Sunday, December 2, 2012
ISTILAH KEGUNAAN KHUSUS, UMUM (STRICTLY LIMITED 'EDITION')
Agaknya berlaku kesilapan teknikal ketika siaran wawancara berhenti rehat untuk memberi laluan kepada iklan komersial, suara pengacara dan ahli panel masih ke udara. Bunyinya lebih kurang, "bolehlah beri ceramah agama, ... Ustaz 'Siva'ruddin". Tidak pasti suara siapa, sama ada pengacara, Ustaz Fathul Bari atau seorang perwakilan parti politik yang masih menuntut di Jepun.
Punca gurauan itu mungkin disebabkan dalam sesi wawancara secara langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berkenaan, Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian dari USM ada menyebut beberapa perkataan bahasa Arab yang sudah diterima sebagai kosa kata pinjaman atau kata serapan dalam leksikon bahasa Melayu seperti muhasabah, tawaduk dan iltizam. Dr. Siva memperoleh ijazah doktor falsafah dari Universiti Malaya. Beliau seorang penganalisis politik yang sering muncul dalam media arus perdana.
Nama beliau "Siva" dan "Murugan" merujuk kepada dewa-dewa dalam agama Hindu, manakala Pandian pernah dikaitkan dengan sebuah kerajaan purba di selatan India (Pandyan) yang mula muncul sebagai empayar pada abad ke-6 hingga tahun 1311 sebelum diambil alih oleh kesultanan Delhi pimpinan Alaudin Khilji yang menguasai India antara tahun 1206 hingga 1526 Masihi. Perkataan 'din' yang cuba dicantum dengan nama Siva pula ialah istilah bahasa Arab yang bermaksud agama tawhid dalam konteks yang menyeluruh, atau syumul (agama berasal daripada istilah Sanskrit, a = tidak, gama = kacau; bermaksud tidak kacau). Antara tokoh masyhur yang mempunyai gandingan nama 'din' ialah Jamaluddin al-Afghani, Sultan Nuruddin dan Salehuddin al-Ayubi.
Berdasarkan pengamatan fakta yang dinyatakan, maka gandingan 'Siva' dengan 'din' memang janggal dan tidak kena sama sekali. Kalau 'Sabaruddin' yang bermaksud (ahli) agama yang sabar, sudah pasti tiada masalah. Namun, keupayaan Dr. Sivamurugan Pandian menggunakan istilah-istilah dalam bahasa Arab memang dialu-alukan, justeru masih ramai juga masyarakat Arab yang tidak menganut Islam, misalnya di Lebanon, Mesir, Palestin dan Sudan (Selatan) menggunakan istilah yang serupa.
Sebagai sebuah bahasa yang sentiasa mengalami kemajuan dan perkembangan, terutama sebagai wahana dan sarana ilmu, bahasa Melayu harus mencontohi jejak bahasa utama dunia yang lain seperti bahasa Inggeris yang tidak pernah malu menyerap masuk seberapa banyak kosa kata bahasa asing dalam kamus mereka. Jika tidak, bahasa Melayu bakal menerima nasib yang sama dengan bahasa Sanskrit dan Jawa kuno yang sudah tidak mempunyai penutur lagi, melainkan boleh ditemui dalam naskhah manuskrip lama semata-mata. Namun, pemantapan korpus bahasa yang menerima kemasukan pengaruh bahasa asing mesti dibimbing oleh sistem kawalan para sarjana bahasa yang arif bestari.
Sejarah kemasukan kosa kata bahasa Arab dalam kamus bahasa Melayu bermula daripada kegiatan dakwah pada awal kedatangan Islam di Nusantara, termasuk empayar Melaka. Kemudian, di Malaysia, pada dekad 1970-an berlaku fenomena yang disebut sebagai kebangkitan Islam. Istilah 'ana' (saya), anta, anti (kamu), akhi (saudara), ukhti (saudari) dan sebagainya mula digunakan secara meluas dalam kalangan generasi muda, khususnya anggota kumpulan usrah (study circle, istilah dalam tesis Ph.D oleh Dr. Sidek Baba).
Istilah solat pula digunakan bagi menggantikan perkataan sembahyang yang berasal daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud sembah tuhan (yang = tuhan). Barangkali konsep sembah itu yang hendak ditukar kerana tidak mahu dikaitkan dengan berhala. Namun, hingga kini kedua-dua istilah berkenaan masih digunakan secara meluas tanpa menimbulkan sebarang masalah.
Kata pinjaman bahasa Melayu banyak sekali berasal daripada bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Mungkin selepas ini, dengan pengaruh Korea Selatan yang semakin meningkat di seluruh dunia, istilah Korea pula yang akan masuk. Jenama keluaran Samsung, LG dan Hyundai yang dahulunya dipandang sepi kini menjadi kegilaan dan sebutan di seluruh dunia.
Merujuk Indonesia, penggunaan istilah bahasa Arab didapati agak longgar, malah nama Allah juga digunakan oleh penganut Kristian. Berlainan pula halnya di Malaysia apabila terdapat banyak istilah bahasa Arab yang diklasifikasi sebagai khusus untuk orang Islam sahaja. Di samping Dewan Bahasa dan Pustaka yang memiliki wewenang bahasa, Majlis Fatwa Kebangsaan juga menjadi rujukan tentang penggunaan istilah yang khusus kepada umat Islam atau merujuk konsep asas dalam aqidah, syariat dan akhlak....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment