SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, August 26, 2012

UCAPAN RUMAH TERBUKA AIDIL FITRI (A BRIEF VERBAL GREETING)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam sejahtera

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillahirabbil alamin, Alhamdulillahi'-ladhi arsala rasulahu bi'l-huda wa din'il-haq
liyuzhirahu ala'd-dini kullih, wa kafa billahi syahida

Wassolatu wassalamu ala rasulihi'l-amin wa ala alihi wasahbihi waman wa lah

Terima kasih saudara pengacara majlis

Saya dahului ucapan ringkas saya pada petang ini dengan kalimah taqaballahu minna wa minkum, semoga Allah menerima amal ibadat kita semua, iaitu kita berjaya mencapai segala matlamat berpuasa sepanjang bulan Ramadan yang telah berlalu. Mudah-mudahan kita telah beroleh makam atau tingkatan taqwa yang lebih tinggi, rahmat yang melimpah ruah, keampunan Ilahi atas segala dosa yang kita ada, dan dikurniakan pembebasan daripada azab api neraka, Insya-Allah. Panjang umur murah rezeki, kita diberi kesempatan lagi untuk bersama Ramadan tahun 1444 Hijriyyah pula, Insya-Allah.

Hari raya ialah hari kemenangan dan kegembiraan bagi mereka yang berjaya menjalani ibadah puasa dengan kesabaran, iaitu berjaya mengawal diri masing-masing daripada segala perkara yang boleh menjejaskan kualiti ibadah puasa. Pembelajaran daripada madrasah atau universiti Ramadan itu hendaknya dibawa ke dalam amalan kehidupan kita pada bulan-bulan yang lain. Marilah kita terus istiqamah dengan pembaharuan sikap kecemerlangan dan penambahbaikan amal merangkumi juga tanggungjawab rasmi dalam organisasi dengan seikhlas mungkin.

Kepada rakan-rakan lain (yang bukan Islam), saya bagi pihak tuan rumah mengalu-alukan kehadiran tuan puan dalam majlis yang tidak sepertinya ini. Sesungguhnya kesudian tuan puan dalam majlis ini menandakan ikatan muhibah penduduk Malaysia yang berbilang-bilang latar belakang budaya dan kepercayaan. Betapa pihak tuan rumah sangat terharu dan menghargai tuan puan.

Hadirin yang dimuliakan,

Majlis rumah terbuka hari raya seperti ini tidak lain tidak bukan bertujuan mengeratkan jalinan ukhuwwah, persaudaraan dan perpaduan sesama kita dan organisasi. Kita saling bermaafan bagi melupakan kesilapan yang lalu, di samping bersedia membuka lembaran baharu menuju tahap permuafakatan yang lebih tinggi. Perbezaan pendapat yang sentiasa berlaku ialah lumrah dan hendaklah dimanfaatkan sebagai percambahan fikiran untuk memilih segala perkara yang terbaik, insya-Allah.

Sudi-sudikan tuan puan menikmati juadah yang disediakan oleh pihak tuan rumah. Menu tradisional ada, menu moden juga ada. Sambil menikmati juadah, tuan puan sudah pasti boleh bertanya khabar dan berbual-bual secara santai.

Ikatan perpaduan yang kukuh ialah insurans untuk kemajuan sesebuah organisasi dan masyarakat. Interaksi silang budaya dalam majlis seperti ini amat besar ertinya terhadap kehidupan yang harmoni dan sentosa. Generasi muda yang turut hadir pasti beroleh pengalaman pembelajaran yang amat berguna demi masa hadapan mereka yang bakal memasuki dimensi baharu dalam komunikasi masyarakat.

Sekadar inilah ucapan ringkas saya. Sebelum mengundur diri, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:
         
          Jamah nangka tulis merata
          Cari peria serah bertali
          Rumah terbuka majlis kita
          Hari raya meriah sekali

Sekian. Wabillahit-taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh...

No comments: