tanpa sebarang rasa cemas, gabra dan gelisah? Tidakkah dia mula menghitung detik-detik kemungkinan buruk bahawa dia akan berhenti di lorong kecemasan sambil mengharap ada kereta peronda lebuh raya yang akan muncul untuk menghulurkan bantuan yang ikhlas?

Tamsilan di atas dibawakan semasa kuliah Subuh di sebuah masjid sebentar tadi. Penceramah berusia 42 tahun itu kemudian langsung mengajak jemaah yang hadir supaya berfikir sejenak tentang perjalanan hidup masing-masing yang bakal menempuh pelbagai fasa dan perpindahan alam. Purata tempoh kehidupan di alam rahim ibu ialah 9 bulan 10 hari, di dunia maksimum 100 tahun lebih sedikit, di alam barzakh jauh lebih lama, manakala di alam akhirat kekal abadi, tertakluk kepada kehendak Allah jua.

Sebaik-baik bekalan ialah taqwa, iaitu dengan mengikhlaskan diri semata-mata untuk mencapai tahap redha Ilahi dengan cara memelihara diri supaya sentiasa patuh kepada segala perintah Allah dan dalam masa yang sama menjauhi segala larangan-Nya. Taqwa sangat mudah untuk dilafazkan, tetapi sangat sukar untuk dicapai oleh sekalian manusia jika tiada kesungguhan dan iman yang cukup kental. Bukan mudah untuk menghiasi diri dengan sifat terpuji (mahmudah) dan terhindar daripada sifat tercela (mazmummah) dalam dunia yang penuh dengan pesona dan tipu daya ini.

Ganjaran bagi insan yang bertaqwa ialah syurga, setelah melepasi segala ujian dan fitnah dalam melaksanakan amalan soleh yang dibenci oleh hawa nafsu. Pengorbanan melakukan amalan soleh mungkin berhadapan pula dengan ancaman sifat tercela seperti riyak, sum'ah, ujub dan takbur. Riyak ialah melakukan sesuatu amal dengan tujuan menunjuk-nunjuk, sum'ah ialah suka dipuji orang, ujub ialah kagum terhadap diri sendiri dan takbur ialah perasaan sombong kerana menyangka diri lebih banyak amal daripada orang lain.

Masuk neraka (mohon dijauhkan oleh Allah) pula lebih mudah, iaitu dengan menuruti segala kesukaan hawa nafsu dan hasutan syaitan. Misalnya, bermalas-malas dalam segala kewajipan fardu, sebaliknya berasa lazat dengan perbuatan yang sia-sia. Hakikat bahawa manusia secara bersendirian mudah bersifat lupa (ceroboh), maka lebih aula bergabung dalam jemaah untuk saling mengingati dan tegur-menegur dengan suci hati (tasumuh).

Berbalik kita terhadap cerita perjalanan yang mula-mula tadi. Seseorang pemandu kenderaan bukan sahaja perlu merancang keperluan bahan api, tetapi juga merancang untuk singgah di mana-mana tempat untuk menunaikan kewajipan solat, sama ada secara sempurna (tamam) atau dihimpun dan dipendekkan (jamak qasar). Minda yang sentiasa bergantung kepada masjid ialah petunjuk betapa seseorang itu begitu dekat dengan Pencipta di rumah-Nya.

Istiqamah atau konsistensi dalam amalan soleh ialah pakaian bagi insan yang sentiasa berusaha membaiki diri menuju maqam taqwa. Di samping berusaha merebut sebanyak mungkin kesempatan melaksanakan amal ibadah pada bulan tertentu berlipat kali ganda, khususnya Ramadan, tarbiyah (pendidikan jiwa) dan tamrin (latihan) lewat bulan puasa itu disambung terus sepanjang masa. Insan yang mulia sentiasa bersangka baik kepada Allah bahawa amalan soleh yang dilakukan dengan tulus tanpa agenda tersembunyi yang bersifat duniawi nescaya akan dihitung oleh-Nya jua...

No comments: