SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Thursday, August 16, 2012

PUNCH GUNALAN DALAM KENANGAN (THE RARE SPORT LEGEND)

Antara pencapaian tertinggi Punchacharan Gunalan (P Gunalan atau Punch Gunalan) ialah kejayaan mengheret legenda badminton Indonesia, Rudy Hartono di pentas akhir kejohanan Seluruh England edisi 1974 yang berkesudahan dengan 15-8, 9-15, dan 10-15. Gunalan mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh bekas juara dua kali kejohanan berkenaan, iaitu Tan Aik Huang dan adiknya, Tan Aik Mong. Sebelumnya Gunalan lebih dikenali sebagai pemain beregu, berpasangan dengan Ng Boon Bee hingga pernah merangkul kejuaraan Seluruh England pada tahun 1971.
perlawanan pertunjukan dengan Rudy Hartono (koleksi The Star online)

P Gunalan memang gemar mengajak lawan bermain dalam tiga set sehingga lawan menjadi tidak bermaya dalam set terakhir. Buktinya, beliau menumpaskan Tjun Tjun (juga secara asasnya pemain beregu handalan Indonesia yang berpasangan dengan Johan Wahyudi) dengan kiraan mata 18-16, 2-15 dan 15-0 sebelum bertemu Rudy Hartono. Di kejohanan Sukan Komanwel di New Zealand, Gunalan menewaskan Derek Talbot dari England 15-13, 2-15 dan 15-11 di peringkat separuh akhir sebelum dengan mudah membenam cabaran Jamie Paulson dari Canada 15-8, 15-10 di gelanggang penentuan pingat emas.



P Gunalan menggilap bakat sebagai pemain badminton sebagai pemain separuh masa ketika masih bergelar mahasiswa kejuruteraan mekanikal di London. Beliau hanya bermain untuk skuad Piala Thomas negara pada tahun 1970 ketika mencecah usia 26 tahun dalam acara beregu dan membantu Malaysia meraih keputusan 2-7 ketika menentang Indonesia. Gunalan turut merangkul pingat emas Sukan Asia pada tahun yang sama, iaitu perkara yang tidak berjaya dilakukan oleh Lee Chong Wei, Misbun Sidek dan Rashid Sidek.

Punch Gunalan menggantung raket ketika masih di puncak kegemilangan beliau, iaitu pada tahun 1974 ketika  mencecah usia 30 tahun, yang dianggap veteran atau mungkin 'kuda tua' mengikut persepsi atlet di benua Asia. Cinta beliau terhadap dunia badminton setelah hanya aktif di persada pertandingan berprestasi tinggi dunia selama empat tahun diteruskan sebagai jurulatih dan pengurus pasukan kebangsaan. Beliau mahu melunaskan impian untuk merampas semula Piala Thomas yang sekian lama terlepas, bahkan beliau sendiri tidak berpeluang melakukannya sendiri sebagai pemain.

Anak kelahiran Sepang, Selangor pada tanggal 2.4.1944 itu juga kemudian pernah menyumbang sebagai Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan sebagai Naib Presiden Persatuan Badminton Antarabangsa (IBF) antara tahun 1997 - 2005. Gunalan mungkin tokoh badminton yang agak kontroversial, tetapi jasa dan pengalaman luas beliau telah mengharumkan nama negara di persada sukan bertaraf dunia. Bagi masyarakat India di Malaysia, pengganti Gunalan dalam sukan badminton belum ditemui, walaupun James Selvaraj pernah mewakili negara, tetapi dengan pencapaian yang sangat sederhana.

Punch Gunalan ialah antara tokoh badminton yang membawa pembaharuan dalam sukan badminton supaya sukan yang bertaraf rekreasi sahaja di Eropah itu mendapat perhatian komersial. Beliau antara pelopor sistem kiraan mata 21 secara terus dan turut menjadi orang kuat yang memperkenalkan kejohanan siri super dan grand prix akhir dunia. Apabila beliau menerima tekanan pentadbiran oleh pegawai persatuan yang tidak pernah bergelar jagoan badminton, Gunalan membuat keputusan untuk melepaskan semua jawatan yang disandang atas alasan hendak memberi tumpuan kepada keluarga,

Kejayaan skuad Piala Thomas negara menamatkan kemarau kejuaraan Piala Thomas pada tahun 1992 ialah hasil percaturan taktikal oleh Gunalan. Razif Sidek dan Cheah Soon Kit ialah antara pemain negara yang terhutang budi kepada tunjuk ajar Gunalan. Misbun Sidek, Phua Ah Hua dan Moo Foot Lian turut menerima sentuhan magis Gunalan hingga muncul sebagai pemain yang disegani di peringkat antarabangsa.
gambar tahun 1992 (koleksi The Star online)

Gunalan patut dicontohi sebagai ahli sukan yang juga berjaya dalam bidang akademik dan kepimpinan. Beliau juga suami yang penyayang kepada Datin Vejayakumari dan bapa yang penyayang terhadap anak tunggal mereka, iaitu Roshan yang kini bergelar doktor ortopedik. Mendiang Datuk Punch Gunalan, pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), meninggal dunia akibat barah hati pada 14 Ogos yang lalu...

No comments: