SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, August 24, 2012

TRANSFORMASI BANDAR DUNGUN (REGAIN MARITIME ATTRACTION)

Sesebuah daerah yang diwakili oleh ahli dewan undangan negeri yang menduduki kerusi empuk menteri besar atau ketua menteri pada amnya mencatat kemajuan yang jauh lebih pesat daripada daerah-daerah yang lain. Demikian cakap-cakap orang politik yang juga sudah menjadi suatu rahsia umum yang sukar untuk dinafikan. Namun, keputusan tentang sebarang projek di peringkat negeri bukan kuasa mutlak menteri besar atau ketua menteri, sebaliknya menerusi majlis mesyuarat kerajaan negeri yang dianggotai oleh para exco, termasuk ex-officio, iaitu pegawai tinggi kerajaan negeri yang lebih berperanan dari segi rujukan pentadbiran.

Dungun ialah daerah ketua terbesar di negeri Terengganu Darul Iman, tetapi agak ketinggalan dari segi pembangunan prasarana fizikal dan kegiatan ekonomi. Hanya baru-baru ini, zon perdagangan Sura Gate fasa pertama telah menjadikan bandar Dungun yang sepi mulai mengalami kesesakan dan kekurangan tempat meletak kenderaan. Terkini, pasar raya borong Sakan milik usahawan bumiputera bergelar Dato' mula beroperasi untuk memberi saingan kepada Mydin, Aneka, Ten Ten dan beberapa buah pasar raya bertaraf sederhana yang lebih dahulu dibuka.

Bank terkemuka negara, Maybank juga baharu dibuka berbanding dengan cawangan bank yang sama yang  telah lama beroperasi di Paka dan Kemaman. Butik aksesori sukan bumiputera, iaitu Mizi dan al-Ikhsan juga telah membuka cawangan masing-masing. Kini, penduduk daerah Dungun sudah menikmati pelbagai pilihan barang dan perkhidmatan yang setanding dengan bandar-bandar utama di negara kita.

Sebagai bandar ilmu, Dungun memang boleh dibanggakan. Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Sura Hujung ialah antara kampus terpenting milik UiTM yang lebih fokus kepada pengajian perakaunan dan perniagaan. Proses naik taraf UiTM Dungun dijangka bermula apabila projek kampus Bukit Besi yang berhampiran susur masuk Lebuh Raya Pantai Timur (Jerangau - Jabor) bagi menggantikan kampus yang sedia ada. Kawasan berkenaan yang dahulunya dianggap ceruk dan pedalaman dijangka muncul sebagai sebuah pusat pertumbuhan yang berdaya maju.
Ura-ura bagi mengembalikan era kegemilangan Kuala Dungun sebagai sebuah pelabuhan penting di sebelah pantai timur juga merupakan berita baik kepada penduduk di sana. Sebagai permulaan, pelabuhan ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bakal mengalami proses naik taraf dengan peruntukan RM75 juta. Usaha mendalamkan pinggir sungai untuk pembinaan dermaga yang dirancang sedang rancak berjalan.

Sumber memberitahu jika projek itu berjalan lancar, fasa seterusnya ialah membina pelabuhan komersial bagi membolehkan kapal dagang yang bersaiz besar dapat berlabuh dan urus niaga skala besar dapat dilaksanakan. Muara Sungai Dungun yang bercantum dengan Laut Cina Selatan memang sangat luas untuk mengalu-alukan kemasukan kapal dagang. Selain itu, pinggir sungai di sepanjang Seberang Pintasan sudah tersedia untuk perkhidmatan baik pulih kapal dan kemudahan kegiatan maritim yang lain.
Ancaman hakisan pantai yang sekian lama menghantui badar Dungun, khususnya di sepanjang jajaran Teluk Lipat ke Sura Hujung sudah diberi perhatian yang serius. Peruntukan kewangan yang besar membolehkan kerja menambak pantai giat dilakukan, kali ini dengan penggunaan teknologi pemulihan pantai yang lebih canggih. Kejadian jalan raya ditelan laut dan risiko kemalangan dapat diminimumkan.

Daerah Dungun memiliki saiz keluasan geografi, serta sumber daya manusia yang besar. Rancangan tanah Felda dan Ketengah Jaya misalnya berpotensi untuk dimajukan sebagai zon tanaman buah-buahan tempatan seperti limau, dokong dan salak. Bagi mengekalkan pembangunan yang lestari, aktiviti hiliran seperti zon perkilangan hendaklah dikekalkan di daerah berdekatan seperti Kemaman...

No comments: