SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, August 5, 2012

NESTAPA ETNIK ROHINGYA MENJELANG AIDIL FITRI (MINORITY MUSLIM IN MYANMAR)

Masyarakat Islam Rohingya telah wujud sejak abad ke-8 Masihi apabila pendakwah Arab membuka petempatan di sana. Mereka berjaya membentuk kerajaan sendiri menerusi pentadbiran istana, tetapi telah mengalami kejatuhan apabila diceroboh, lalu ditawan oleh Burma pada abad ke-18 sebelum era penjajahan Inggeris dan Jepun. Masyarakat Rohingya sentiasa dirundung malang, diusir, dibunuh dan diserang oleh junta tentera yang merampas kuasa, iaitu pimpinan Ne Win berlaku kejam dengan dasar penghapusan etnik pada tahun 1978 dan terkini provokasi masyarakat Buddha Rakhine.

Hakikatnya sejak menakluk Arakan, kerajaan Myanmar cuba menghapuskan masyarakat Rohingya, serta tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara. Sebaliknya mereka dinamakan sebagai masyarakat Benggali Islam yang berasal dari Bangladesh tanpa negara. Aktivis demokrasi Myanmar yang kuat menyokong Aung San Suu Kyi juga menjadi dalang untuk menyekat segala akses bantuan antarabangsa terhadap masyarakat Rohingya.

Pertubuhan Bangsa Bersatu menerusi UNHCR mengklasifikasikan masyarakat Rohingya sebagai paling malang dan teraniaya. Daripada sejumlah 3 juta etnik Rohingya, hanya setengah sahaja yang masih berada di tanah tumpah darah mereka, manakala 300,000 orang menjadi pelarian di sempadan Bangladesh, 200,000 orang di Pakistan dan 24,000 orang di Malaysia. Memburukkan keadaan, Bangladesh yang sudah padat dengan 200 juta orang penduduk sudah menyekat kemasukan pelarian Rohingya.

Cerita sedih berlaku apabila lima buah bot yang sarat dengan pelarian Rohingya ditunda ke lautan luas lepas  oleh tentera Siam sebaik tiba di sana dan empat daripadanya telah tenggelam akibat ribut taufan (diakui oleh Abisit, mantan perdana menteri Thai). Terdapat pelarian yang hanyut ke perairan Indonesia, lalu diselamatkan oleh saudara se-Islam mereka di Acheh dan juga pihak berkuasa Indonesia. Kelemahan Pertubuhan Negara Islam (OIC, oh I see!) mengakibatkan nasib masyarakat Rohingya terbiar berlarutan sekian lama tanpa pembelaan yang sewajarnya.

Alangkah berdosanya umat Islam membiarkan saudaranya disembelih tanpa belas kasihan oleh musuh yang tiada hati perut. Pemimpin negara Islam hanya mementingkan diri, hidup mewah dan enggan mengambil peduli tentang perintah Allah tentang persaudaraan sesama umat. Mereka sudah terpedaya dengan sekularisme dan lebih suka menjaga kepentingan pemimpin jahat yang menindas umat Islam.

Kesempatan sempena persidangan OIC pertengahan Ogos ini harus dijadikan landasan supaya umat Islam memberi tekanan kepada junta tentera Myanmar dan Aung San sendiri supaya tidak meneruskan kezaliman terhadap masyarakat Rohingya yang asalnya bukan wilayah Myanmar pun. Setiausaha Agung OIC, Eklemedin Ihsanoglu dari Turki telah menyuarakan rasa kesal terhadap kenyataan Presiden Myanmar, Thien Sien yang masih terus mengisytiharkan bahawa masyarakat Rohingya bukan warganegara Myanmar, tetapi dalam masa yang sama terus mengenakan pelbagai peraturan selain membakar kediaman dan masjid di Arakan (http://www.rohingya.org/portal/index.php/component/content/article/1-latest/342-oic-leads-global-campaign-to-protect-rohingya-muslims.html). Petempatan haram masyarakat Buddha di Arakan tidak ubah seperti tindakan biadab pelampau zionis Yahudi yang tega mengusir masyarakat Palestin dari kampung halaman mereka sendiri. 

Ketika umat Islam di seluruh dunia menjalani ibadat puasa Ramadan dengan rezeki yang melimpah ruah, masyarakat Rohingya terus berhadapan dengan ancaman kehilangan maruah, nyawa dan tanah air. Siang malam mereka diganyang tanpa henti sama ada oleh junta tentera, mahupun masyarakat Buddha tempatan yang tidak berperi kemanusiaan. Hanya iman dan kesabaran menjadi benteng yang ampuh untuk mereka terus mempertahankan kalimah tauhid walaupun jiwa raga menjadi taruhan.

Sambutan hari raya puasa sebagai tanda kemenangan melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan sudah pasti suram bagi masyarakat Rohingya yang masih berada di Arakan. Mereka bagaikan dikepung dalam sebuah penjara besar yang dilingkungi oleh tembok yang tinggi, serta sentiasa terdedah dengan bedilan peluru yang tidak bermata. Umat Islam seluruh dunia wajib menghulurkan bantuan dalam lingkungan kemampuan masing-masing, paling tidak dengan doa supaya saudara yang tertindas itu tabah menghadapi ujian berat yang ditanggung, sambil terus bersuara supaya kekejaman yang berlaku dapat ditamatkan segera...

No comments: