SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, August 10, 2012

KREATIVITI DALAM KEPIMPINAN SEKOLAH (THE NANO AGE MACHINE THEORY)

Bergantung kepada akses terhadap ilmu pendidikan secara formal, semua pihak yang berkepentingan dalam dunia pendidikan seperti murid, guru, ibu bapa, masyarakat, pakar, majikan, industri dan penggubal dasar memiliki andaian dan metafora yang tersendiri tentang sekolah. Kesukaran untuk mengimbangi pengaruh dan tekanan permintaan sosial, perancangan guna tenaga, serta kehendak sampingan yang lain, menjadi cabaran besar bagi menjayakan peranan sekolah sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran. Kepimpinan sekolah yang bersifat kuku besi, autoritarian atau diktator (coercive power) sudah dianggap lapuk dan ketinggalan zaman.

Hakikatnya, proses pembelajaran ialah aktiviti perubahan, iaitu ikhtiar menggilap bakat, potensi dan fakulti insan secara optimum menerusi konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid. Tugas sekolah ialah bagi memastikan ketiga-tiga domain asas pendidikan, iaitu kognitif, psikomotor dan afektif sentiasa diberi perhatian yang saksama. Penjenamaan modal insan dengan komponen pengetahuan, kemahiran dan sikap sebenarnya bukanlah perkara yang baharu.

Sepatutnya sekolah ialah sebuah organisasi belajar yang dinamik, serta sentiasa mengalu-alukan idea pembaharuan bagi melonjakkan pencapaian pembelajaran. Namun, anjakan paradigma dan perubahan sikap yang diharapkan akan berhadapan dengan rintangan status quo yang berasa terancam dengan kehilangan kedudukan, pengaruh, kebiasaan, rakan dan penghormatan justeru telah sekian lama berada di zon selesa. Hanya dengan kebijaksanaan seumpama menarik rambut daripada tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berserakan, bakal menjadi penawar yang mujarab kepada ketakutan dan sikap inertia yang dominan itu.

Penyelidikan tentang kepimpinan sekolah yang berkesan sudah begitu banyak diterbitkan dalam jurnal bertaraf antarabangsa, termasuk secara atas talian, misalnya laman sesawang http://www.curriculum.edu.au yang memaparkan pelbagai artikel tentang masalah dan dapatan kajian tentang kepimpinan sekolah. Di Malaysia sendiri, penyelidikan tentang kepimpinan sekolah banyak dilaksanakan oleh Institut Kepengetuaan, Universiti Malaya, Institut Aminuddin Baki, dan semua fakulti pendidikan IPTA yang menawarkan kursus pentadbiran pendidikan. Saban tahun juga, persidangan tentang isu-isu kepimpinan sekolah dianjurkan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Kesukaran memperoleh kerjasama subordinat bagi melaksanakan pembaharuan di sekolah bukan perkara yang aneh, sama seperti susahnya hendak mengubah minda masyarakat luas supaya akur dengan segala peraturan demi kebaikan mereka sendiri. Alasan seperti "sudah menjadi tradisi" atau "identiti yang mesti dipertahankan" akan biasa didengar di sekolah-sekolah yang mencapai tahap premier. Akibatnya, kemunculan sekolah-sekolah baharu yang lebih bersifat menampung perubahan (akomodatif) akan mengakibatkan sekolah-sekolah premier semakin tidak relevan.

Kepimpinan sekolah yang peka sudah pasti tidak akan membiarkan sahaja pengaruh status quo begitu dominan seolah-olah langsung tidak boleh diusik dan digugat. Sejajar dengan konsep kepimpinan sebagai upaya mempengaruhi pihak lain bagi mencapai matlamat organisasi, pemimpin sekolah akan melakukan imbasan persekitaran supaya dapat mengenal pasti ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan. Kreativiti sebagai proses mental yang unggul perlu digunakan dengan cermat supaya pujukan kepada golongan status quo mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk berjaya.

Ketua kumpulan status quo perlu 'ditangkap' terlebih dahulu bagi mengurangkan momentum penentangan terhadap proses perubahan yang diingini. Dalam kata lain, konsep 'pecah dan perintah' diubah suai dalam bentuk yang lebih lunak dan mesra, selaras dengan prinsip hubungan kemanusiaan yang mementingkan harga diri dan penghormatan. Apabila kemaraan golongan status quo sudah semakin perlahan, maka masa untuk menonjolkan daya pacu perubahan di sekolah boleh mula mengambil tempat. 

Teori analisis daya lapangan Kurt Lewin masih boleh dimanfaatkan. Dalam al-Qur'an juga dinyatakan dengan tegas bahawa Allah tidak akan mengubah (nasib) sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri yang mengubah (sikap) yang ada dalam diri mereka sendiri. Kepimpinan sekolah yang berkesan lebih mudah menemukan jalan untuk melaksanakan perubahan tanpa mengakibatkan golongan status quo berasa terancam...

No comments: