SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, August 4, 2012

PENGALAMAN MASAK BUBUR LAMBUK (COMMUNITY SERVICE PARTICIPATION)

Ipoh, Sabtu: 4/8/12 = 15 Ramadan 1433

Pengalaman memasak skala besar memang tidak ada, kecuali peranan kecil sebagai pembantu tukang masak sahaja. Namun, pada bulan puasa ini, tiba-tiba penulis blog (PB) memperoleh kesempatan memasak seperiuk besar bubur lambuk bersama wakil oraganisasi jemputan yang lain. Sebenarnya PB  masih memegang peranan pembantu tukang masak, justeru yang lebih arif ialah isteri PB sendiri.

Program komuniti berkenaan adalah anjuran Nestle (M) Bhd, dengan kerjasama kerajaan Negeri Perak, Majlis Bandaraya Ipoh, Pasar Raya Mydin, dan beberapa buah syarikat swasta yang lain. Pihak Nestle yang menyambut ulang tahun ke-100 penubuhan syarikat, menyediakan segala peralatan dan bahan asas masakan bubur lambuk, di samping chef Maggi. "Tukang masak" jemputan pula ialah wakil surau, masjid, pertubuhan kebajikan dan rumah anak yatim dari seluruh negeri Perak.

Giliran memasak bubur lambuk dilaksanakan dalam dua sesi, iaitu antara pukul 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari dan 1.00 petang hingga 3.00 petang. Pada mulanya peserta berkumpul mendengar taklimat chef Maggi, tetapi disampaikan secara lisan sahaja dan macam kereta api ekspres filem Tamil, para "tukang masak" hanya angguk sahaja. Perkara yang mudah diingati hanyalah memasukkan minyak untuk dipanaskan dan diakhiri dengan perasa Maggi secukup rasa.

Bagi mengambil berkat Ramadan, doa selamat menjadi pembuka langkah untuk mula memasak. Maka, tanpa berlengah lagi, minyak pun dipanaskan. Rencah asas seperti bawang putih, bawang merah dan halia yang telah dikisar halus dimasukkan mengikut sukatan. Kemudian, diikuti dengan sejumlah lima paket daging yang juga sudah dikisar, untuk diadun dengan rencah yang sudah mengeluarkan aroma supaya empuk dan mesra.

Lima botol air minuman reverse osmosis juga dituangkan ke dalam periuk dan kayu dayung mula digunakan untuk mengacau semua bahan campuran. Sementara menunggu suhu didih, "pembantu tukang masak" berkejar ke kawasan lori tangki air MBI dengan membawa baldi atau besin untuk membersihkan beras sebanyak dua jag setengah.

Setelah air yang menggaul rencah tadi mendidih, beras dimasukkan secara perlahan-lahan. Sekali proses mengacau segala bahan campuran bubur lambuk harus dibuat supaya lebih rata dan tidak berkerak. "Tukang masak" harus bersabar justeru bahang yang datang daripada api dapur boleh tahan panasnya.
Rencah tambahan lain yang dimasukkan ialah daun sup yang dipotong halus, bawang goreng, cili merah dan diakhiri dengan santan kelapa sawit tanpa kolestrol dan perasa Maggi secukup rasa. Kawalan nyalaan api dan tahap didih masakan sangat penting untuk menjamin mutu masakan bubur lambuk yang menambat selera. Kaedah masakan komersial seperti ini sudah tentu berbeza dengan bubur lambuk kampung yang pada asasnya ialah rebus.

Bubur lambuk yang sudah masak terus dimasukkan dalam pek untuk dibawa pulang ke kawasan masing-masing. PB dan isteri masuk dalam kategori sukarelawan justeru terdapat beberpa organisasi yang tidak dapat menghantar wakil. Selain itu, pihak penganjur mengambil baki pek yang lain untuk tujuan agihan kepada pelanggan Mydin yang disampaikan oleh Menteri Besar Perak sejurus sebelum masuk waktu solat Asar.
Orang ramai sanggup beratur panjang untuk membawa pulang oleh-oleh bubur lambuk yang disampaikan sendiri oleh Dato' Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir. Turut kelihatan ialah Datuk Nadzri, Adun Manjoi, kertua pegawai eksekutif Mydin dan isteri, serta pegawai kanan Nestle, dan penyumbang bersama program komuniti itu. Terdapat juga pengunjung yang menyerbu kawasan masakan dengan membawa bekas yang dibawa sendiri.

Pihak penganjur tidak melupakan penat lelah, serta sumbangan tukang masak bubur lambuk jemputan. Segala peralatan memasak kecuali dapur dan tabung gas diserahkan kepada mereka untuk disumbangkan kepada organisasi yang diwakili. Nestle berjaya mempromosi keluaran mereka, pasar raya Mydin mengukuhkan reputasi dengan kegiatan komuniti dan ahli politik pula memiliki kesempatan bersua muka dengan pengundi...

No comments: