SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, August 23, 2012

MOTIVASI BELAJAR: MENCIPTA PELUANG KECEMERLANGAN (THE SEED OF SUCCESS)

Bijak pandai mengatakan bahawa pengalaman ialah guru yang paling berkesan. Sudah tentu pengalaman yang dimaksudkan tidak terhad kepada pengalaman diri sendiri semata-mata yang mungkin lebih banyak berdasarkan proses cuba jaya. Usia seseorang insan hanya sebentar bagi menimba begitu banyak khazanah pengalaman manusia sejak zaman-berzaman seperti yang tercatat dalam kitab suci, buku, manuskrip, monograf, jurnal, koleksi atas talian dan segala sumber lain yang boleh diakses, termasuk media lisan dan multimedia.

Pengalaman yang autentik diklasifikasi dan disaring begitu rupa hingga disampaikan dalam kuliah pengajian tinggi dan diuji menerusi proses penyelidikan supaya tidak kekal sebagai pendapat atau dakwaan semata-mata. Falsafah, kata-kata hikmat, peribahasa, retorik, ujaran dan klise sebagai contoh, mewakili pengamatan generasi silam terhadap persekitaran dan tingkah laku lewat zaman masing-masing. Pola asas cara berfikir dan bertindak individu dan kumpulan manusia sentiasa sama, tetapi magnitud dan skala setiap satunya mungkin mengalami perubahan akibat perkembangan kepakaran dan teknologi.

Kecemerlangan disambar menerusi peluang, bukan kebetulan. Tiada individu hebat dalam sejarah hanya menunggu peluang muncul dengan berpeluk tubuh dan berharap, umpama menunggu bulan jatuh ke riba atau panjang angan-angan. Mereka menetapkan matlamat, fokus, membuat imbasan persekitaran, merancang, memimpin, mentadbir, mengurus dan menilai kembali setiap pencapaian sebelum membuat percaturan seterusnya.

Tiada istilah tunduk kepada saranan negatif yang cuba melemahkan perjuangan, atau berundur serta-merta setiap kali halangan atau kesusahan muncul tiba-tiba. Sirah Nabi dan kisah suka duka para pencipta teknologi tersohor boleh dibaca dan diteladani supaya pelajar juga berjaya mencipta kecemerlangan di tengah-tengah godaan keseronokan jangka pendek yang sangat kuat. Keseronokan jangka pendek yang harus dikorbankan merangkumi segala aktiviti yang kurang produktif seperti melayani gajet komunikasi tanpa wayar, melekat di hadapan skrin televisyen, sembang kosong dan berhibur secara melampau.

Pelajar cemerlang tidak mudah dipengaruhi oleh pendapat-pendapat peribadi yang menjurus kepada status quo dan zon selesa. Rasa hormat kepada rakan, orang dewasa dan personaliti lain tidak menyebabkan pelajar cemerlang sentiasa berusaha menjaga hati mereka sahaja, sebaliknya iltizam dengan keputusan bijak tentang matlamat kendiri yang sudah ditetapkan. Kritikan, pandangan dan teguran masih dialu-alukan, tetapi dalam konteks penambahbaikan taktikal dan teknikal sahaja.

Bimbingan pakar seperti guru, pensyarah, kaunselor dan sebagainya ibarat untuk mendapatkan kunci dan lesen bagi memulakan pergerakan kenderaan. Setelah beroleh kunci dan lesen yang dihajati, pakar tidak lagi akan menemani pelajar untuk menuju destinasi seterusnya. Hakikatnya, waktu hubungan dengan pakar hanya sebentar, tetapi penting supaya dengan berbekalkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang merupakan himpunan khazanah pengalaman manusia lain, pelajar cemerlang akan memulakan perjalanan sendiri.

Menunggu peluang datang tanpa berbuat apa-apa ialah sifat si corot atau pelajar berjiwa kecil, walaupun tubuh badan mungkin besar. Mencari peluang ialah petanda pelajar yang bersikap positif, tetapi masih tergolong dalam kategori kerja keras, bukan kerja bijak. Maka, mencipta peluang ialah ciri sebenar pelajar cemerlang, iaitu menggembleng segala potensi kepimpinan kendiri supaya tidak terlalu bergantung kepada orang lain, tetapi pandai mengenal pasti dan memanfaatkan segala sumber yang berkemungkinan.

Selain media pembacaan dan pengajian, insan juga belajar daripada rangsangan persekitaran yang begitu kaya dengan pelbagai rahsia andai kata dapat diamati dengan cermat dan teratur. Insan mengenali Pencipta bukan sahaja menerusi kitab suci, bahkan menerusi tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi, ayatu'llah fi'l-kaun. Proses tadabbur al-Qur'an dilengkapkan dengan pengamatan terhadap ciptaan langit dan bumi, siang dan malam silih berganti, lalu diikuti dengan doa, Wahai Tuhan Kami, tidak Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, jauhkan kami daripada azab api neraka, Rabbana ma khalaqta hadha batila, Subhanaka faqina adhabb'an-nar (ali Imran, 3: 191-192)...

No comments: